Bahtera Lama - Nakhoda Baru
Sekitar akhir bulan oktober lepas, sewaktu Mesyuarat Agung Luarbiasa di adakan untuk memilih Majlis Jawatankuasa Kerja (MJK)bagi sesi 2016-2019, pasukan yang telah dibentuk oleh salah seorang MJK lama telah menang secara penuh dengan mengalahkan keseluruhan pasukan, khususnya MT lama. Keputusan yang dikatakan di luar jangkaan itu telah menimbulkan polemik di kalangan MT lama sehingga wujud bantahan terhadap proses pengiraan undi. Namun selepas proses pengiraan semula dibuat, kemenangan masih lagi berpihak kepada MT yang terkini...
Dalam mesyuarat pertama pasukan tersebut, dikatakan menjadi sejarah dimana kesemua ahli yang terpilih telah menghadiri mesyuarat tersebut, dan dikatakan ianya tidak pernah berlaku sebelum ini, menurut salah seorang MJK lama yang dipilih semula. Terlalu banyak perkara yang ingin dibincangkan dalam mesyuarat pertama pasukan tersebut namun dek kerana keterbatasan masa, ianya hanya membincangkan mengenai fungsi² jabatan yang ditubuhkan.
Perjalanan ke serambi Makkah bagi menghadiri mesyuarat yang menemukan kesemua pasukan yang mewakili kakitangan sokongan di kesemua organisasi awam di negara semenanjung emas telah membuka peluang sebahagian daripada pasukan ini berkumpul dan berbincang serta merangka beberapa strategi dan program serta dasar yang perlu dibuat dan diadakan.
Pertemuan dengan wakil-wakil kelab dan persatuan berasaskan skim perkhidmatan yang berjaya diadakan sebelum musafir ke serambi Makkah telah membuka ruang dan peluang wakil-wakil staf yang berkepentingan menyampaikan hasrat, keinginan dan tuntutan yang sudah lama teredam dan tidak mampu untuk dilampiaskan. Kebanyakan dari wakil kelab kelihatan bersetuju untuk menyokong perjuangan pasukan baru namun ada satu wakil yang kelihatan masih ragu, masih banyak tuntutan dan yang dikira paling ramai ahlinya, yang juga masih belum wujud persatuan mereka secara rasmi.
Pada pandangan penulis yang selama ini berpengalaman beberapa tahun menyertai JK Tertinggi untuk persatuan Dewa Dewi Kayangan, pasukan ini kelihatan begitu serius, bersemangat, aktif dan bertenaga untuk meneruskan perjuangan. Terlalu banyak idea yang dilontarkan setiap kali pertemuan, sama ada secara bertatap muka, ataupun secara maya.
Jika diibaratkan sebuah kapal atau bahtera, bahtera yang ada merupakan bahtera yang lama, tetapi belum boleh dianggap usang. Selama ini, bahtera tersebut dinakhodai oleh nakhoda yang juga berpandangan jauh, namun sayangnya orang² yang PALING HAMPIR dengan nakhoda bukan terdiri daripada mereka yang mempunyai visi dan misi yang jelas. Oleh sebab itu, bahtera kerap terlewat untuk belayar, tersekat² dan kadangkala terdampar lama di pelabuhan.
Namun bahtera yang baru diambil alih oleh pasukan pelayar yang baru, dengan sang nakhoda yang cool dan berhemah, dikelilingi oleh empat syahbandar yang juga berwawasan jauh dan bersemangat juang yang tinggi, dibantu oleh awak-awak lama dan baru yang begitu bersemangat, penulis percaya bahtera mereka mampu merempuh badai meski setinggi tsunami di Jepun mahupun Bandar Aceh.
Sebagai contoh, untuk menghadapi pasukan tertinggi nakhoda lama yang dikatakan kurang bekerjasama untuk membantu pelayaran seterusnya, sang nakhoda kelihatan begitu cool dan mengambil kepelbagaian pendekatan berhikmah untuk mendepani riak² kecil yang hanya mengubah kedudukan beberapa butir pasir di pantai. Meskipun tindakan syahbandar lama akan memungkinkan bahtera melanggar tsunami setinggi KLCC dan menyebabkan bahtera pecah terdampar di pantai, namun nakhoda baru masih mahu mendepani syahbandar lama dengan hikmah dan kebijaksanaannya.
Banyak juga isu² yang ditimbulkan oleh awak² dan syahbandar baru berkaitan kepentingan pekerja dan sebagainya yang mahu diambil tindakan lebih aggresif, namun nakhoda mahu tindakan dibuat dengan penuh hikmah. Teringat penulis dengan kata-kata salah seorang motivator, dalam sesebuah organisasi atau jamaah, perlu wujud watak² abu bakr yang agak cool tetapi tegas, watak umar yang aggresif, watak uthman yang pemalu serta watak ali yang berilmu dan berhikmah.
Tanpa menafikan beberapa kelemahan yang juga wujud, penulis percaya dengan dokongan dan sokongan padu awak² dan empat syahbandar, nakhoda mampu membawa bahtera kedestinasinya dengan selamat dan cemerlang, Insya Allah...
Wallahu a'lam
Ulasan