Hari² Hari Raya?
17 Syawal 1438, ertinya telah berlalu 16 hari sejak khatib turun dari mimbar pada pagi 1 syawal, Ahad di merata masjid dan surau di bumi semenanjung emas yang begitu kokoh dan tegas mempertahankan kefahaman ASWAJA versi nusantara. Namun, disesetengah lokasi, khususnya di tanah selatan, suasana sambutan masih lagi membahang, seolah tarikh 1 syawal itu tidak berganjak langsung. Saban hari, ada sahaja sambutan yang diadakan, sama ada acara ziarah, acara sambutan peringkat pejabat, acara sambutan peringkat jabatan, acara sambutan peringkat sekolah, acara sambutan peringkat zon, peringkat negeri, bahkan peringkat kawasan serta rumah² terbuka yang senantiasa kunjung tiba tanpa henti, khususnya di hujung minggu, jumaat sabtu bagi warga selatan semenanjung emas.
Acara yang khusus yang dikatakan membezakan mazhab sambutan edi fitri di antara penduduk selatan dan utara semenanjung emas ialah acara marhaban atau baraan. Ianya berterusan saban malam seusai solat Isya tanpa mengira hari bekerja atau hari cuti. Bahkan ada hingga menjejak ke pukul 12 tengah malam.
Seorang saksi menyatakan, "Makanan dan jamuan yang terlalu mewah. Lambakan makanan menyebabkan para hadirin merasa lelah. Setiap rumah menyediakan hidangan makanan. Dan seolah ianya bagai pesta atau persaingan di kalangan penyedia makanan. Akhirnya, makanan terbuang dan menghasilkan pembaziran.."
Namun dek kerana semangat meraikan kemenangan itu menjadi tunjang utama, tidak kedengaran suara ulama atau ustaz yang membantah. Ya...kerana ianya adalah suatu yang menyambung ikatan silaturrahim. Maka apa salahnya?
Memang benar. Silaturrahim adalah sesuatu yang amat digalakkan. Namun banyak kaedah dan cara yang boleh dilaksanakan. Kaedah harian, ialah dengan menghadiri solat berjamaah. Kadangkala, ada di kalangan para perai eid ini memang kurang kelihatan wajah mereka di surau atau masjid kariah. Namun, menjelang eid, dia merupakan individu paling aktif berziarah hari raya, khususnya atas nama marhaban atau baraan. Apabila syawal mengundur diri, dia kembali kepada keadaan asal.
Makanan yang melimpah ruah juga boleh mendatangkan masalah dan mengundang pembaziran dan bahkan menyambung pula silaturrahim dengan syaitan kerana Allah berfirman dalam al quran
وَآتِ ذَا الْقُرْبَىٰ حَقَّهُ وَالْمِسْكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا -
Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau (Al Isra :26)
إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا
Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya (Al Isra : 27)
Masa yang digunakan saban malam pula adalah tidak sesuai dengan sunnah yang diamalkan oleh Junjungan Muhammad SAW yang mana baginda melarang sama sekali tidur sebelum isya dan berbual kosong selepasnya (Riwayat Al Bukhari)
Bahkan bala besar bagi para pencinta baraan dan marhaban yang esktreem ini ialah kegagalan untuk menghadiri solat subuh secara berjamaah pada keesokan harinya. Diriwayatkan bahawa Umar pernah mencari seorang pemuda yang tidak menghadiri solat berjamaah subuh, dan apabila dipertanyakan, pemuda itu menjawab, bahawa dia beribadah sepanjang malam, lantas mengantuk pada waktu hampir subuh mengakibatkan dia gagal menghadiri jamaah. Umar lantas berkata, tidur sepanjang malam dan dapat menghadiri jamaah Subuh di masjid adalah lebih kucintai daripada ibadah sepanjang malam dan tertinggal berjamaah subuh di masjid...
Antara kesilapan lain yang berlaku dikalangan pecinta sambutan hari raya ini ialah berlumba² untuk membuat acara rumah terbuka, dan saling mencela pula kepada golongan yang enggan mengadakannya, dengan menggelar mereka selaku kedekut dan sebagainya, walhal amalan tersebut adalah merupakan suruhan yang tidak mengandungi perintah wajib untuk diadakan. Bahkan sekiranya diadakan dengan tujuan lagha dan disertakan dengan acara yang tidak bersesuaian dengan kehendak sunnah, maka ianya akan menjadi sia² seperti masalah pergaulan, aurat dan sebagainya.
KESIMPULAN
Maka boleh disimpulkan di sini bahawa amalan membazir makanan dan masa serta lain² yang berlaku bukanlah dari amalan yang dituntut oleh agama atas alasan apa sekalipun kerana Islam tidak memakai teori yang digunapakai oleh Machiveili, matlamat menghalalkan cara. Islam telah mengajar bahawa sambutan eid hanyalah seqadarnya sahaja. Mendengar kata² rakan sepejabat, yang merupakan warga utara semenanjung emas, aku berhari raya empat hari je...lepas tu dah tak de dah...adalah lebih sinonim dan sesuai untuk dibudayakan dalam masyarakat muslim-melayu selatan semenanjung emas berbanding amalan² yang lebih mengagungkan nilai² menunjuk², membazir dan sebagainya...
Wallahu a'lam
Ulasan