Jika Dia sudah mengundangmu kepadaNya ...
Menjelang Dhuha yang terik tanpa teduhan sejak 14 hari lepas, penulis dan rakan mengambil sedikit sarapan pagi di kafe milik organisasi. Berkebetulan bertemu dengan susuk seseorang yang biasa ditemui sebelum ini. Pernah menyertai kursus BTN bersama. Untuk makluman, penulis menghadiri kursus BTN sebanyak dua kali. Tatkala itu kursus tersebut diperlukan untuk melepasi PTK 1 yang membolehkan pergerakan gaji. Jika tiada hadir ada kemungkinan tiada pergerakan gaji....Kali pertama hadir penulis diisytiharkan gagal. Kegagalan adalah bukan kerana tidak melepasi markah untuk peperiksaan bertulis, tetapi kegagalan di sebabkan LDK. Markah yang diberi hanya sipi² sahaja untuk mencapai tahap lulus.
BTN itu mengandungi dua tahap untuk ujian kelulusan. Tahap I adalah berdasarkan LDK yang dihadiri manakala tahap II berdasarkan ujian bertulis. Jika kegagalan kerana ujian bertulis, maka calon hanya perlu menduduki semula ujian tersebut. Tetapi jika gagal kerana ujian di peringkat LDK, maka calon perlu menghadiri semula keseluruhan kursus tersebut. Ini kita kisahkan di lain keluaran Insya Allah.
Susuk lelaki yang ditemui waktu makan tadi akhirnya duduk semeja dengan kami menceritakan perihal pengalaman mengerjakan haji melalui pakej yang bunyinya belasan RM. Hendak dijadikan kisah, maka pesawat yg sepatutnya disewa khas oleh pihak agensi telah tidak mendapat kebenaran untuk mendarat. Maka hari wukuf semakin hampir....Masalah visa telah selesai meski mahal harganya.
Maka jamaah seramai 10 orang dari agensi tersebut tertahanlah untuk berangkat. Namun lelaki ini tidak berputus asa. Meski agensi telah berjaji untuk memulangkan sebahagian wang yang telah dilunaskan sebelum itu, namun ia tetap telah jazam dengan nawaitu untuk berangkat. Maka Allah telah mempermudahkan urusannya. Dipermudahkan ia mendapat tiket penerbangan SAUDI AIR pada keesokan harinya. Meski terpaksa mengeluarkan wang tunai yang agak banyak. Sehingga ada kumpulan jamaah yang tidak kecukupan wang untuk menaiki SAUDI. Hendak dicari pesawat MAS, sudah ketiadaan tiket lagi. Banyak pesawat jenama lain, namun berdasarkan kepada pesanan bapa angkat lelaki tadi, ia tidak mahu menunggangi pesawat berjenama lain, selain SAUDI atau MAS sahaja.
Maka dalam keadaan yang agak ribut itu, Allah datangkan susuk wanita berusia 50an dari SIngapura yang gagal mendapatkan mahram utuk ke Haramaain. Dia meminta bantuan ustaz, ketua jamaah yang ketiadaan pesawat kerana kegagalan mendapat hak pendaratan itu. Maka ustaz ketua jamaah bersetuju membantu. Maka masalah kekurangan wang dibantu pula oleh wanita tadi dengan syarat sebelum pulang, peminjaman wang tersebut dilunasi segera.
Maka di saat² genting, berlarian jamaah ini menuju ke pintu masuk disebabkan masa yang semakin suntuk. Segala puji bagi Allah, semuanya selamat akhirnya berada dalam perut pesawat milik Saudi. Di dalam pesawat, terdapat dua lagi jamaah dari agensi lain. Ada yang berharga RM99K untuk mengerjakan haji.
Tatkala transit di Changi. kumpulan jamaah ini mengenakan kain ihram dengan selesa. Sebaik mendarat di lapangan terbang antarabangsa maka pengangkutan ke arafah mula menjadi agenda. Meski hari wukuf semakin menjelang tiba...
Maka selepas dicari, maka dapat persetujuan dengan harga 600 riyal saudi seorang untuk sewaan bas dari lapangan terbang ke makkah dan arafah dan mina dan kembali ke makkah. Maka perjalanan pun diteruskan. DItaqdirkan, di pertengahan jalan, bas yang membawa jamaah RM99K telah rosak. Maka , mereka juga terpaksa menumpang bas yang dinaiki oleh jamaah yang gagal mendapatkan hak pendaratan pesawat.
Ironinya, selepas berbincang dengan ketua jamaah RM99K, mereka bersetuju agar jamaah ini yang masih tiada hotel atau tempat berwukuf ditempatkan di lokasi yang sama dengan mereka. Maka mereka mendapat lokasi yang baik dan hampir dengan tandas. Betapa besarnya nikmat Allah atas mereka.
Seusai urusan haji, mereka duduk menumpang sebentar di masjid kota makkah iuntuk dua tiga hari kerana masalah ketiadaan penginapan. Sebaik sahaja mereka selesai di masjid tersebut kerana ditutup selepasnya, maka mereka dapat menginap di hotel berharga RM150 untuk enam orang...Bertuah mereka ini.
Ini dikatakan bahawa apabila Dia telah memanggil, tiada siapa yang boleh menghalang. Lelaki tadi juga menyatakan dan mengajari kami konsep tawakkal dan serta taqwa merujuk kepada ayat 2 dan 3 surah At Talaq
ۚ وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا - 65:2
وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ
ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا - 65:3
di mana intisarinya ialah
"Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya) serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah) sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
Jalan taqwa, menurutnya lagi, perlu dicapai dengan meninggalkan maksiat. Antara perkara yang perlu dijaga ialah 7 anggota zahir. Mungkin nanti kerap jatuh dalam mengawalnya, namun bangkitlah kembali agar syaitan akan rasa terhina akhirnya...
Wallahu a'lam
Ulasan