Saya imam : rasis atau ekstremis?


Kejadian 11 Jun lalu di tapak pasar Ramadhan Gotham City adalah sesuatu lakonan memualkan. Ianya seolah lakonan kitar semula dengan beberapa watak tambahan, tanpa mengenepikan hero utama. Kali ini, hero utama telah berani memperkenalkan diri dengan memakai gelaran agama demi mempertahankan status quo sampah yang kelihatan jelik.

Lebih malang lagi, apabila para pemegang tampuk kerusi empuk, seolah 'menghalalkan' tindakan yang dilakukan oleh pemuda yang berselimut agama di tengah² kesempurnaan Ramadhan. Dengan alasan lapuk, kunun hendak membalas perbuatan pembangkang, yang menang di parlimen dan DUN, pemimpin DUN kedua yang kununnya mewakili suara bumiputera hanya memberikan komen seperti biasa sahaja.

Apakah tindakan sang imam itu diredhai oleh pimpinan tempatan? Jika dilihat kepada komen yang diberikan, ianya seolah merestui perkara tersebut. Namun alasan dangkal pimpinan tempatan mengenai isu pemindahan kawasan tapak bazaar adalah jauh dari kebenaran kerana mengikut rekod, cadangan tersebut dibuat oleh parti komponen pemerintah dan bukan oleh parti pembangkang yang kini menguasai parlimen dan sebuah DUN.

Maka apakah ianya merupakan satu anasir rasisme?

Pergeseran antara etnik di negara ini bukanlah sesuatu yang boleh dianggap serius, bahkan terdapat sarjana sosiologi yang berpandangan bahawa isu etnisiti di negara ini sudah menjadi subjek sekunder, berbanding subjek ekonomi dan politik. Selepas peristiwa 16 Mei, Tun Razak telah dianggap berjaya untuk memulihkan elemen sebenar pencetus polemik, iaitu masalah ekonomi dan status sosial yang tidak sama rata antara etnik. Dengan melancarkan DEB, Razak cuba untuk membawa kaum bumiputera untuk menguasai setidak-tidaknya 30% daripada kek ekonomi negara (meski hingga kini masih belum berhasil). 

Namun, faktor politik juga boleh menjadi pencetus atau bunga² api kepada pergeseran etnik apabila muncul elemen² selimut agama yang turut memainkan peranan...

Apabila dua pelakon tersebut menolak kehadiran ahli parlimen berlainan parti di tapak bazaar tersebut dengan begitu bersungguh, hingga timbul insiden sebagaimana yang ditularkan di media sosial, adakah mereka itu digerakkan oleh faktor berlainan etnik atau berlainan parti? Jika dikatakan atau disebabkan oleh faktor etnik, maka turut serta dalam program pengagihan itu adalah seorang Melayu bermazhab politik lain daripada pemerintah. Beliau juga turut dihalang untuk mengedarkan kurma. Oleh itu jelas, ianya bukan bermotifkan etnik...tetapi lebih kepada bermotifkan parti dan hanya berselindung di sebalik selimut agama....

Jadi, apakah ianya berunsur eksterisme?

Ianya agak kasar untuk diiyakan. Namun, tindak-tanduk seseorang yang mengaku imam, sebagai sebuah institusi yang amat dihormati di kalangan muslim, ianya boleh dipersoalkan dan diperhujjahkan dengan lebih mendalam.  Selaku imam, tindak tanduk yang dipamerkan mampu mempengaruhi khalayak. Ianya memberikan impak, sama ada negatif atau sebaliknya. Institusi imam adalah dipandang mulia dan menjadi ikutan, baik di dalam solat dan juga diluar solat. Apabila seseorang yang mengaku imam melakukan tindakan berbau kekasaran di kawasan awam, dikhuatiri ianya dipengaruhi oleh anasir² ekstremisme. Lebih² lagi keadaan dunia luar yang kerap dilanda dengan pelbagai keganasan yang sering dikaitkan dengan Islam, walhal agama ini mengajar kasih sayang dan persefahaman antara manusia. 

Andai benar tindak-tanduk tersebut boleh dianggap sebagai berbau ekstrim, maka tindakan lebih besar perlu dilakukan dan siasatan hingga ke akar umbi perlu segera dilaksanakan membendung anasir ini tidak menjadi semakin dominan dalam sesebuah komuniti. Ekstremisme tidak boleh dimaafkan atau dianggap ringan kerana ianya boleh menjadi sesuatu yang membarah di dalam masyarakat. 

Kesimpulan

Institusi politik kepartian di dalam negara demokrasi berparlimen seharusnya telah menemui titik kematangan, selepas sejak tahun 1955 lagi telah dilibatkan dengan elemen demokrasi sihat. Adakah negara ini menjadi semakin 'berpenyakit' akan kesuburan demokrasinya ataukah aktor² demokrasi itu yang berpenyakit?

Wallahu a'lam


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol