Nilai seorang bayi...
Negara begitu huru hara dengan kelakuan seorang menteri kanan yang berbahasa lain daripada bahasa kebangsaan dalam kenyataan rasmi negara. Gegak gempita kesemua pejuang bahasa, pejuang bangsa dan juga pejuang agama 'menjerit' saking membela bahasa ibunda. Dosa besar yang tidak dapat diampun dengan hanya sekelumit permohonan maaf. Baik pengundi apalagi pembangkang, riuh rendah di laman maya.
Tapi agak malang, bayi yang suci terbuang, dilempar dari aras tinggi ke bumi merekah, seolah tidak dihiraukan 'sangat' oleh warga maya.
Ada suara sedikit sumbing yang cuba meredakan sedikit ketegangan pembunuhan dan pembuangan bayi bak membuang dedaun kering, dengan menyalakan kempen seks selamat. Ertinya, seks perlu dilakukan dengan selamat. Adakah dengan bersarung keris seks itu selamat? Apakah dengan memancar di luar dinamakan seks itu selamat? Jawapan ampuh telah ada dalam al quran...pernikahan.
Masalah utama wangsa melayu (majoriti) ialah tidak dapat menerima perkahwinan di usia muda. Ya...mungkin kerana generasi kini terikat dengan sistem di mana usia muda untuk bersekolah dan belajar. Tapi berapa ramai yang keciciran tidak pula diangkat sebagai isu nasional. Maka usia remaja yang bergejolak, ditambah dengan pelbagai anasir pembakar nafsu yang berada di hujung jari menyemarakkan pergaulan bebas dan sosial tahap tinggi. Undang² ketat untuk bernikah, adat yang begitu dijunjung dengan maskahwin belasan ribu, ditambah perisa hidangan perkahwinan ala princes di media membuahkan sebuah generasi yang lebih selesa bercouple daripada mendirikan rumahtangga. Dengan hutang PTPTN yang mengalung leher mahasiswa saban tahun, desakan kos sara hidup yang meningkat, mana mungkin wang hantaran bernilai belasan ribu mampu disediakan? Maka terhasilah masalah pembuangan bayi yang semakin meningkat. Paling tidak, melakukan seks secara selamat...
وَإِذَا الْمَوْءُودَةُ سُئِلَتْ — بِأَيِّ ذَنْبٍ قُتِلَتْ
“Dan apabila bayi-bayi perempuan yang dikubur hidup-hidup ditanya, karena dosa apakah ia dibunuh.” (QS.at-Takwir:8-9)
Masalah utama di sini ialah kegagalan kita untuk mengawal gejala zina yang merupakan barah tahap 4 dalam masyarakat yang kununnya diungguli oleh nilai agama. Berpeleseran di kalangan lelaki dan wanita tanpa batas menjadi lumrah kehidupan. Tidak berpeleseran secara konvesional, mereka mampu berpeleseran di dalam bilik terkunci rapat dengan hanya bertemankan gajet.
Sang Pencipta Yang Maha Agung telah memberikan satu formula ampuh yang telah ditinggalkan jauh oleh mereka yang mengelarkan diri sebagai muslim, iaitu jangan dekati zina. Bukan untuk melakukan, bahkan mendekati juga sudah dilarang. Seperti halnya larangan tuhan terhadap bapa sekelian manusia, iaitu Adam daripada mendekati pohon terlarang. Banyak lagi pohon lain yang lebih menarik daripada pohon larangan tetapi mengapa bapa kita Adam tetap tertarik untuk mendekatinya? Begitulah tabiat manusia yang gemar dan amat tertarik dengan bahan terlarang....
Antara formula yang dinyatakan oleh Junjungan ﷺ ialah perintah untuk bernikah dan bagi sesiapa yang tidak mampu diperintah untuk berpuasa. Membataskan pergaulan di kalangan lelaki dan wanita perlu dilaksanakan oleh semua pihak, seperti guru, ibu bapa, pemerintah ... Kadangkala kita sendiri terlalai dan menjadi alat kepada Lucifer untuk mendedahkan generasi muda kepada pintu maksiat melalui program yang berada di bawah pengawasan kita.
Zina itu tidak mengenal mereka yang sudah atau belum berkahwin. Tua atau muda. Alim atau jahil. Jarum Lucifer adalah amat halus untuk menusuk masuk ke dalam darah dan menggelorakan nafsu...
Namun pada pandangan penulis, penguatkuasaan peraturan perlu diperketatkan. Sudah terlalu lama pemerintah menjalankan program mengingatkan, dakwah dan sebagainya dengan pengutkuasaan yang terlalu longgar. Pemahaman terhadap agama perlu disulami dengan pengutkuasaa peraturan yang ketat menurut syariah. Golongan liberal dan munafiq pastinya benci dengan saranan ini lantas pelabelan sebagai Taliban, kerajaan mullah, teroris akan dipalitkan kepada mereka yang cenderung kepada penyelesaian secara agama.
Masayarakat kita sudah semakin terpesong dan terdorong kepada kemungkaran melebihi kebaikan. Dalam pada menjaja majlis-majlis atas nama majlis Junjungan, yang meraih ratusan RM, kita biarkan sahaja makmum jamaah subuh keesokan harinya dengan jumlah yang sama seperti semalam. Walhal semasa program yang menggunakan nama junjungan, belasan ribu yang hadir. Tidakkah kita merasa malu dengan junjungan ﷺ ?
Kita masih sibuk terperangkap dengan budaya takfir, melabel mereka yang tidak sealiran dengan kita sebagai sesat, memburuk-burukkan orang yang cuba membuat kebaikan, memperbesarkan isu untuk bertujuan memalukan dan menjauhkan orang ramai daripada kerajaan sedia ada, namun kita seolah lupa kepada masalah kebejatan akhlak yang semakin teruk melanda kita...Jarang sekali netizen membincangkan masalah kebobrokan akhlak...
Penulis masih ingat semasa zaman Tok Mat selaku Menteri Penerangan dimana beliau telah menghadiahkan satu bentuk tarbiyyah secara tidak langsung kepada golongan karyawan filem dengan menidakkan segala filem yang berunsur tahyaul, memotong aksi ganas, adegan berahi, meski hanya bercumbu daripada muncul di kaca TV. TV kita waktu itu kerap diselangi dengan asma al husna, dendangan selawat dan zikir. Namun kini, semuanya seolah sirna begitu sahaja. Penulis merasakan proses liberalisasi bermula dengan dominasi pihak liberal terhadap saluran TV. Ketiadaan Tok Mat seolah pintu liberalisasi terbuka luas di dalam rumah kita melalui TV. Maka berhamburan hantu dan syaitan yang dibawa masuk ke dalam rumah kita melalui saluran TV. Adengan berahi ringan mula dipertontonkan, bahkan artis berambut panjang dan berpakaian tidak sopan dengan mudah muncul di pentas media. Siapakah yang bertanggungjawab terhadap perkara ini?
Alangkah malangnya jika kita masih sibuk dengan isu yang tidak menjejaskan aqidah pun, seperti isu bahasa menteri berusia kurang 60 hari itu tetapi terus membiarkan umat ini terjajah dengan bentuk kekacauan aqidah yang merasuk jiwa anak mudanya. Kita tidak risau dengan program realiti TV yang membolehkan anak sejak usia sekolah kebangsaan menjadi artis. Kita tidak risau dengan konsert yang dibuat setiap kali sambutan besar negara. Kita tidak risau dengan kecelaruan aqidah umat hingga muncul golongan athies. Adakah kita sudah menjadi semakin hipokrit?
Wallahu a'lam
Ulasan