Melatih Bakal Pemimpin Berminda Emas
19 Rejab 1439 penghulu segala hari...penulis meninggalkan halaman rumah sekitar jam 7.15 pagi untuk menyelesaikan misi kedua untuk tahun 2018 masehi. Menuju ke rumah sahabat fasi yang terletak sekitar 5 km untuk membawa bersama ke kem latihan. Kemudian, kami singgah di warung lontong sate di pekan satelit. Kiri kanan jalan sudah mula dirimbuni dengan bendera berwarna biru pekat dengan lambang timbang sebagai tanda akan terbubarnya parlimen negara. Ah...apa dihairankan dengan politik negara yang caca marba. Pilihanraya selepas 13 kali dilalui boleh dianggap sebagai cop untuk mengesahkan keabsahan parti yang mentadbir negara sahaja. Tidak ada yang lebih menarik daripada itu...
Kami kemudian mengambil PH yang menunggu di persimpangan jalan. Beliau ini adalah penting untuk memastikan kejayaan program yang telah dirancang. Seterusnya kami singgah lagi di warung tepi jalan untuk menunaikan hajat sang PH yang masih belum menikmati sarapan di waktu pagi...
Melalui jalan kampung yang kini dihiasi dengan bendera biru berlambang alat timbangan zaman dahulu kala. Hanya sesekali kelihatan bendera hijau dihiasi bulatan putih. Kami akhirnya tiba di pekan yang berhampiran dengan kem latihan. Singgah untuk membeli alatan penyegar nafas, kami akhirnya tiba di pintu masuk kem sekitar jam 9.30 pagi. Peserta telah tiba dan kelihatan sibuk dengan urusan masuk ke dalam bilik penginapan.
Sekitar jam 10 pagi, penulis yang masih bertugas selaku khadam memulakan acara dengan memperkenalkan fasi yang bertugas. Kemudian, penulis mengendalikan sesi ice breaking ringkas. Dengan jumlah peserta seramai 80 orang, acara nama berantai dan bonggo menjadi pilihan. Meski para peserta cilik dalam lingkungan umur 9 hingga 12 tahun ini kurang dapat memahami isi bongo itu, namun objektif SDK dapat dicapai, iaitu bagi memecahkan blok di kalangan mereka agar dapat berkomunikasi dan berfungsi dengan baik bagi menjalani latihan seterusnya. Sebaik sahaja pembentukan kumpulan selesai, kami bersama menikmati jamuan tengahari. PH yang juga bertindak selaku KK telah mula menunjukkan taring emasnya yang sekian lama tersimpan namun diasah dengan begitu rapi.
Peserta kemudian berjalan kaki menuju masjid untuk menunaikan solat manakala kami berempat menuaikan kewajipan di masjid berasingan yang terhampir selepas memakai ijtihad salah seorang daripada ulama kami yang tersohor.
Seusai solat, kami sempat balik ke bilik penginapan dan kemudian bergegas menuju ke dewan untuk SDK berbentuk pembentangan kumpulan. Di sini, peserta diuji daya ketahanan mental mereka dengan membuat pembentangan dan seterusnya memberikan hujjah mempertahankan hasil kerja mereka dari kritikan peserta lain dan juga fasi. Fasi memberikan provokasi yang cukup sengit dan ini cukup memberikan motivasi kepada peserta lain untuk membuat kritikan. Namun dek kerana kesuntukan masa, pembentangan telah diringkaskan.
Seusai solat Asr, peserta menikmati permainan kanvas hikmah. Kemudian kami makan dan solat bersama. Seusai isya, OKU dan redio karat mengambil tempat dengan kedatangan mentor penulis sendiri selaku fasi. Penulis membantu beliau untuk menjayakan program Dek kerana masa yang diperuntukan hanya dua jam manakala terdapat dua aktiviti besar, maka sesi kedua kelihatan tidak dapat diterima dengan baik oleh peserta.
Malam di kem adalah amat sejuk dengan penghawa dingin yang keterlaluan. Penulis menggigil kesejukan di tengah malam dan terpaksa mematikan penghawa dingin.
Acara qiyam hanya bermula pada jam 5.30 kerana kelewatan jamaah lelaki menuju lokasi program kerana lewat bangun. Ironinya, peserta perempuan sempat pula bangun lebih awal dan mendakwa mereka telah bangun seawal jam 3 pagi!!
Seusai subuh, penulis kembali ke bilik dan sempat melelapkan mata sebentar sebelum menyertai modul wajib program iaitu kembara. Kali ini, lokasi penulis ialah di pinggir tanah perkuburan lama. Menarik sekali kerana empat kumpulan yang melalui trek ini begitu teruja dengan tanah perkuburan tersebut dengan ketakutan. Jelas kelihatan wajah ketakutan itu dari riak muka peserta perempuan khususnya. Alangkah berjayanya para pengeluar filem dan drama yang berbau seram dalam hal ini. Mereka berjaya mencetak generasi penakut yang kerap dimomok momokkan dengan hantu jembalang dan sebagainya.
Seusai tugas, penulis berjaya membuat tukaran barang dengan peserta berupa dua bentuk bendera kumpulan dan tiga set tanda nama. Selaku KF, penulis telah diamanahkan untuk menjaga barang berharga yang bakal menjadi kunci penamat program. Selepas menunggu di tengah panas, misi akhirnya dapat diselesaikan jua. Lokasi tersebut terletak di tapak pendaratan udara tentera Jepun semasa perang dunia kedua.
Kembali ke pengkalan dengan menaiki kenderaan fasi. Berehat sebentar di pejabat dan kemudian menyertai program resolusi dan penutup. Kelihatan guru dari SK tersebut agak teruja dan seolah ingin melaksanakannya lagi pada tahun berikutnya ..
Wallahu a'lam
Kembali ke pengkalan dengan menaiki kenderaan fasi. Berehat sebentar di pejabat dan kemudian menyertai program resolusi dan penutup. Kelihatan guru dari SK tersebut agak teruja dan seolah ingin melaksanakannya lagi pada tahun berikutnya ..
Wallahu a'lam
Ulasan