Mazhab Baru Muncul Bersama Kerajaan Baru?

Malam ke 16 Ramadhan, ditandai dengan mudah bagi pengikut ajaran mazhab Syafie dengan bacaan qunut pada rakaat ketiga solat witir.


Sebuah majlis iftaar yang dihadiri penulis di salah sebuah sekolah agak menarik untuk dipotretkan di sini. Sebelum masuk waktu maghrib, tatkala menunggu azan, petugas mengumadangkan bacaan surah yaasin secara beramai² sebagaimana amalan penduduk tanah semenanjung sejak yang diwarisi sejak zaman berzaman lagi. Berkebetulan malam ini merupakan malam Jumaat.

Sebaik azan berkumandang, kami pun iftaar dengan kuih dua jenis dan sebotol kecil air mineral. Kemudian, iqamah dilaung dan kami solat berjamaah. Seusai solat, kami ke dewan makan untuk menikmati jamuan berat. Nasi hujan panas berlaukkan ayam masak merah dan sedikit kuah dal. Air sarsi tanpa gas dan air tauhu berwarna putih pekat menjadi hidangan penyejuk tekak yang gersang. 

Seusai makan malam, kami duduk menanti program seterusnya. Peserta program galak sekali mengalunkan bacaan tasbih mengikut rentak zikir munajat yang dipopularkan oleh Ustaz Badrul Amin suatu ketika dahulu. Namun , bacaan Nur Muhammad masih lagi dimasukkan ke dalam senikatanya meskipun Syekh Nuruddin Al Banjari Al Makki, tokoh terbesar Sunni Nusantara pernah menolak perkataan nur muhammad dalam alunan zikir munajat tersebut dalam salah satu program pagi jumaat bersama radio IKIM beberapa tahun lepas. Beliau mencadangkan agar perkataan nur itu ditukar kepada 'ala muhammad, iaitu ke atas batang tubuh Junjungan Muhammad SAW itu sendiri.

Zikir munajat yang dialunkan telah diinovasi juga dengan tambahan perkataan melayu yang lebih kurang bunyinya,

Cintakan Bunga, bunga kan layu
Cintakan manusia, manusia kan mati
Cintakan Allah, Kekal Abadi
Itulah Cinta Yang Sejati

Penulis kurang arif dari sumber mana pula datangnya ayat² inovasi tersebut tetapi wajarlah telahan dan persepsi penulis selama ini bahawa wangsa Melayu adalah wangsa yang gemar membuat inovasi, khususnya dalam bidang agama...

Kemudian, kami dipanggil untuk solat taubat dan solat hajat. Sang imam menerangkan sedikit kaifiat dan bacaan dalam solat tersebut. Dan kemudian, sang imam bertakbir. Seperti biasa, penulis khususnya membaca iftitah dan meneruskan dengan al fatihah. Tetapi, tanpa diduga sang imam mengeraskan bacaan alfatehah. Wah ini satu bentuk inovasi baru. Jika sebelum ini di organisasi penulis, jika disebut solat sunat yang dilakukan secara beramai-ramai, termasuk solat sunat dhuha, tidak pernah wujud imam yang mebgeraskan bacaan mereka, khusus sekali solat hajat dan solat taubat. Dalam program² qiam tajaan organisasi penulis, yang sangat terkenal berpegang teguh kepada ajaran aliran asyairah wa maturudiah sub aliran nusantara, tidak pernah sama sekali berlaku kes seperti ini.

Oklah, seperti yang biasa penulis lakukan dan pegang bahawa solat sunat selain eid, terawih dan witir, tidak perlu berjamaah, maka penulis hanya berniat tidak mengikut imam. Hanya pergerakan sahaja yang dibuat selepas imam.

Imam membaca jahar untuk solat sunat taubat. Itu satu perkara. Yang paling menyentuh ialah, apabila tiba selepas ayat

صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ

Sang Imam mensirkan bacaan

غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ 1:7

Pada awalnya penulis berfikir, mungkin ada kerosakan pada pembesar suara.
Tetapi penulis masih mendengar kaedah bacaan yang sama untuk solat hajat juga....
Maknanya ada kaifiat yang baru untuk solat sunat secara berjamaah?

Makanya daripada amalan penduduk semenanjung emas, khususnya yang berada di Gapura
Selatan, negeri yang menjadi kubu kuat aliran asyairah wa maturudiah versi nusantara,
bacaan untuk solat sunat berjamaah itu ada tiga jenis,

i. bacaan sir
ii. bacaan separa sir (seperti contoh kejadian tadi)
iii. Bacaan secara jahar - ini pernah berlaku dalam satu program di masjid jame sg abong
Muar

wallahu a'lam

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol