Kluang-Ipoh-Kluang by 11 hours

10 Jamadil Akhir , 1439 tahun dari hijrah Ar Rasul

Sejarah baru terpahat dalam diari kehidupan penulis dimana penulis memulakan safar pagi sekitar jam 7.10 pagi dari rumah menuju destinasi Ipoh Perak...dengan jarak 400km lebih. Dan tugasannya ialah, menghantar isteri ke Ipoh, then kembali semula ke rumah pada hari yang sama tanpa bermalam!!


Kenderaan masuk ke pintu tol Ayer Hitam sekitar jam 8.15 pagi. Sesuatu yang paling memualkan bila hendak menambah amaun touch n Go, kaunter off line. Sesuatu yang sangat unik, dimana wang kita diperlukan, tetapi cara nak membuat bayaran dikekang dan dihadkan. Sistem ini seolah tidak sesuai dan tidak relevan. Jarang sekali kaunter tambah nilai di lorong masuk menemui on line....Kerap off line dan meresahkan sang pemandu...

Meninggalkan pintu tol masuk dan memecut menuju ke destinasi dengan kelajuan 140km per jam. Kenderaan hanya diperlahankan sedikit di kawasan yang disyaki mempunyai penunggu yang bisa 'menarik' duit dari poket dengan jumlah yang banyak. Penunggu yang kelihatan ialah di lokasi Pagoh selepas jambatan merentangi sunagi Muar. Rupanya ada lagi tambahan di sekitar Jasin. Sesuatu yang membanggakan dan disyukuri pabila kami dapat masuk ke pemukiman Hang Tuah selepas sejam berada di lebuhraya....Dan kami berhenti minum di R n R Seremban pada jam 9.15 pagi!!

Image result for bayar tol guna kad

Perjalanan diteruskan selepas mengisi tangki petrol penuh sebanyak 35 liter di gambar cengkerang. Kenderaan terus memecut dengan beberapa gangguan. Kebanyakan lorong ditutup sebelah kiri atau kanan kerana proses pembaikan. Objektif pembinaan lebuhraya antara lain adalah untuk mempercepatkan waktu perjalanan. Sepatutnya, apabila berlaku penutupan lorong yang menyebabkan pergerakan agak lambat, kadar bayaran tol dikurangkan sebagaimana yang diamalkan di negara Barat yang dikatakan sesat dan tidak boleh di amalkan di negara ini. Ironinya, amalan meminum arak, berpesta, berlibur dengan artis tidak pula dianggap sesat, tetapi amalan positif seperti mengurangkan kadar tol apabila berlaku kesesakan akibat kerja² pembaikan tidak pula mahu diamalkan!!

Kami berhenti sebenar di ruang rehat yang terlupa namanya, untuk membuang yang keruh dan mengambil yang jernih sekitar jam 12 tengahari. Apabila dibelek pada google map, jarak sekitar kurang satu jam untuk tiba.

Dan akhirnya, sekitar jam 12.45 kami telah keluar dari tol Ipoh menuju destinasi yang kami temui sekitar jam 1 tengahari. Laluan ke lokasi adalah agak sempit dan dipenuhi dengan bangunan lama serta kem tentera.

Penulis terus berangkat pulang tatkala azan zuhur berkumandang sekitar jam 1.30 tengahari. Dengan pecutan 140km juga, penulis terpaksa berhenti di R n R USJ untuk mengisi petrol yang kosong. Setelah debit ditolak di kaunter dengan alasan di luar boleh dilakukan transaksi, penulis mencampakan wang berniali RM50 ke kaunter yang dijaga oleh lelaki luar negara. Sayang sekali kerana lelaki ini gagal memahami prosedur. Penulis menyatakan sebab tidak mahu melakukan transaksi di peti petrol kerana wang akan didebitkan RM200 sebagai deposit meski amaun yang diisi kurang dari itu dan tidak diambil kira dalam amaun RM200 itu. Meski wang tersebut akan dikredit kembali dalam masa seminggu, tapi ianya kurang selesa untuk marhain seperti penulis. Ianya bukan satu larangan kerana kebanyakan kedai petrol menerima debit di kaunter. Hanya segelintir sahaja yang agak 'malas' atau 'sombong' atau sememangnya tidak tahu prosedur dan berpura² sertya berlagak dengan pelanggan.

Berbalik kepada kaunter yang dijaga oleh orang bukan warga negara, sudah barang sepatutnya pemerintah bertegas dengan penggunaan bukan warga sebagai petugas di kaunter umum milik swasta. Tidak berapa molek dilantik dari kalangan mereka yang dilihat boleh mencacatkan pandangan orang luar seperti pelancong asing!!

Seusai mengisi petrol, mencari lokasi untuk solat gagal ditemui di sekitar kawasan tersebut. Entah kerana hati yang panas, atau apa, penulis akhirnya mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan sehingga menjelang Asar. Sekitar jam 5, penulis tiba di Pagoh dan menunaikan hajat serta kewajipan di sana. Sekitar jam 5.40 petang, penulis memecut semula tetapi agak terhalang dek kerana penutupan lorong seperti yang berlaku sepanjang perjalanan ke utara sebentar tadi.

Penulis 'berjaya' tiba di pintu til keluar sekitar jam 6.15 petang dan tiba di rumah sekitar jam 6.50 petang...

Segala puji bagiNya jua dipanjatkan...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Marhaban dan baraan

Kisah Seorang Jurutol