Agama itu Hanya Soal Keluarga?
Negara Wasatiyyah Semenanjung emas sememangnya amat dikenali dengan barisan penceramah serta para ulama yang ikhlas menebarkan keilmuan mereka. Hampir setiap malam, ada sahaja acara keilmuan yang dijalankan di serata ceruk masjid dan surau juga lokasi padang dan sebagainya. Jika ada program yang ditaja oleh badan² tertentu atau agensi kerajaan, maka ulama yang dijemput juga merupakan mereka yang tersohor dan dikenali.
Biasanya topik yang akan diulas dan diperbahaskan ialah berkaitan dengan kekeluargaan. Amat jarang sekali topik² selain kekeluargaan menjadi agenda yang akan diangkat dalam ceramah mahupun forum umum. Apalagi jika program tersebut disiarkan di kaca televisyen ataupun di corong² radio.
Pernahkah topik negaraku : Madinah Ke Dua, diperbahaskan di dalam Forum Ehwal Islam yang dikeudarakan pada malam Jumaat setiap minggu? Apakah pernah kita mendengar dalam majlis sambutan maulid, penceramah jemputan berani bercerita berkaitan aqidah dan tauhid, selain kisah untuk menghentam golongan lain yang tidak sealiran dengan penceramah tersebut...
Jika program diadakan di Universiti Awam, kisah yang kerap diangkat ialah berkaitan dengan cinta dan kasih sayang. Mengapa tidak dibawa kisah keberanian sahabat serta kewibawaan mereka? Pernahkah generasi salaf hanyut dengan percintaan selain cinta kepada Allah dan rasul?
Jika program di adakan di kampung dan taman, maka seringkali kisah yang diangkat ialah mengenai kekeluargaan semata², kisah suami dan isteri, kisah anak dan ibu dan sebagainya. Ironinya, semakin sering kisah² ini diangkat dan diceramahkan ditengah² masyarakat, semakin bertambah statistik perceraian di kalangan pasangan Islam. Semakin galak penceramah berhikayat mengenai cinta dan kasih sayang di UA, semakin bertambah anak tidak sah taraf dilahirkan.
Adakah keluarga Islam di negara semenanjung emas ini amat dahagakan serta amat mendambakan curahan kisah kasih sayang dalam bekeluarga semata²? Adakah kisah haruan makan anak itu disebabkan kurangnya pendedahan ilmu berkaitan kekeluargaan?
Masyarakat Muslim kini telah mencapai tahap pengkayaan ilmu khusus berkaitan kekeluargaan. Sebelum berkahwin lagi, apabila pasangan telah ditambah akan rukun nikah itu, dengan wajib hadir kursus perkahwinan, jika tidak maka tidak boleh pasangan itu dinikahkan. Dalam sesi kursus perkahwinan, sudah terlalu banyak info dan pendedahan yang dibuat berkaitan hal kekeluargaan dan perkahwinan, namun akhirnya keluarga yang dibina kecundang jua....
Maka dimana silapnya sistem kita? Agama tidak boleh dipersalahkan kerana ianya syariah lengkap diturunkan Allah melalui utusannya Jibrail as kepada kekasihnya Muhammad Rasulullah ﷺ. Kesilapan kita ialah keterlaluan dan keghairahan kita yang terlalu menekankan aspek ranting hingga melupakan aspek pokok yang menjadi tunjang.
Kegagalan kita dalam menyemai benih aqidah yang mantap akhirnya telah membuahkan pokok yang lemah akarnya dan mudah tumbang apabila datang taufan menghempas. tauhid tidak menjadi agenda utama dalam sistem pembelajaran kita sehari-hari. Walhal jika ikut modul al quran, penekanan terhadap masalah tauhid adalah merupakan perkara yang paling dititik beratkan.
Gerakan kolonial barat menjelang abad ke 17 ke tanah melayu telah menghasilkan sistem nilai yang terpisah antara agama dan pentadbiran. Barat tanpa segan silu memperkosa sistem pentadbiran tradisional yang berpaksikan aqidah dengan meletakkan pentadbiran milik Inggeris, agama milik sultan. malangnya, dalam keadaan agama itu milik sultan, ianya turut disekat dari segi amalan pentadbiran yang terkhusus berkaitan undang² perkahwinan, harta dan sebahagiannya sahaja tanpa secara syumul. Maka lama kelamaan, masyarakat bangsawan yang telah dibaratkan untuk menjadi pemerintah pewaris sistem barat selepas merdeka, terus mewarisi sistem ini tanpa menoleh kebelakang lagi. Maka sekatan dan sebagainya terhasil ke atas agama sendiri untuk sebaran secara syumul. Hatta pihak Perikatan sendiri menyatakan dengan jelas bahawa tujuan meletakkan Islam sebagai agama persekutuan dalam perlembagaan adalah hanya untuk tujuan upacara semata² (Abd Jalil, 2002:199)
Maka tidak hairanlah akhirnya pendedahan dan dakwah Islamiah menjadi lebih terfokus kepada persoalan kekeluargaan semata² dek kerana ianya boleh mendapat sambutan yang hangat dengan jenaka dan lelucon dari penceramah, serta tidak menyakitkan hati pihak pemerintah. Jika disentuh bab aqidah, mungkin akan melukakan hati pendengar dan menjadi bosan serta tidak ramai yang sanggup mengikutinya.
Mujurlah, sekolah² pondok masih wujud di alam nusantara yang memungkinkan pemeliharaan aqidah dapat juga ditunaikan. Namun bagi tujuan umum dan awam, kepopularitian penceramah tetap diukur dengan sebaik mana mereka mampu membahas isu² berkaitan kekeluargaan dengan bentuk santai dan sembang gembira beserta lelucon untuk ketawa. Maka muncullah majlis² maulid dalam bulan Rabiul Awwal acap tahun, khususnya di negeri gapura selatan, hingga membawa ke bulan selepasnya, dengan pengisian sama setiap tahun, makan, berarak, ceramah, ketawa berdekah dan selepas itu pulang dan subuh esok jamaah suaru atau masjid yang malam semalam mengadakan majlis maulid, dihadiri ribuan khalayak, dengan tambahan persembaan Ya Hanana, serta bayaran penceramah ribuan RM, masih kosong dan hanya menampung jamaah dalam kuantiti yang sama sahaja.
Sudah tiba masanya pihak penganjur program keagamaan memilih penceramah yang mampu membicarakan soal aqidah, seperti soal kisah akhir zaman, atau persoalan qada dan qadar , meskipun tidak popular, untuk diangkat menjuarai pentas² penceramah. Tinggalkanlah penceramah yang hanya tahu membuat lawak semata² kerana negara kita sudah mempunyai terlalu ramai juara maharaja lawak di setiap musim...
Wallahu a'lam
Rujukan
Borham, A. J. (2002). Pentadbiran Undang-Undang Islam Di Negeri Johor. Johor Bahru : Penerbit UTM
Ulasan