Majlis Akad Nikah - Antara Agama, Budaya dan Birokrasi

Dengan hanya sekali lafaz sahaja, sepupu kepada isteri penulis telah berjaya menjawat jawatan suami kepada isteri yang baru dinikahinya di petang Jumaat hari kedua dalam bulan sambutan kelahiran Junjungan Muhammad SAW di sisi perkiraan jumhur ulama mainstream semenanjung emas. Majlis yang dibuat secara amat sederhana itu turut dihadiri oleh ahli keluarga yang terdekat.

Mungkin lafal bacaan akad nikah di hujung semenanjung emas ini agak panjang berjela berbanding negeri lain di bahagian utara hingga ke pantai timur serta pantai barat. Lafal yang digunapakai ialah, "Aku terima nikah fulanah binti fulan dengan maskahwinnya RM22.50 tunai/hutang" Andaikata pengantin lelaki hanya mengucapkan lafal, "Aku terima..." sahaja, tentu sang saksi yang menjadi syarat kepada pernikahan akan menjerit mengatakan TIDAK SAH...ULANG...walhal di dalam syariat, meskipun pengantin lelaki hanya mengangguk² kepala sahaja tanda bversetuju sudah dianggap dan diperkirakan sebagai sah. Bahkan, jika lafal pengantin lelaki ialah, "Aku terima nikahNYA Fulanah binti Fulan.......hingga akhir" juga dianggap TIDAK SAH kerana ada penambahan kata NYA di hujung kata nikah....hebat bukan?

Maka tidak hairan jika bakal pengantin yang ingin berjodoh dengan orang hujung semenanjung emas ini agak gementar melebihi lelaki lain yang menikahi gadis di bahagian lain daripada hujung semenanjung emas. Lafal yang digunapakai agak panjang dan sedikit mengelirukan, berbeza jika dibandingkan dengan mana-mana lafal jua, contohnya yang biasa didengari di kaca-kaca televisyen.

Itulah budaya dan disulami dengan agama dalam masyarakat di hujung semenanjung emas. Bahkan ianya menjadi sebahagian dari kebanggaan mereka. Itu belum dicampur kira dengan jurunikah yang begitu lurus, hingga segala birokrasi lain perlu diikuti, termasuk acara bertangis-tangisan antara ibu bapa dan pengantin dengan membaca beberapa dialog yang telah disediakan. 

Meskipun begitu ketat sekali birokrasi yang dilaksanakan, negeri ini mendapat tempat ketiga paling tinggi kadar perceraiannya pada tahun 2015, menurut penasihat agama negeri berkenaan.

Jadi, mengapa perlu diteruskan segala birokrasi sebegitu, permudahkan sahajalah urusan nikah ...

Wallahu a'lam

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol