Khutbah eid: masih di takuk lama

10 Zulhijjah kembali bertandang untuk tahun 1438, bertepatan pada hari Jumaat penghulu segala hari. Solat Eid dihadiri penulis berlokasi di jame daerah tengah Gapura Selatan yang telah berusia beberapa abad. Penulis bersama keluarga agak tergesa² menuju ke masjid tersebut kerana takut terlewat. Kebiasaan masjid akan mengadakan solat eid adha agak awal berbanding solat eid fitri kerana hendak mengejar waktu menyembelih korban. Lagipun masa untuk menyembelih untuk hari ini agak ketat kerana mengejar kehadiran solat Jumaat.

Sebaik tiba di perkarangan masjid, kedengaran suara pegawai masjid sedang memberi keterangan berkaitan fadhilat mengerjakan solat sunat eid adha. Beberapa minit selepas melabuhkan kenderaan di lokasi yang difikirkan sesuai, maka seruan solat kedengaran. Kami bergerak masuk ke dalam ruang masjid yang sudah dipenuhi jamaah. Berbeza dengan keadaan waktu Subuh pagi tadi yang hanya tidak sampai satu saf dipenuhi manusia.

Seusai solat eid, terdapat beberapa wajah yang dikenali bangun meninggalkan masjid tanpa menunggu khutbah. Mungkin mereka mempunyai urusan yang tertentu. Sebaik sahaja khatib naik ke atas mimbar dan memberikan salam, kedengaran suara sang penyeru solat eid sebentar tadi memberi peringatan agar duduk diam dan mendengar khutbah.

Di sini timbul persoalan, apakah khutbah eid dituntut juga untuk duduk diam dan tidak berkata² sepanjang khutbah sedangkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah tersebut khusus menyatakan mengenai khutbah Jumaat? Hinggakan ada wujud di sesetengah surau dan masjid lain yang turut menggunakan hadith tersebut sebagai peringatan agar manusia tidak berkata² sepanjang khutbah eid dibacakan. Ianya agak ganjil yang pelik dan boleh dikatakan penyalahgunaan hadith untuk kepentingan diri atau untuk meneruskan adat atau bagaimana? Yang lebih menjengkelkan, maksud hadith ditukar dengan memadamkan perkataan Jumaat dan menukarkan kepada perkataan jamaah, 

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَنْصِتْ . وَالإِمَامُ يَخْطُبُ فَقَدْ لَغَوْتَ

Jika engkau berkata kepada sahabatmu pada hari Jumaat, "Diamlah! Khatib sedang berkhutbah" sesungguhnya engkau telah berkata yang sia² (Bukhari no 934, Muslim no 851)

Biasanya, para muazzin Jumaat di negeri Gapura Selatan khususnya akan memberi ingatan sebelum khatib memulakan khutbah, di tepi mimbar dengan membaca maksud hadith ini dengan lafaz yang berlainan, iaitu "Barangsiapa berkata-kata tatkala khatib sedang berkhutbah, maka sia-sialah solat jumaatnya" dan apabila solat eid, muazzin ini tetap memainkan peranan yang mana khatib tidak akan sekali² memulakan khutbah jika tidak diingatkan terlebih dahulu akan perkara ini oleh sang muazzin, iaitu lafaz ditukar kepada "Barangsiapa berkata² tatkala khatib sedang berkhutbah maka sia-sialah pahala solat jamaahnya"

Alangkah mudahnya para muazzin ini mengkhianati ilmu? Tidakkah mereka takut akan ancaman Junjungan Muhammad Rasulullah berkaitan orang yang berani mendustakan nama baginda ?

عَنْ الْمُغِيرَةِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ
Dari Al Mughirah, katanya, aku mendengar Rasulullah bersabda, "Sesungguhnya berdusta atasku tidak seperti berdusta atas orang lain. Barangsiapa berdusta atasku dengan senghaja maka hendaklah ia mengambil tempatnya di neraka" (Bukhari no 1229)



Mungkin sahaja mereka akan beralasan, ahh..kalau begitu, nanti orang ramai akan berbuat bising dan tidak mendengar khutbah? Maka kita bertanya kembali, pernahkah Rasulullah menyatakan larangan berkata² ketika khutbah selain khutbah Jumaat? 

Bahkan dalam riwayat dinyatakan bahawa solat Eid selalunya akan dilaksanakan oleh Junjungan di kawasan musolla yang terletak kira-kira 500 meter daripada masjid Nabawi (perbahasan boleh dirujuk di sini https://islamqa.info/id/49050). Tetapi hal ini seperti sudah tidak ditemui di bumi semenanjung emas, khusunya di gapura selatan.

Image result for membaca takbir ahri raya selepas solat eid sebelum membaca khutbah

Berbalik kepada khutbah semasa Eid, isi kandungan khutbah biasanya hanya berbentuk umum dan ianya seolah berulang untuk setiap tahun. Mungkin banyak lagi perkara yang boleh disentuh oleh khatib berkaitan semangat korban dengan mendasari peristiwa nabi Allah Ibrahim dan anaknya Ismail, seperti isu palestin, isu Rohingya dan sebagainya yang bersifat global dan sangat berkait dengan isu pengorbanan...

Maka dek kerana khutbah yang semakin lesu dan isi yang semakin kurang menarik, maka tidak hairanlah ramai yang berniat untuk pulang sebaik sahaja selesai imam memberi salam. Ditambah lagi wujud di sesetengah lokasi solat dimana imam bertakbir terlebih dahulu sebelum memulakan khutbah eid.

Wallahu a'lam

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Marhaban dan baraan

Kisah Seorang Jurutol