Menghias kubur menjelang syawal

28 Ramadhan tahun ke 1439 daripada hijrah Ar Rasul

Mempamerkan hari yang cerah dan indah. Dalam perjalanan menuju ke pasar untuk membeli sedikit keperluan, perjalanan kami melalui kawasan pusara yang menempatkan mereka yang telah pergi. Kelihatan beberapa kenderaan dan manusia yang wujud di kawasan pusara tersebut.

Oh ya....sudah hampir menjelang syawal. Sudah menjadi kebiasaan umat melayu untuk menziarahi pusara orang tersayang sebagai lambang dan tanda kasih sayang yang masih menghijau, mungkin sehijau pohon yang ditanam di bahagian kepala pusara sejak tarikh dikebumikan. Ziarah tersebut selalunya berbeza daripada ziarah biasa. Ada sesuatu yang diperbuat di kawasan pusara tersebut seperti aktiviti pembersihan dan pengindahan kawasan pusara. Terdapat waris yang mengecat batu nesan dan 'kepuk' yang membatasi ruang pusara. Maka akan jadi pelbagai warna di taman pusara tersebut. Tiada sebarang halangan atau kekangan yang dibuat oleh pihak berkuasa agama mengenai perkara tersebut. Ianya diterima dengan redha dan menjadi salah satu budaya atau adat mereka, menghiasi pusara bersempena hari raya.

Bagi yang lebih ekstrem, mereka akan mengikat batu nesan dengan kain putih, entah dari bacaan kitab mana yang disyarahkan kepada mereka yang menjadi ikutan mereka itu. Kain putih ini akan dibiarkan setahun, dan pada penghujung ramadhan tahun berikutnya, kain itu ditukar ganti dengan yang baharu..

Related image

Kebanyakan umat Melayu sangat mementingkan penjagaan pusara secara zahir, tetapi kurang menitikberatkan kiriman doa kepada penghuni pusara. Bukankah yang dapat membantu penghuni pusara itu ada tiga sebagaimana yang disabdakan oleh Junjungan ﷺ iaitu:-

i. Sedekah jariah
ii. doa anak yang soleh
iii. ilmu yang bermanfaat

Adakah menghias pusara saban tahun itu tidak dikira sebagai satu pembaziran? Adakah dengan menghias pusara dengan semoleknya sahaja yang dapat ditandakan sebagai solehnya para waris?

Bagaimana dengan perkuburan sahabat di baqi Madinah dan juga di ma'la yang terbiar tanpa sebarang nesan, kepuk bahkan tanda nama? Adakah itu bererti ianya tidak menggambarkan kesolehan mereka? Adakah ianya tidak menampakkan ciri-ciri kasihnya umat ini kepada mereka?

Wallahu a'lam

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol