Menjejak KAISON di Paradigm Mall
Sudah hampir dua bulan tidak sempat mencatat sebarang coretan di muka blog ini. Seharusnya papan muka blog ini ditutup sahaja jika sekiranya penulis bekerja dengan pihak yang menugaskan penulis untuk membuat coretan. Namun, dek kerana penulis bebas daripada sebarang anasir paksaan mana² pihak, maka tidak menjadi masalah bagi penulis jika hanya untuk berkarya seqadar setahun sekali sahaja pun...
Penulis berada di Paradigm Mall, antara shopping kompleks yang terkini di buka di kawasan selatan semenanjung emas. Sebelum itu, kompleks ini pernah terbengkalai dan terbiar usang untuk hampir puluhan tahun (secara tepatnya terlupa) sebab sejak penulis berkhidmat di Johor Bahru pada 1997 hinggalah ke tahun 2017, baru dalam tahun ini kompleks yang terbiar itu diberi sentuhan semula.
Berkebetulan penulis dan isteri berhajat untuk mencari KAISON - nama yang biasa penulis coretkan dalam blog picisan ini. Jika sebelum ini, terpaksa berkunjung ke Tebrau, yang memang telah terpahat akan perkataan KAISON itu, kini jejak itu lebih dekat dan mudah.
Pertama kali masuk ke Paradigm, parkir yang disediakan agak luas dan masih lagi percuma. Cuma tidaklah diketahui sehingga bila ianya diberikan secara percuma. Kalaulah ianya berterusan sebagaimana di BP Mall, alangkah bagusnya...
Keadaan penghawa dingin amat sejuk dan kawasan yang perlu dilawati adalah sangat luas dan seolah tidak mampu untuk terjangkau secara keseluruhan jika kita hanya berkunjung di waktu petang selepas Asr. Penulis tidak sempat untuk melawat kawasan surau yang disediakan di aras 2 dek kerana waktu Maghrib masih belum kunjung tiba.
Ketika mencari dimanakah KAISON itu terletak, dengan hanya berdasar kepada pencarian dan pertanyaan kepada dua tiga orang staf, kita pasti akan gagal untuk menemuinya. Mungkin disebabkan ianya masih baharu dibuka dan staf juga baharu bertugas.
Sebagai contoh, responden pertama yang merupakan jurujual coklat dalam tawaran harga murah jika dibeli sebanayak 2 set, menyatakan tidak tahu di mana lokasi KAISON itu. Responden kedua, jurujual jagung 'pop-corn' menyatakan bahawa terletak di aras 3, tetapi sepanjang pengetahuannya, masih belum dibuka. Tiada sebarang tunjuk arah atau paparan visual yang ditemui untuk mendapatkan lokasi letak sebenar akan KAISON itu.
Setelah berada dalam mood agak 'hampa' seketika dan memutuskan untuk 'terpaksa' jua mengunjungi AEON Tebrau City, maka tatkala berjalan mencari arah pulang letak lokasi kenderaan, isteri penulis secara tidak senghaja telah terpandang akan beg bertulis KAISON yang digendong oleh salah seorang pengunjung, yang disyaki selaku peminat fanatik KAISON jua seperti halnya isteri penulis. Maka bekejaran cuba mencapai bahu si penggendong beg itu. Maka dapat jua dan diberitahu bahawa KAISON itu telah wujud adanya di aras 3.
Sebagai langkah pro aktif dan berhati-hati, sebaik terpandang akan skrin elektronik mesra pengguna di aras tersebut, maka penulis cuba untuk mencari lokasi sebenar akan KAISON itu. Maka diberitahu ianya terletak di aras 4 akan adanya. Maka kembara menjadi semakin mudah dan kami bersegera memanjat anak-anak tangga elektrik untuk menuju ke kawasan yang di dambakan.
Apakala telah tiba di aras 4 itu, maka mata masih tertinjau dan tercari-cari akan perkataan KAISON itu. Rupanya masih terpaksa jua bertanya kepada jurujual yang terjulur di muka-muka pintu kedai-kedai kecil. Maka akhirnya bertemulah lokasi yang diidamkan...
Maka sebaik selesai, Maghrib telah mula menebarkan jala kegelapannya. Kami terus menuju ke lokasi parkir dan menuju ke perut kereta berwarna putih dan meneruskan perjalanan untuk pulang. Singgah di kedai Petrol kebanggaan negara untuk solat jamak dan juga makan malam.
Perjalanan pulang disirami hujan yang agak lebat dan jalan menjadi agak basah dan licin. Tiba di rumah sekitar jam 9.30 malam...
Ulasan