Selepas 96 jam

Jumaat hari ke 9 dalam bulan Jamadil Awwal Tahun 1439 hijrah Ar Rasul ﷺ. Telah tepat 96 jam 'terperangkap' dengan kapsul masa di pulau impian. Sejak hari pertama menjejak kaki kepulau ini, masih belum berpeluang menitipkan sesuatu dalam ruangan catatan maya ini.



Ya, sekali lagi penulis berada di pulau ini. Kali ini menginap di Tekun Hotel Resort. Mendapat kunci yang bertulis no MO-1 3-2. Bilik penginapan bertahap bintang-bintang kejora. Tahun ini, penulis adalah manusia no 2 yang mendaftar untuk masuk ke bilik hotel. Ruang bilik yang agak 'eksklusif' dengan dua katil bujang tanpa sebarang alas juga sebarang bantal yang menyambut kedatangan penulis. Hanya tilam yang tidak empuk dan sesuai untuk menekuni kehidupan sebagai salik untuk 15 hari lebih kurang. Mujurlah 'terjumpa' seketul bantal keras dan berbunga hasil tenunan barang asli pemilik di luar pintu masuk. Dengan niat meminjam, bantal diusung masuk dan diletakkan di atas katil yang bakal bersama melayari siang dan malam menempuh suka duka dan juga stress bagi mengejar sebuah impian (?)



Hari pertama diisi dengan menghadiri majlis anugerah dan juga taklimat oleh dekan PPJJJ. Penulis kemudian keluar pagar hadapan yang sudah hampir dengan dewan besar untuk membuat pembelian beberapa alatan asas. Oh ya, kali ini, koperasi yang terletak di aras bawah sederet dengan restoran mewah untuk jamu selera sepanjang pertapaan sudah ditutup. Menurut pelayan restoran, ianya tidak beroperasi lagi kini. Huh...maka mahu atau tidak, suka atau tidak, urusan untuk membeli keperluan terpaksa dibuat diluar. Kalau pada tahun sebelumnya, disitulah tempat untuk membeli alat tulis, sabun dan sebagainya, tapi kini terpaksa mencari di luar pagar. kalau dulu boleh juga membeli roti atau biskut atau sebarang jajanan buat menemani kesunyian malam, kini cukup hanya buku, nota dan juga suara-suara pensyarah yang telah direkod di dalam portal yang bakal menemani malam-malam yang panjang.

Hari kedua, kelas pertama bermula. Walau hanya satu jam, pengajian yang diberi adalah amat padat. Selepas kelas, penulis dan rakan sebilik (selepas ini disebut kami) sekali lagi keluar untuk mencari kedai membaiki note book. Malam semalam, note book rakan sebilik gagal memancarkan sebarang objek pada skrin beliau. Namun, selepas berjalan kaki kira-kira lima KM, sebaik tiba di kedai, skrin tersebut telah menyala semula. Ini semua ketentuan dariNya jua.


Seusai menuruni kedai, kami bergerak menuju ke restoran pelita yang terletak di tingkat bawah kedai. Kami menikmati nasi kandaq, kata orang sebelah sini. Sesiapa yang hadir ke pulau ini, tetapi gagal menikmati nasi kandaq, seolah² ia tidak pun menjejak kaki ke pulau ini. Hahaha... Harga nasi kandaq dengan seketul ayam goreng, dan tiga ketul sayur bender rebus dan kuah campur adalah RM7.00, manakala ditambah dengan milo ais berharga RM2.40. Harga telah termasuk GST....

Sebelum Asr, kami telah bergerak masuk ke dalam kawasan universiti, menunggu bas dan kemudian pulang ke penginapan. Pada kali ini, bilik hotel kami adalah paling hampir dengan surau sejak kedatangan kami secara tahunan empat tahun lampau. Maka suara azan dan iqamah setiap waktu kedengaran dengan jelas dan seolah penulis berada di bumi dua kota suci. 



Memandang hari ketiga sudah ada PB, maka aktiviti malam hari diisi dengan study. Meski telah mendapat tips dari pensyarah berkaitan topik yang bakal keluar, namun membaca nota dalam Bahasa Inggeris adalah agak menyiksakan. Namun sebenarnya, apabila terpaksa dan ada kehendak serta keinginan yang kuat, segalanya diredah jua. Mujurlah, PB boleh dijawab dengan Bahasa Melayu. Jika tidak, tak tahulah bagaimana keadaannya.

Hari ketiga, selepas menikmati brunch, kami menyambung acara study dan sekitar jam 3.30 petang, kami bergerak menuju ke dewan peperiksaan. Semuanya ini adalah dengan menggunakan bas pengangkutan. Tahun ini, bas yang disediakan adalah milik organisasi sendiri. Tahun² sebelumnya adalah menggunakan bas syarikat luar.

Seusai PB, kami bergerak lagi untuk keluar kerana hendak membetulkan HP yang seperti bermasalah untuk dicas. Dek kerana masa untuk dibetulkan memakan masa, dan kerosakan tidak bertahap kritikal, penulis tidak jadi untuk membetulkannya. Kami kemudian singgah untuk makan di salah sebuah restoran makanan segera. Ketika pulang, hujan lebat menyambut kami. Mujurlah sempat sampai ke perkarangan masjid. Seusai solat maghrib dan selepas iktikaf, kami bergerak ke dewan DKSK 2 untuk mengikuti kuliah Prof. Kuliah beliau adalah antara yang ditunggu² kerana membicarakan mengenai ekonomi politik yang biasanya menyentuh hal² semasa.

Kuliah beliau bermula jam 9 hingga jam 11 malam. Banyak isu yang dikupas oleh beliau dan kesemuanya membuatkan kami bertambah minat dan bersemangat untuk meneruskan perjuangan...

Balik dari kuliah, menghadap note book sebenar dengan nawaitu untuk menyiapkan tugasan. Namun selepas beberapa perenggan menulis, dikalahkan oleh mata yang memberat.

Hari keempat tiada sebarang kuliah. Masa diisi di dalam kamar yang menghidangkan kipas yang 24 jam berpusing tanpa henti dengan kelajuan lima tapi nilai pusingan rasanya seperti empat...Berdiri, duduk, baring berteman nota dan buku untuk menghadapi PB pada sabtu petang kelak.


Hari kelima, Jumaat yang agung. Kelas Industralisasi dihidangkan pada jam 11 pagi. Bergerak dari penginapan jam 10.45 pagi. Tatkala menjenguk masuk ke pintu dewan dari belakang, dewan sudah dihadiri ramai pelajar. Pensyarah juga sudah berada di hadapan. Kelas berakhir sekitar jam 1 tengahari. 


Solat Jumaat pertama di Masjid. Manusia telah memenuhi saf. Khutbah di sini menarik seperti yang dicertakan di entry sebelumnya. Tiada sebarang hadith berkenaan larangan berkata² yang dibacakan antara azan kedua dan khutbah pertama berlawanan sebagaimana yang diamalkan di negeri yang memegang kuat aliran Asya'irah Wa Maturidiah. Kemudian, tiada sebarang doa mendayu yang dibacakan di antara dua khutbah, berlawanan dengan amalan negeri aliran Asya'irah Wa Maturudiah. Tiada bacaan dalam bahasa melayu untuk khutbah kedua yang sangat padat, lengkap dan ringkas. Disebut juga nama empat khilafah islam tanpa dikuatkan dan diperpanjangkan gelaran RA di hujung nama mereka. Tiada disebut nama isteri Rasulullah  ﷺ, anaknya, cucunya atau bapa saudaranya yang mana ianya boleh mengundang tuduhan wahabi dan juga syiah diberikan sekaligus jika dilakukan dengan berani di negeri yang berpegang kuat dengan aliran Asya'irah Wa Maturudiah. 

Seusai solat, bergegas ke luar pagar lagi untuk mencetak tugasan bagi perbincangan jam 12 tengahari esok berkaitan desertasi akhir...

Wallahu a'lam



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol