Kisah aku dan PPT : part 1

Penulis mula menjawat jawatan selaku PPT secara rasminya pada tanggal 15 Februari tahun 2002 masihi bersamaan 3 zulhijjah tahun ke 1422 dari hijrah ar Rasul. Organisasi yang sudi menganugerahkan jawatan tersebut ialah sebuah organisasi berorientasikan pendidikan dalam negeri gapura selatan. Sebenarnya penulis telah dua kali menghadiri temuduga di organisasi ini dan hanya kali kedua sahaja berjaya, itupun tatkala penulis menjawat jawatan selaku penghulu salah sebuah mukim dalam daerah naungan gapura selatan.

Sebelum daripada itu, tatkala penulis masih berjawatan gred W6 di salah sebuah pejabat pentadbir agama, rakan penulis yang telah agak lama berada di organisasi tersohor tersebut telah berulang kali memberikan iklan tawaran jawatan untuk dipohon. Namun dek kerana pada waktu itu taraf jawatan adalah sementara, manakala jawatan W6 yang disandang pada ketika itu bertaraf kontrak, pentadbir agama yang merupakan bos penulis, menasihati penulis, bahawa kedua²nya lebih kurang sama. 

Sebaik selesai menjalani latihan intensif selama seminggu, penulis akhirnya mendapat surat arahan untuk berkhidmat dalam salah sebuah sub pejabat. Kali pertama menjejaki pejabat tersebut, yang kelihatan maha sempit, hanya ada seorang PTPO, seorang PA (Setiausaha) dan seorang ketua pejabat sahaja. 

Keberadaan penulis selaku PPT di pejabat tersebut mempunyai fungsi yang agak besar. Pejabat sempit tetapi juga memilki tugas yang lebih besar. Beberapa bulan kemudian, wujud pertambahan staf yang diambil secara sambilan untuk membantu pelaksanaan program dan aktiviti. Pejabat kecil terasa semakin sempit. 

PPT di pejabat ini mempunyai bidang tugas kewangan dan pentadbiran secara sekaligus. Masih belum matang dengan sistem kewangan sedia ada, juga pengalaman yang cetek, kewangan diuruskan secara langsung antara bos dan juga PTPO. Tugasan penulis lebih kepada menguruskan serta membuat penganjuran kursus dan juga penilaian terhadap staf yang terpilih dan terlibat dengan pengajaran di dalam kelas.

Penilaian staf di dalam kelas dilihat memerlukan kepada tenaga kerja yang lebih besar. Mana mungkin tiga ketul yang bertaraf tetap ini mampu menjelajah ke seluruh ruang kelas sedia ada untuk membuat penilaian. Maka dipohon perjawatan sambilan untuk membantu proses kerja yang semakin bercambah dari masa ke semasa.  

Maka di setiap tahun, berlaku dua kali proses penilaian. Staf sambilan akan digunakan sekitar sebulan untuk melakukan proses penilaian, pencerapan data dan seterusnya mengedarkan hasil penilaian. 

Image result for penolong pegawai tadbir

Penganjuran kursus juga menjadi semakin bertambah pada setiap tahun. Maka PPT juga dilibatkan bukan sekadar membuat paper work, bahkan juga tugas² grass root, hingga kepada hari kejadian. Maka mujurlah, di antara pekerja sambilan yang ramai digunakan selama sebulan, ada juga yang dapat ditinggalkan untuk berkhidmat lebih lama yang boleh dipergunakan untuk membantu perjalanan kursus.

Di pejabat ini, penulis belajar untuk bagaimana membuat perolehan secara tender. Penulis terpaksa mencari contoh yang ada, dan dek kerana kesemuanya dalam bahasa Inggeris, penulis terpaksa menulis dalam bahasa inggeris yang amat teruk. Dalam pembentangan di peringkat tertinggi, penguasa pejabat penulis tidak hadir dan menyebabkan penulis tertolak selaku wakil. Biru hijau kuning juga muka menahan kemaluan akibat prosa bahasa yang kena kecam. 

Sekitar tahun tersebut juga, kerajaan pusat telah menukarkan sistem SSB kepada sistem SSM yang memberikan implikasi dimana gred jawatan ditukarkan daripada N6 kepada N27

Pejabat yang sempit akhirnya berjaya dipindahkan ke ruang yang agak lebih besar dengan pertambahan seorang Pembantu Pejabat.

Sekitar hujung 2005, ketua pejabat penulis akhirnya berpindah ke institusi lain. Pengganti beliau seorang yang lebih muda, bertenaga dan sangat mempunyai ketinggian semangat juang. Bilangan kursus digandakan yang memberi implikasi kerja yang semakin bertambah.

Namun, bayaran kepada penceramah kursus mula dirundung malang. PTPO yang menguasai kewangan mula lewat membuat bayaran. Pelbagai alasan dikemukakan, antaranya sakit dan cuti. Ironinya, tatkala datang bekerja, beliau ini akan keluar minum hampir separuh hari dan apabila masuk semula ke pejabat, sibuk bergayut di telefon.

Dek kerana pimpinan terdahulu dan sedia ada mungkin kurang pengalaman berkaitan kepentingan kewujudan PPT di pejabat, maka kuasa sebenar berkaitan kewangan sering diabaikan oleh pihak mereka yang menyebabkan PTPO mempunyai kuasa besar menjaga segala berkaitan kewangan. Ditambah dengan sistem kewangan yang dilihat masih melemah dari segi kawalan, maka bayaran yang dibuat adalah antara PTPO dan penguasa pejabat sahaja tanpa perlu melalui PPT, walhal jika mengikut aturan, setiap perkara urusan tugas termasuk kewangan perlu melalui PPT untuk pengesahan atau semakan terlebih dahulu. Namun sistem kewangan yang digunapakai juga tidak mensyaratkan akan adanya tandatangan PPT selaku penyelia sebelum ditandatangani oleh penguasa pejabat menyebabkan PPT seperti kehilangan kawalan dalam perkara seumpama ini.

Seperti kata rakan satu batch dalam pengambilan 2002, PTPO adalah merupakan pembantu kepada PPT, bukan pembantu kepada penguasa pejabat. PPT adalah pembantu kepada penguasa pejabat yang sebenar. Namun, apabila fungsi PTPO melemah, PPT akan terpaksa diseret sekali untuk menyelesaikan apa² tugas yang tertinggal.

PPT seharusnya menjalani latihan khusus berkaitan tugas dan tanggungjawab selaku PPT. Malangnya, organisasi tersebut tidak pernah memberikan sebarang kursus yang khusus berkaitan perkara tersebut hinggalah ke hari ini. Oleh itu, bagi PPT baru yang muncul di permukaan pejabat, meski ada pengalaman kerja, namun ianya adalah sangat berbeza dengan dunia PPT yang serba unik. 

PPT di sub-pejabat yang tidak mempunyai pegawai gred N3 (sebelum SSM) bermakna mereka adalah penyandang atau penanggung dari segi tanggungjawab jawatan, tanpa sebarang nilai tambah dari sudut gaji. 

PPT di organisasi ini juga sering dilibatkan dengan aktiviti pemasaran yang telah disusun oleh pihak pemasaran. Maka penulis dapat juga menjelajah beberapa lokasi seperti di Seberang Perai selaku petugas apabila booth dibuka dalam satu pameran peringkat nasional.

Penulis berkhidmat di sub pejabat ini sehingga ditukarkan pada Ogos 2006....

Wallahu A'lam



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol