Konsep Kepimpinan Ulama : Antara Realiti dan Fantasi
Konsep Kepimpinan Ulama yang diwar-warkan oleh kepimpinan sebuah badan siasah popular di negara semenanjung emas yang berkahwin dengan utara borneo pada 1963, dikatakan telah memulakan atau memperkenalkan konsep tersebut pada awal tahun 1980'an sejurus selepas kejayaan Al Marhum Khomeini menjatuhkan Takhta Merak yang telah berdiri lebih 2000 tahun. Semangat dan karisma kepimpinan beliau telah dengan cepat merasuk jiwa para pejuang Islam sedunia yang sememangya amat dahagakan kepada penubuhan sebuah daulah Islamiyyah sejak tahun 1924, selepas kejatuhan khilafah Ottoman Turki oleh sekularis pimpinan Kamal.
Khomeini, meskipun dikenali sebagai seorang syiah, telah berjaya berinovasi dengan konsep imamah dengan ijtihadnya dan menimbulkan idea Wilayatul Faqih, iaitu kepimpinan para pewaris atau pengganti imam ke 12 sepanjang ketiadaan atau keghaiban imam tersebut. Period masa kehilangan atau keghaiban imam yang panjang itu yang dikatakan akan muncul jua pada akhir zaman selaku Al Mahdi Al Muntazar, perlu diisi oleh seorang wakil yang mempunyai ketokohan, faqih serta mempu memimpin muslimin. Maka Khomeini yang sememangnya berijtihad ke atas penciptaan konsep tersebut sekaligus dipilih selaku marja yang memimpin umat dengan penubuhan Republik Islam Iran. Meski konsep ijtihad beliau ditolak oleh beberapa ulama senior, namun ianya sirna begitu sahaja dengan dokongan padu para ulama atau mullah lain di seluruh Iran, khususnya di kota keilmuan Syiah, Qom.
Sebuah pertubuhan siasah tanahair juga menyahut konsep tersebut dan ianya dicuba pada musim-musim PRU pada awal penubuhannya namun dilihat kurang mendapat sambutan masyarakat negara ini yang mempunyai kepelbagaian etnik dan agama. Namun, selepas membuat beberapa inovasi bersifat politik, mengendurkan sedikit desakan fundamentalis dengan persetujuan untuk bersatu dengan pihak parti serpihan pemerintah pada PRU 1990, pertubuhan siasah ini berjaya mengaut laba dengan izin Allah, lalu memerintah kerajaan utara pantai timur sehinggalah penulisan ini dibuat.
Meski pelbagai inovasi dan perubahan melanda politik tanah air, termasuk perubahan tampuk kerusi PM, pertubuhan siasah tersebut terus istiqamah dengan konsep kepimpinan ulama yang digagaskan. Dan kali terakhir pada 2013, pertubuhan siasah ini beroleh ghanimah yang besar hasil perjuangan bersama dengan parti² siasah kiri tanahair.
Namun, sebaik sahaja pimpinan siasah kiri di'simpan' secara hidup di dalam bilik jeriji pada 2014 dan kematian pimpinan tertinggi sahsiah yang mendokong kepimpinan ulama pada 2015, isu kepimpinan ulama mula menjadi tumpuan sekelian pendukung dan juga rakyat di negara ini.
Ianya semakin diwarnai dengan pengguguran secara beramai² golongan profesional dari pertubuhan sahsiah berkenaan melalui muktamar yang diadakan. Ternyata sekali, ahli parti sangat ekstrem mendukung kepimpinan ulama hingga tidak membenarkan langsung kepimpinan pertubuhan tersebut diduduki oleh individu selain ulama. Hasilnya, pihak yang dikalahkan keluar dari pertubuhan tersebut dan mewujudkan sebuah pertubuhan baru, yang dicop oleh sebilangan pertubuhan sahsiah yang lama sebagai kemunculan golongan munafik, khawarij dan pelbagai lagi gelaran enak untuk menolak kewujudan tersebut.
Semakin hari, konsep kepimpinan ulama yang diterajui oleh pertubuhan sahsiah tersebut semakin dipertikai atau setidak-tidaknya diperdebat dan diperbincangkan dengan lebih meluas. Segala perkara berkaitan seperti wala', sumpah bai'ah dan sebagainya mula diperdebat dan dibongkar satu demi satu. Akhirnya, apabila lawatan presiden pertubuhan tersebut ke Iran bagi menghadiri sebuah persidangan taqarib tersebar, maka orang ramai semakin tahu bahawa konsep ini sememangnya mendapat ilhamnya dari negara tersebut.
Tanpa perlu membangkitkan isu perbedaan mazhab, konsep ini perlu diperhalusi dengan sebaiknya. Adakah konsep ini benar² di ambil dari inovasi wilayatul Faqih ijtihad Al Marhum Khomeini? Ataukah ianya diambil dari tradisi sunnah itu sendiri?
Sebagaimana yang kita sedia maklum dalam tradisi sunni, kepimpinan ulama hanya berlaku pada empat orang pengganti baginda SAW sahaja dan selepas itu adalah kepimpinan dipelopori oleh pewarisan takhta bermula dari Muawiyah hinggalah ke zaman Sultan Abdul Hamid, khilafah terakhir Ottoman dengan pelbagai versi bersandarkan kepada kepuakan dan islam. Hanya ada beberapa orang sahaja dari kalangan khalifah bersandar kepada ideologi kepuakan ini yang dipanggil ulama. Apa yang nyata dalam tradisi sunni, ulama tidak semestinya duduk di tangga teratas pemerintahan. Apa yang penting ialah ulama merupakan penasihat utama kepada pemerintah dan pemerintah perlu akur atau bersetuju dengan nasihat yang diberikan, asalkan ianya benar-benar berteraskan al quran dan as sunnah. Ini kerana ada juga kemungkinan pemerintah menerima nasihat dari ulama su' yang juga tergila-gilakan pangkat dan kebesaran.
Perkara seumpama ini terus-terusan berlaku dalam tradisi sunni hinggalah ke zaman kesultanan melayu sebelum kemerdekaan semenanjung emas. Itu jugalah yang berlaku dalam kepimpinan Ottoman dan mereka meletakkan ulama sebagai Syekhul Islam dalam ranking yang antara teratas selepas khalifah sebagai penasihat utama negara.
Mutakhir ini, pertubuhan siasah tersebut begitu lantang mempertahankan akan kepimpinan ulama dengan meletakkan presiden dan timbalan presiden mesti dari kalangan ulama walhal ianya tidak pernah disebutkan secara jelas dalam perlembagaan pertubuhan tersebut. Majlis Syura Ulama sebenarnya sudah cukup menjadi benteng utama pertubuhan siasah tersebut untuk menggerakkan kepimpinan ulama tanpa perlu menentukan tugas² eksekutif kepada ulama jua. Jika sekiranya mereka menjadikan Iran selaku kiblat politik mereka, Ahmad Dinejad pernah menjadi presiden di negara mullah tersebut untuk tempoh dua penggal dan beliau ternyata bukan seorang ulama atau mullah!!
Majlis Syura pertubuhan tersebut perlu dilihat lebih kritis dan menjadi pengimbang terhadap kepimpinan parti. Namun, apabila majlis syura dan eksekutif pertubuhan siasah tersebut terdiri dari kapal yang sama, maka ianya dilihat akan menjadikan berlakunya bias dalam proses pembuatan keputusan.
Konsep kepimpinan ulama dengan entiti Majlis Syura Ulama sebenarnya mempunyai impak yang amat besar terhadap politik islam di negara ini, khususnya pertubuhan siasah tersebut yang telah ditubuhkan seawal tahun 1951. Ironinya, pertubuhan siasah kebangsaan yang menjadi paksi kepimpinan negara juga hampir menubuhkan wadah yang sama seperti yang digagaskan oleh Sekretariat 40 ulama meskipun hingga kini masih belum menjadi kenyataan. Namun ianya menemui jalan buntu dek kerana halangan dari golongan ultra konservatif yang bertapak kuat di dalam pertubuhan sahsiah bersifat kebangsaan itu.
Makanya konsep kepimpinan ulama yang didokong oleh pertubuhan sahsiah berhaluan kiri itu semakin menjadi perhatian ramai. Semoleknya, ianya digerakkan dengan lebih profesional dan berdaya saing. Majlis Syura perlu lebih terbuka dalam menyokong calon² Presiden dan Timbalan Presiden yang bukan dari golongan mullah, tetapi dari pihak profesional yang berjiwa agama. Kita sering tersilap memilih golongan mullah yang tidak berjiwa agama. Akibatnya, agama hanya menjadi alat untuk mengkultuskan segala tindakan yang dibuat.
Konsep kepimpinan ulama perlu berdiri di atas garis realiti dan tidak terpengaruh dengan bisikan musuh yang meniupkan diri seolah maasum, seperti yang terpakai dalam konsep imamah syiah. Apabila diri dirasakan maasum, maka segala teguran dari oraang lain dianggap sebagai musuh yang dirasuk iblis, atau nafsu atau munafiq. Akibatnya, dia melihat hanya tindak-tanduk kelakuan dirinya sahajalah yang paling Islamik, manakala tindakan puak lain adalah dilabel sebagai batil dan menyesatkan. Sindrom syok sendiri ini hanya akan memakan diri sendiri sahaja. Ambillah ibrah dari kisah perjuangan dan kepimpinan Junjungan SAW beserta kekhalifahan sahabat² baginda yang berempat. Mereka tidak pernah merasakan segala tindakan mereka adalah berasaskan kepada agama yang langsung tidak boleh ditegur, walhal Umar sendiri mengangkat tangan bersyukur atas teguran seorang Arab yang mahu meluruskannya dengan pedang sekiranya ia terseleweng. Tiada pula kedengaran baiah yang diambil dari penduduk Madinah disulami dengan sumpah atau wala....,
Wallahu a'lam

Ulasan