Catatan Eid 1438
Syawal 1438 muncul bertepatan pada Ahad 25 Jun 2017 selepas mengharungi Ramadhan selama 29 hari. Seperti tahun sebelunya, eid disambut tepat sebagaimana yang telah tercatat dalam kalendar di persekutuan.
Berbeza dengan perayaan eid di sekitar tahun 80an dan 90an di mana pengumuman oleh penyimpan mohor besar raja² melayu mempunyai erti yang cukup besar dalam kehidupan muslim-melayu yang menghuni tanah besar persekutuan semenanjung emas. Kami tertunggu² akan masa siaran tersebut, yang lazim agak lewat berbanding pengumuman hari pertama Ramadhan. Biasanya, para keluarga melayu-muslim akan bermain teka teki mengenai tarikh hari raya. Khabar² angin, meskipun tidak serancak wassup dan dan juga FB apalagi IG, tetap bertebaran mengenai tarikh sambutan 1 syawal. Acapkali berlaku kesalah ramalan yang menyebabkan malam hari raya menjadi bertambah meriah atau sebaliknya. Jika ramalan tepat bahawa hari raya adalah keesokan harinya, maka beruntung keluarga yang telah memasak lebih awal. Mereka akan lebih rileks di malam hari raya. Tetapi bagi yang percaya bahawa 1 syawal berlaku pada lusa, tetapi sebenarnya diumumkan pada keesokan harinya, maka suasana akan menjadi agak kelam kabut. Malam itu segala persiapan perlu dibuat, daripada memasak ketupat hinggalah kepada memasak rendang. Keluarga penulis juga kerap menemui fenomena seumpama itu yang akhirnya menyebabkan suasana pagi syawal memunculkan wajah² lesu dan kepenantan kerana berjaga sepanjang malam...
Suasana kini kelihatan lebih mudah dimana tarikh 1 syawal sudah dimaklumi sejak awal tahun masihi lagi dan tercatat di kalendar tahunan. Orang sekarang juga jarang untuk memasak ketupat dan rendang. Segalanya kini hanya dibuat secara swasta.Mungkin terpengaruh dengan program penswastaan oleh pihak kerajaan, maka dapur² para suri pada syawal kini lebih tertumpu kepada tempahan masakan yang menghasilkan laba berlipat ganda...Kuih muih yang menghiasi meja di ruang tamu kini tidak diuli sendiri di sudut dapur ditemani anak². Ianya boleh didapati hanya dengan tarian halus mulus jemari di atas papan kekunci maya yang jarang lekang dari tapak tangan umat kini. Asal ada RM yang terpapang di dalam akaun bank, maka mudah sahaja tempahan dibuat. Tidak perlu bersusah payah ke kedai membeli tepung atau sebagainya untuk menjadi juadah. Jikapun terpaksa ke kedai, ianya berbaloi kerana berdasar kepada tempahan semasa.
Baju raya juga bukanlah dibuat sendiri oleh ibu di sepanjang Ramadhan. Ianya juga dijelmakan hasil tarian jemari di atas papan kekunci. Sekelip mata sahaja, pos laju muncul di depan pintu membawa bungkusan baju raya.
Segalanya menjadi amat mudah menyambut eid 1 syawal. Namun dek kerana terlalu mudah, keriangan mula menjadi hambar. Perkumpulan dengan sanak saudara lebih mengutamakan mengenai kisah² perniagaan dan yang sewaktu dengannya. Tiada lagi kisah² mengenai pengalaman memasak ketupat atau lemang untuk hidangan juadah di malam hari raya. Di atas meja, tiada lagi hidangan kek yang menjadi kepala meja. Kuih-muih hampir keseluruhannya tidak dibuat sendiri oleh tuan rumah. Ianya dibuat oleh sang penjual dan peniaga...
Penulis mula ragu...apakah dalam masa 10 tahun lagi, manusia melayu muslim penghuni semenanjung emas akan lupa mengenai kaedah sambutan eid sebagaimana zaman datuk nenek moyang terdahulu? Apakah masih ada manusia melayu-muslim yang tahun membuat kelongsong ketupat lagi? Adakah akan masih ada manusia melayu yang tahun membakar lemang di dalam buluh lagi? Atau adakah masih ada manusia melayu islam di tanah semenanjung emas ini yang menyambut eid?
Namun sekiranya kita menyambut eid secara bersederhana, sebagaimana amalan junjungan dan para sahabat baginda, nescaya agama ini akan lebih bermakna dan bercahaya ....
Wallahu a'lam
Ulasan