Naik Bas Cepat Sampai Lewat - Naik Bas Lewat Sampai Cepat?

Hari terakhir di pulau impian, ditutup dengan PB Public Policy. Meski yang dihafal setengah gila itu tidak keluar, namun soalan yang keluar tidak mengecewakan untuk dijawab. Dan dengan langkah pendekar yang baru selesai bertempur, penuh bergaya menghantar kertas jawapan dan keluar dewan. Kaki bergerak pantas menuju ke lokasi bas untuk naik ke resort Tekun bagi mengangkut beg dan juga note book yang seolah papan loh itu.

Sebaik tiba, gajet dibuka untuk menempak kenderaan grab. Sebenarnya perisian grab telah agak lama bertapa di dalam gajet penulis namun dibiarkan mengangur kerana tidak wujud grab di sekitar daerah kediaman penulis. Hanya baru² ini sahaja ianya muncul di tengah pasaran kapitalis. 

Sebaik grab berjaya ditempah, penulis menyiapkan barang² akhir yang perlu dimasukkan ke dalam beg dan akhirnya mengunci pintu dan bergerak ke pejabat resort untuk check out. Sebelum ini, iaitu pada tahun² sebelumnya, kaedah check out hanyalah dengan memasukkan kunci ke dalam tabung yang disediakan di ebelah lif. Tapi pada tahun ini, pelanggan diminta untuk menyerahkannya di kaunter.

Sebaik tiba di kaunter, kunci diserah tanpa perlu menandatangani sebarang dokumen. Begitu mudah rupanya...

Sebaik menuruni anak tangga dan mengheret beg ke pondok menunggu grab, kebetulan bas baru sahaja tiba dan bertemu dengan rakan² yang baru lepas menghadapi PB yang sama. 

Beberapa ketika kemudian, grab tiba dan pemandu ialah seorang lelaki berketurunan sikh berdasarkan kepada penampilannya yang memakai serban yang bukan biasa dipakai oleh seorang muslim kelompok sunni mahupun syiah. Kenderaan peugot yang agak mewah memberikan sedikit keselesaan kepada penulis. Jam ditangan menunjukkan ke angka 2.15 petang. Kami tiba di stesen bas sekitar 15 minit perjalanan...Bayaran dikenakan ialah RM8.

Sebaik tiba, penulis disambut oleh si penjual tiket mesra menyapa setiap makhluk yang membawa beg besar menuju ke kenderaan bas. Setelah mendapat persetujuan, penulis mengikuti sang penjual menuju ke kaunter tikat. Wang dibayar dan penulis memasukkan bagasi besar ke bahagian penyimpanan dan seterusnya membawa beg berisi note book ke tempat duduk. Berkebetulan, banyak lagi tempat duduk yang masih kosong...

Bas bergerak sekitar jam 2.45. Hati terasa agak lapang kerana berdasarkan kepada pengalaman sebelum ini, penulis hanya berkesempatan menaiki bas ke TBS pada jam 4.00 petang dan berjaya tiba di lokasi sekitar jam 8.00 malam, iaitu sekitar 4 jam perjalanan. Maka dengan bergerak lebih awal, berkemungkinan akan sampai lebih awal dan dapat menyambung bas ke selatan lebih awal dan seterusnya tiba lebih awal.

Maka bergerak bas tersebut. Beberapa minit kemudian, ia berhenti seketika di tepi jalan mungkin untuk sesuatu perkara yang tidak diketahui dan ianya agak sebentar cuma. Kemudian bergerak agak perlahan dan akhirnya membelok ke suatu kawasan perindustrian dan akhirnya berhenti di sebuah bangunan seperti bengkel. Sebaik berhenti, pemandu mengumumkan agar penumpang turun untuk tukar bas. Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 3.30 petang...

Dan sebaik bertukar kenderaan, perjalanan mula lancar. Sayangnya, beberapa minit selepas melepasi jambatan terpanjang, bas berhenti pula untuk mengambil petrol di salah sebuah stesen minyak. Ianya memakan masa sekitar 10 minit dan penulis berkesempatan untuk membeli minuman.

Bas meneruskan perjalanan namun belumpun melepasi waktu Asr, bas telah berhenti di sebuah R n R. Pengumuman dibuat bahawa bas akan berhenti sekitar 20 minit. Masa digunakan penulis untuk menunaikan solat qasar. 

Sekitar jam 5 petang, bas meneruskan perjalanan. Sekitar jam 6.30 berhenti lagi untuk membenarkan penumpang membuang yang keruh dan mengambil yang jernih. Sebenarnya, penulis sudah tidak dapat hendak menahan desakan membuang air. Namun setelah diberitahu kepada pemandu, ianya bertegas untuk meneruskan perjalanan. Penulis hanya diam dan cuba bersabar. Namun, lama kelamaan desakan semakin melampau. Penulis telah mengambil keputusan untuk membuang di dalam botol minuman yang dikosongkan sahaja memandangkan perjalanan masih jauh. Namun dalam hati tidak putus berdoa moga Allah permudahkan. Tidak semena², bas tiba² membelok ke suatu lokasi pengisian minyak dan berlari seorang penumpang wanita dari aras bawah meluru keluar. Mungkin atas desakan yang sama. Itu tidak penting. Yang penting, penulis berpeluang melangsaikan tuntutan yang mendesak. 

Sekitar jam 8 malam, baharulah bas menjejaki KL dan lokasi pertama yang dituju ialah KL sentral . Penulis menjangkakan bas akan tiba di TBS sebelum jam 8.30 maka penulis dapat mengejar tiket akhir ke selatan pada jam 9.00 malam. Malangnya, bas hanya tiba di TBS tepat jam 8.30. Selepas turun dan tergesa² menunaikan hajat, penulis mencari tiket. Malang sekali, bas terakhir ialah pada jam 10.00 malam dan ini hanya akan menyebabkan penulis mencecah kaki ke bumi permastautinan selepas jam 1 pagi....

Masa yang ada digunakan untuk solat dan makan. KFC dipilih untuk menu makan malam. Meski terpaksa beratur agak panjang, penulis hanya mampu bersabar menunggu...

Seusai menikmati hidangan, jam menunjukkan ke angka 9.30 malam. Penulis agak terkejar-kejar menuju ke kaunter masuk. Sebaik diunjukkan tiket, pengawal bertugas mengarahlkan penulis ke lokasi lain. Oh, sudah ada dua pintu masuk rupanya. Masa semakin kritikal.

Sebaik mendaftar, penulis masih sempat untuk menunggu. bas yang dijanjikan tiba pada waktunya. Sebaik dapat duduk, penulis merehatkan organ dan tubuh. Tiba di lokasi sekitar jam 1.15 pagi..

Penulis berazam tidak menyewa teksi kerana pada waktu dinihari ini, harga akan naik dengan berganda. Penulis mencuba mencari grab car. Syukur kerana ada. Namun penantian memakan masa 15 minit. Bebreza dengan grab car di pulau impian dimana masa menunggu adalah sebentar dan pemandu akan segera menghubungi kita. Di sini, penulis terpaksa menghubungi pemandu tersebut untuk kepastian. Kemudian, kenderaan myvi muncul. Pemandu hanya duduk di kerusi pemaduan meski melihat kita membawa bagasi yang banyak. Bagasi besar disumbat ke dalam perut kenderaan dan yang dikendong terus dikelek di tempat duduk. Hasil perbualan ringkas, pemandu pada siang hari bekerja di sektor awam...

Beberapa minit kemudian, kami tiba di hadapan rumah. Dengan bayaran RM8, penulis kemudian berteria kasih dan mensyukuri nikmatNya...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol