Berbilang guru atau hanya seorang guru?
Penulis memulakan pengkisahan ini dengan merujuk kepada sebuah institusi agama yang dinamakan sebagai masjid yang melaksanakan kepelbagaian program pengimarahan yang kelihatan ketara.
Paling ketara ialah majlis ilmu yang semakin berkembang dan membiak dengan baik dan hebat. Cumanya, hanya satu orang guru sahaja yang dipanggil dan kerap di ulang panggil untuk beberapa sesi yang telah disusun. Boleh jadi untuk sepanjang tahun?
Tatkala kita berada di sekolah rendah dan menengah bahkan di peringkat universiti sekalipun, guru² yang mengajar kita ada pelbagai bidang tersendiri. Tidak semua ilmu yang disampaikan hanya oleh seorang guru sahaja. Tidak berlaku guru A mengajar Matematik, guru A juga mengajar Bahasa Melayu, guru A juga mengajar Bahasa Inggeris, Guru A juga mengajar lukisan. Hal itu tidak berlaku.
Kecuali tatkala berada di sekolah agama atau dipanggil dan gelar juga sebagai sekolah igama. Hanya seorang guru sahaja yang mengajar kesemua kitab seperti ibadah, tauhid, akhlak, al quran dan segala-galanya di sepanjang tahun pengajian. Pabila naik darjah baharu, maka akan bergurulah dengan guru yang baharu...
Orang² terdahulu berguru dengan pelbagai guru juga. Hingga mereka terpaksa merantau jauh dari lokasi asal mereka. Mereka merantau ke Makkah, Baghdad bahkan ke Mesir hanya kerana keghairahan ilmu.
Berbalik kepada kisah asal, betapa kita sekarang beruntung dek kerana untuk menuntut ilmu, sang guru yang mendatangi kita. Kita seolah berada dalam dimensi yang terbalik. Namun, sebagai meraikan kelemahan umat akhir zaman, yang semakin melemah dengan amal yang semakin sedikit, ianya diterus bahkan diinstitusikan. Ulama dan juga penuntut nampaknya sudah menerima kaedah seumpama ini.
Cuma adalah sesuatu yang merugikan jika kita hanya menetapkan hanya seorang guru sahaja untuk kesemua program dan majlis yang diatur. Jika bertujuan untuk mendapatkan kepakaran dan jurusan tertentu, maka alhamdulllah. Tapi jika ada nawaitu dan tujuan menyekat kebebasan ilmu, maka ianya bukanlah perkara yang boleh dianggap baik. Kadangkala yang mendatangi majlis sang guru tadi hanya orang yang sama sahaja. Tiada penambahan. Mungkin juga orang yang sama sudah serasi dengan keaddaan pengajaran sang guru. Namun perlu ada sedikit modifikasi dan keterbukaan dalam perkara seumpama ini.
Tapi jika penetapan hanya seorang guru sahaja adalah kerana untuk mengelakkan kedatangan guru lain yang dianggap tidak sealiran, berlainan fahaman dan sebagainya, maka itu kita anggap sebagai agak keterlaluan dan seolah menyekat arus aliran keilmuan.
Wallahu a'lam ...terbuka kepada komen .. penulis pun tidak menjadi pentaksub kepada mana-mana aliran. Semua majlis ilmu siapapun guru setakat ini, dengan izin Allah penulis hadir ...
Ulasan