Harapan D Saujana Hill Golf Resort
Untuk tahun ke tiga, penulis sekali lagi , dalam langkah kaki yang berat, meninggalkan bumi permastautinan menaiki kenderaan awam untuk menuju ke pulau tahanan. Penulis dihantar oleh isteri dan anak² seusai Isya hingga ke tangga bas.
Penulis memilih menaiki bas hanya sampai ke terminal feri sahaj berbanding bas merentas selat dek kerana harga yang berbeza. Jika sampai ke terminal hanya dengan RM 57.80 berbanding RM75.00 jika merentas selat. Jauh beza...Di terminal, kita hanya perlu tambah sekitar RM3.20 sudah tiba ke destinasi...
Perjalanan hanya bermula sekitar jam 9.20 malam dengan beberapa persinggahan. Pergerakan bas tidaklah terlalu laju hingga dianggap membahayakan dan tidak pula terlalu perlahan hingga menimbulkan bahang kemarahan...
Penulis selamat tiba di pesisir pengkalan, sekitar jam 5.30 pagi seperti tahun lepas jua. Pesisir pengkalan masih tidak berubah. Tetap seperti setahun yang lepas. Seolah tidak dapat disiapkan sepenuhnya. Al maklumlah, negeri milik pembangkang. Lonjakan pembangunan agak ketara perlahan dan tersipu malu.
Melangkah kaki untuk mendekati terminal feri menelan masa dan tenaga yang agak banyak juga. Perut pula terasa seperti ingin meledak menyambung kisah semalam yang teruk diredam kesakitan...
Tiba di pintu masuk terminal dan menghulurkan wang sebanyak RM1.20 sahaja. Menunggu feri jam 6 sambil melihat² wifi percuma untuk rakyat awam. Feri tiba dan berjalan masuk. Sudah ramai warga seberang pulau yang ingin menumpang di feri yang sama dengan pelbagai tujuan. Di tengah² selat, kelihatan fajr sadiq mula terbit. Setiba di seberang, mencari tandas untuk mengurangkan tekanan ledakan di dalam usus besar. Sayangnya, tandas awam berbayar di stesen bas masih berkunci tanpa penjaga bernilai RM0.20. Tandas percuma tidak kelihatan pula, kecuali jika tidak kesipuan, boleh melontar di tandas terbuka tepian selat!!!
Seusai solat Subuh keseorangan di surau kecil tepian selat, menuju ke stesen bas bersama beg dukung belakang yang berat entah beberapa kilo. Mencari bas bernombor 302 yang nampaknya tidak kesampaian. Hanya waujud bas 301 dan 303 dengan jumlah yang banyak. Dimana 302?
Selepas satu jam, baru kelihatan sang 302. Berkejaran untuk masuk ke perutnya dek kerana keadaannya yang seolah seperti tidak sabar lagi untuk berlari ke destinasi. Sebaik tiba di hadapan pemandu, not RM10 dihulur..
"Encik...kami tidak ada tukaran. Hanya RM2 sahaja."
Adus...terpaksa berlarian anak bersama kendongan beg berkilo ke kedai berhampiran untuk pecah not RM 4.45 untuk dollar USD ini. Sebaik selesai membeli mineral bertubuh besar, berlari kembali dan oh...bas telah tergesa² meninggalkan penulis dan seolah sambil mengetawakan penulis...
Menunggu lagi adik beradik kembar 302. Mujurlah kali ini tidak memakan masa. Penulis bersegera memanjat tangga menuju ke pemandu dan dengan megah menghulurkan dua keping not RM1.00 yang bernilai USD 0.45 kepada sang pemandu yang kemudian menghulurkan sekeping tiket.
Perjalanan ke destinasi memakan masa hampir 30 minit rasanya, tanpa dibuktikan dengan data empirikal (meminjam kata sahabat yang sedang buat Ph.D), hingga sempat tertidur ayam sebentar.
Sebaik turun dari perut 302, melintas jalan dan meneruskan pergerakan mendaki bukit yang agak tinggi. Terasa kaki dan keting akan kudrat menaiki bukit dengan mengendong beg berkilo di bahagian belakang, dan sebuah beg bimbit kertas berisi alas atau cadar katil kusam yang bakal ditiduri sepanjang tempoh pertapaan di pulau tahanan.
Alhamdulillah, belum pun berapa tinggi mendaki, sebuah bas geng bas sekolah tiba² muncul, dan bagaikan pahlawan yang baru menemui pedang samurai berkilat dan tajam, penulis penuh kegirangan berlari anak seperti larinya peserta umarh di safa dan marwa, menuju ke kenderaan berkenaan. Perkara seumpama ini belum pernah berlaku di sebelum ini...
Sebaik tiba di Saujana Hill Golf And Resort, penulis turun untuk check in. Sudah ramai peserta yang berada di kaunter Check In. Syukurlah dapat bilik penginapan aras tiga yang masih dianggap paras yang selesa...
Bilik penulis kali ini searas dengan tanah tinggi di resort ini. Seingat penulis, sejak dua tahun lepas, resort inilah yang menjadi lokasi pertapaan penulis. Cuma kali ini tanah boleh dipijak mudah...
Sebaik berjaya meletakkan bagasi berkilo itu di dalam bilik pertapaan, penulis bergegas turun ke cafe untuk menikmati welcome drink yang berharga sekitar RM5 itu. Dengan hidangan sayur peria goreng, telur dadar dan kuah kari ayam (hanya kuah), penulis menyelesaikan tuntutan biologi yang mendesak...
Seusai menikmati jamuan brunch, naik ke penginapan dan berkira² untuk membuka note book tetapi setibanya di katil usang, semangat nan hilang pula. Muncul teman sebilik dari hujung negeri selatan.
Selepas berborak sedikit, kami tertidur sehingga menjelang jam 2 petang. seusai jama', bersegera turun mencari semula bas geng bas sekolah untuk menuju taklimat bagi tahun 3 dan tahun 4 yang berlangsung di dewan utama. Menunggu bas sekolah memakan masa sekitar 10 minit. Sebaik bas tiba, masuk ke perut bas dan syukur kali ini dihantar terus ke seberang jalan. Transit ke bas lain dan bergerak menuju ke dewan utama. Setibanya di dataran dewan, manusia agak ramai dan berpusu². Kami naik ketingkat atas untuk dapatkan view yang lebih bermakna.
Taklimat hanya berlangsung sekitar 30 menit sahaja. Kemudian kami usai dan kembali ke penginapan juga dengan menaiki dua bas. Malam dikatakan masih ada taklimat khusus untuk tahun 3. Itulah yang terpapar di dada portal.
Sekitar jam 6, kami berdua turun makan di cafe. Kali ini, nasi penyek menjadi penyedap tekak. Nasi berharga sekitar RM4.50 itu diharap dan didoakan moga berkah dan dapat menyelimuti perut di sepanjang malam nan dingin...
Sekitar jam 7 malam, kami keluar dan menaiki bas. Tiba di lokasi bilik kuliah tatkala azan maghrib berkumandang. Kami jadi orang yang antara terawal. Menunggu sekitar 20 minit, muncul pensyarah. Malang sekali, rupa-rupanya taklimat tersebut bukan untuk batch kami...
Kalau tahu nescaya kami hanya rehat di puncak desir angin sahaja. Bergegas pulang dan menunaikan solat jama di bilik. Malam diisi dengan aktiviti study. Maklumlah, pergi dengan kosong dada...
Wallahu a'lam
Ulasan