semangat badar dan syahidnya sang imam
17 Ramadhan mengandungi pelbagai peristiwa penting dalam diari umat Islam. Yang paling penting ialah peristiwa turunnya Al Quran sebagai kitab panduan dan mukjizat terbesar Junjungan Muhammad ﷺ dan pusaka agung tinggalan baginda untuk umat. Ulama mempunyai pandangan berbeza berkaitan peristiwa ini dimana sebahagian menyatakan ianya adalah masa al quran diturunkan sekaligus daripada luh mahfuz ke langit dunia. Sebahagian menyatakan, tarikh tersebut sebagai tarikh dimana Junjungan ﷺ menerima wahyu pertama di gua hira...
Setiap tahun umat menyambut peristiwa nuzul al quran. Disesetengah negara cuti umum berlaku sebagai menghormati tarikh keramat tersebut. Tapi sayang sekali, meskipun saban tahun diraikan, masyarakat kelihatan masih jauh daripada pengamalan al quran dalam kehidupan. Walhal, al quran itu adalah seumpama manual kehidupan manusia yang wajib dirujuk untuk menjamin kesejahteraan...
Peristiwa kedua yang penting pada tarikh tersebut ialah peperangan badar al kubra yang menyaksikan pertempuran antara pihak Islam dan Musyrik. Muslim hanya mempunyai beberapa ekor kuda dan unta serta bilahan pedang yang tidak mencapai sepuluh bilah dengan kekuatan manusia seramai 313 orang menghadapi tentera musyrikin makkah berjumlah seribu orang lengkap bersenjata dan berkuda. Tujuan asal kaum muslimin ialah untuk menahan dan mengambil semula harta rampasan yang dibawa oleh kafilah abu sufyan. Namun, tindakbalas tentera musyrikin makkah sebaliknya. Menghantar ketumbukan tentera bagi mengawal kafilah pada asalnya, namun melencong dengan tindakan ketenteraan ke atas kaum muslimin. Semangat badar mempamerkan kecekalan tentera muslimin mengharungi peperangan yang tidak dijangka akan berlaku dengan keadaan yang dhaif. Namun Allah mengurniakan kemenangan kepada mereka..
Peristiwa ketiga yang tidak kurang pentingnya ialah syahidnya Imam Ali Bin Abi Talib, khalifah ke empat di tangan Abdul Rahman Bin Muljam, seorang khawarij yang asalnya merupakan pengikut imam Ali yang fanatik. Peperangan Siffin adalah permulaan perpecahan tentera imam Ali kepada pihak khawarij yang menentang penerimaan Ali untuk berdamai dan menghentikan peperangan selepas tentera Muawiyah menggantung mushaf di tombak² mereka menyeru agar kembali kepada Al Quran. Ali diriwayatkan tidak setuju dengan cadangan tersebut namun akur dengan kehendak majoriti tentera beliau. Sebahagian tentera yang ekstrem tidak dapat menerima keputusan Ali lantas mengisytiharkan keluar daripada pasukan Ali.
Ali syahid ketika hendak ke masjid kufah mengetuai solat Subuh dimana pedang Abdul Rahman tepat menetak kepala Ali di pintu masjid kufah. Perancangan Khawarij untuk menamatkan riwayat Muawiyah dan juga Amru Bin Al As gagal manakala hanya Ali sahaja yang berjaya ditetak dengan pedang.
Ketiga² peristiwa besar ini wajar dijadikan iktibar dalam meneruskan perjuangan. Di setiap ketika, pasti akan muncul musuh dalam selimut yang senantiasa memupuk dendam kesumat tanpa henti.
golongan yang kecil dan lemah dalam peristiwa badar bukanlah penentu kalah menang dalam pertarungan. Semangat juang yang tinggi serta nilai ketaqwaan membuahkan hasil. Banyak peristiwa dimana golongan yang kecil berjaya menewaskan golongan yang jauh lebih besar sebagaimana yang pernah diceritakan dalam al quran berkaitan kisah kemenangan tentera Thalut yang kecil bilangannya ke atas tentera Jalut..
Kehidupan memerlukan panduan dan pimpinan menuju kejayaan haqiqi. Al quran adalah kalam Allah untuk dibaca dan diamalkan isi kandungannya. Gagal memahami kehendak al quran, menyebabkan manusia menjadi rakus dan hilang punca serta terus tenggelam dalam sifat tamak dan rakus serta keinginan untuk kekal berkuasa, sebagaimana Adam dan Hawa dan ditipu oleh iblis di alam syurga.
Wallahu a'lam
Ulasan