Travel Log : Bila tersekat di lebuhraya untuk mengambil ujian

Entah mengapa untuk tahun ke tiga dalam pengajian jarak jauh di salah sebuah UA tersohor, pentadbiran UA tersebut mengambil keputusan untuk mengadakan PB lebih awal dan dilaksanakan di pusat wilayah pengajian. Setiap tahun, sejak awal penulis menjejak kaki ke dalam arena pengajian jarak jauh, PB, atau Peperiksaan Berterusan akan diadakan di kampus utama semasa berlangsungnya minggu intensif selama tiga minggu. Namun untuk tahun ini, PB bagi subjek universiti diputuskan untuk dibuat awal sebelum minggu intensif. Bagi penulis yang kununnya telah berada di tahun tiga pengajian, hanya ada satu sahaja subjek universiti yang diambil iaitu subjek JUE 300, atau English II. 

Pada 10 Disember bersamaan 10 Rabiul Awal 1438, jam 4 petang telah dijadualkan PB diadakan di pusat wilayah yang terletak di hujung selatan semenanjung emas. Lokasinya bukanlah lokasi biasa semasa mengambil final exam tahunan. Ianya terletak agak jauh. Penulis telah merancang awal untuk menumpang salah seorang rakan yang berkebetulan mengambil PB yang sama dan tinggal di lokasi yang sama dengan penulis.

Berkebetulan, pada tarikh tersebut ialah cuti sekolah. Dan ada pula majlis walimah yang diadakan di sebelah isteri. Maka di awal waktu dhuha, kami telah muncul di rumah pengantin untuk beberapa urusan. Sepupu isteri penulis pula telah mengusha penulis selaku pembaca doa bersandarkan kepada beberapa rekod lepas dimana penulis telah direla paksakan untuk membaca doa dalam beberapa majlis keluarga. Namun kali ini, penulis tidak dapat memenuhi permintaan tersebut disebabkan oleh untuk menghadiri PB.

Sewaktu zawaal, penulis dan keluarga sekali lagi muncul di majlis tersebut untuk makan tengahari. Hidangan ialah seperti biasa, nasi beryani, ditambah dengan kambing, ada laksa dan juga sate. Ianya boleh dikira sebagai hidangan istimewa yang jarang² untuk didapati dimana² majlis walimah.

Sebaik masuk waktu zuhur, penulis bergegas menuju ke masjid berhampiran dan seusai zuhur, sebagaimana yang telah dijanjikan, sahabat penulis telah menunggu di pintu masuk utama masjid. Kereta toyota vios hitam berkilat dengan cermin hitam yang tidak boleh dilihat isi di dalam kenderaan. Sebaik pintu dimuka, penulis seolah segan untuk melangkah masuk di kerana keadaan kereta yang sangat bersih. 

Perjalanan bermula menuju ke pusat wilayah untuk mengambil peperiksaan jam 4.00 petang. Perjalanan lancar hinggalah tiba di kawasan sedenak dimana kenderaan mula tersekat oleh kesesakan lalulintas yang agak panjang. Jam di dashboard menunjukkan pukul 2.30 petang. Lokasi masih jauh. Jika dilihat pada aplikasi waze, sepertinya akan tiba melebihi jam 4 petang....pergh...

Akhirnya, sahabat mengambil keputusan dengan memandu di bahagian kiri lebuhraya sambil membuka isyarat kecemasan. Baru sahaja beberapa saat, muncul beberapa motor besar sambil membunyikan hon menandakan tidak puas hati jalan disekat oleh sebuah vios hitam berkilat. Motor akhirnya mengalah dengan memandu keluar dari lorong kecemasan sebelah kiri

Selepas beberapa ketika kami tersekat lagi. Kali ini jam menunjukkan pukul 3.00 petang....Wah semakin gawat nampaknya...Perasaan menjadi kurang tenang. Resah gelisah . Pelbagai andaian menerpa ke dalam kotak fikiran. Bagaimana kalau kami tersekat sehingga jam 3.30 petang? Bagaimana jika kami tersekat hingga ke jam 4 petang?? Uihh gawat sekali. Dahlah dikhabarkan PB ini soalan dimulakan dengan listening kepada petikan yang hanya dibaca sekali sahaja, mengalahkan ujian semasa MUET yang diputarkan dua kali untuk listening.

Akhirnya, selepas kami benar² berserah kepadaNya, deretan kenderaan mula bergerak. Alhamdulillah, jalan mula lancar dan kami memecut laju. Kami tiba di destinasi sekita jam 3.40 petang dalam mendung yang berarak lalu. Sebaik kereta diparkir kemas, kami bergerak mencari dewan peperiksaan. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dengan kertas soalan sebanyak 50 soalan objektif. Meskipun objektif dan didengari sebagai enteng, namun ianya agak sukar bagi penulis...tak tahulah rakan-rakan lain.

Selepas usai solat Asar, kami bergerak pulang dan kembali masuk ke lebuhraya. Oh, rupanya kesesakan telah berubah pula ke lorong pulang. Hampir satu jam setengah bergerak dalam kelajuan yang sangat minimum, akhirnya, kami singgah solat maghrib di R n R Machap. Hujan turun renyai² dan keadaan RnR sangat sesak dengan kenderaan. 

Kami tiba di plaza tol penamat sekitar jam 8.15 malam dan kesesakan masih belum reda. Kami tiba di rumah tatkala azan Isya berkumandang. Hujan masih turun dan jalan agak licin. Namun kenderaan mampu bergerak dengan pantas...

.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol