syawal 1439 meninggalkan kita

26 Syawal tahun ke 1439 daripada hijrah Ar Rasul

Meski 1 syawal yang diraikan oleh Junjungan ﷺ dan para sahabatnya telah berlalu lebih 25 hari yang lampau, namun para pengikut baginda, khususnya yang bermastautin di hujung semenanjung emas, masih galak membuat majlis makan dan minum mengatasnamakan sambutan syawal.

Siangnya dengan majlis sambutan syawal, dimalam harinya dengan majlis marhaban hingga menjelang larut malam. Dan sebagaimana biasa, ianya disubur menjadi budaya tahunan, sama keadaannya dengan al quran yang dijadikan bahan bacaan sebulan Ramadhan...berakhir Ramadhan..maka berakhirlah majlis-majlis bacaan al quran. Begitulah dengan sambutan rumah terbuka atau pejabat terbuka atau majlis sambutan hari raya, berakhir syawal maka berakhirlah segala majlis makan-makan yang dinamakan marhaban di malam hari...


Amat jarang masyarakat kita mahu meraikan majlis iftaar sepanjang sebulan Ramadhan. Jika adapun, mungkin sekali sekala dalam bulan al mubarak. Masjid pun akan menghentikan program bubur lambuk harian apabila masuk 10 hari yang terakhir. Mungkin mereka mahu menumpukan sepenuh masa dan tenaga untuk memburu al qadr.

Walhal anjuran untuk memperbanyak sedekah dan memberi makan kepada orang yang berpuasa adalah lebih rancak dalam bulan Ramadhan...

مَن فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِن أَجْرِ الصَّائِمِ شَيئًا
"Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka pahalanya seumpamanya tanpa sedikit pun kurang pahala orang yang berpuasa" (Riwayat Ahmad, Tarmizi dan Al Baihaqi)


Apakah masyarakat kita agak keterlaluan dalam perkara ini? Pada zaman hutang 1 trilion ini, majlis hari raya masih diadakan kunun untuk mengekalkan tradisi. Atas nama sambutan syawal dan majlis yang sederhana, makan-makan , ketawa dan menyanyi atas nama sambutan dan kemuliaan syawal masih diteruskan. Meskipun terpaksa mengutip wang daripada kesemua ahli organisasi, hingga ada yang rasa 'terpaksa' menyeluk poket dalam keadaan hari gaji yang masih jauh, sedangkan 90% yang kocek sudah dileburkan mengatasnamakan sambutan eid, sambutan tetap diadakan. Adakah kita terlalu berlebih-lebihan dalam perkara ini?

Apakah pula fadhilat mengadakan majlis makan-makan ini selain atas alasan sambutan syawal dan mengeratkan silaturahim? Adakah lebihan makanan itu dibuang atau diagihkan kepada para gelandangan? Berbaloikah melaksanakan program sabutan dengan 'memaksa' warga mengelurakan duit poket sendiri? Berbaloikah program dengan sebahagian sahaja yang mampu hadir?

Adakah diberkahi majlis yang dimulakan dengan doa dan bacaan marhaban kemudian dipenuhi dengan nyanyian dan lagu hari raya yang tidak berkesudahan?

Itu baru satu sambutan . Acapkali dalam sebuah organisasi terdapat sambutan di peringkat organisasi, kemudian diikuti sambutan peringkat sub-organisasi yang biasanya dikelolakan oleh kelab-kelab kecil warga organisasi. Sambutan peringkat kelab juga ingin dijayakan dengan mengutip wang juga untuk membiayai majlis. Apa guna wang yang dibayar saban bulan sebagai ahli kelab? Adakah semua ahli redha akan perkara ini?

Wallahu a'lam

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol