Kedai Makan Orang Kita Dan Kelemahannya

Wangsa Melayu bukanlah wangsa yang lemah ekonomi. Cumanya kebanyakan mereka gagal untuk mendapatkan kaedah atau modal bagi memulakan perniagaan. Perniagaan menjual makanan atau warung adalah sangat sinonim dengan wangsa ini. Kita biasa melihat golongan ini berniaga secara turun temurun daripada ibu, kepada anak dan kepada cucu. Namun, lokasi dan bangunan warung tidak berubah untuk tiga generasi.

Image result for kedai makan melayu near me

Beberapa malam lepas, isteri mengajak untuk menikmati mee rebus udang galah yang dikatakan sedang hangat tular di media sosial. Meski harga agak garang, namun ada keinginan juga untuk menikmatinya.

Perusahaan makanan melayu yang terletak di hadapan deretan rumah taman. Agak sesak juga untuk mendapatkan parkir kerana terdapat satu lagi kedai makan yang agak tersohor di kalangan warga tengah hujung semenanjung emas yang turut menjadi tumpuan. Selepas pusingan kedua, baharulah mendapat lokasi parkir yang agak strategik. Itupun mungkin kerana restoran cina yang terletak di deretan paling hujung jalan ditutup. Kalau dibuka, mungkin agak sukar juga meletak kenderaan.

Sebaik masuk, pelayan muncul dengan kadar yang agak cepat. Ini adalah perkara penting sebagai gambaran awal. Kedapatan juga restoran atau warung dimana terpaksa menunggu lama baharulah pelayan muncul. Itupun dengan wajah yang tidak menyenangkan...

Selepas membuat pesanan, dan kebiasaan keluarga penulis agak lewat untuk memberikan keputusan, pelayan yang kelihatan seperti hendak bersegera itu diganti dengan pelayan lain yang lebih muda dan lebih mesra.

Seusai menerima tempahan, maka menunggu sekitar 5 minit, pesanan pertama tiba. Kemudian diikuti oleh minuman dan juga pesanan kedua. Oleh kerana ada permintaan baharu, maka proses menunggu akan menjadi lebih lama.  Sayang sekali selepas hampir 40 minit, pesanan ketiga tidak kunjung tiba. Akhirnya selepas dipertanyakan, rupanya pesanan ke tiga langsung tidak ditulis di atas kertas pesanan. Penulis telah mula syak apabila tetamu yang baru sahaja datang selepas penulis dan keluarga telah mendapat pesanan mereka. Ini menyebabkan penantian akan bertambah panjang. Hatta pesanan baharu telah tiba, pesanan ketiga mungkin masih sedang dipertimbang-timbangkan untuk dimasak di dapur.

Akhirnya, selepas 1 jam, baharulah pesanan tiba di meja. Ianya tidak tamat di situ sahaja. Semasa hendak membuat pembayaran, memo pesanan juga telah hilang. Dan terpaksa sang pembayar menyebut kembali satu demi satu apa yang dihidang dan dinikmati di meja makan.

Fenomena seumpama ini acapkali berlaku di kedai² makan milik wangsa kita. Antara perkara yang biasa berlaku ialah:-

i. Duduk di meja sehingga hampir 10 minit, baharulah pelayan datang mengambil pesanan;

ii. Si pengambil pesanan mempamerkan muka yang kurang senang, lebih² lagi apabila pelanggan agak lambat membuat keputusan;

iii. Pesanan lambat diterima, hingga pelanggan yang lebih baru tiba telahpun menerima pesanan mereka dengan menu yang sama seperti yang dipesan oleh kita sedangkan pesanan kita tidak kunjung tiba;

iv. Selepas menunggu beberapa lama, pesanan tidak kunjung tiba. Pabila ditanya, "Encik tadi ada order eh?"

v. Semasa membuat pesanan, semua yang diingini dijawab, tiada, belum ada, atau sudah habis, sedangkan di dalam menu  terpapar jelas akan menu yang menyebabkan kita berminat untuk membuat pesanan;

vi. Semasa hendak membuat bayaran, sang pengira akan bertanya, "tadi makan apa?" Apa dia tak simpan ke senarai pesanan tadi?

vii. Lain yang dipesan,lain pula yang dihidangkan, dan selalunya perkara ini berlaku ke atas air minuman;

viii. Harga mahal dan tidak terkawal. Bayangkan harga untuk nasi goreng biasa ialah RM5 dengan rasa yang biasa sedangkan kedai lain berharga RM4.50 dengan rasa yang lebih baik;

Meski tidak semua kedai makan wangsa Melayu seumpama ini, namun antara 10 kedai, 8 darinya mempunyai salah satu sekurang²nya dari ciri yang dinyatakan...

Oh Bangsaku....

Wallahu a'lam


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol