Akhirnya tamat jua pelajar tua itu

Keputusan peperiksaan akhir yang dikeluarkan oleh pihak Universiti beberapa hari dalam bukan syawal menandakan tamatnya perjuangan pelajar tua ini mengharungi ranjau perjalanan seorang mahasiswa jarak jauh peringkat ijazah sarjana muda. Selepas melepasi angka 40, baharulah berjaya dengan izin Allah menyelesaikan sebuah epik novel kehidupan pelajar sarjana pertama.

Sememangnya perjalanan yang dimulakan pada Ogos 2014, beberapa bulan selepas perginya bonda menghadap Ilahi adalah satu langkah yang agak drastik untuk mencabar diri bagi meningkatkan martabat ilmu keduniaan yang fana ini. PJJ di Universiti yang  terletak kira² 630 km daripada kediaman, dengan keadaan anak² yang sedang membesar dan bersekolah rendah bukanlah sesuatu yang boleh dianggap mudah....

Terinspirasi selepas menghadiri istiadat konvokesyen UA tersebut oleh adik ipar, penulis tanpa menoleh kebelakang membuat keputusan untuk menyambung pengajian yang telah terlalu lama ditundakan sejak kali akhir mendakap segulung kertas bernama diploma pada 1997. 

Dengan dorongan isteri serta rakan² sejawat, penulis memulakan langkah pertama dengan menghadiri program Minggu Haluan Siswa selama sembilan hari pada Ogos 2014. Bersama dengan sepupu yang sudah menjangkau usia 50an, kami menaiki satu bas ekspress pada jam 9.00 malam bergerak meninggalkan kampung halaman menuju ke UA tersebut untuk mendaftar diri. Keunikan UA ini daripada UA lain ialah dengan adanya program MHS yang seolah-olah sebagai pelajar sepenuh masa membuat pendaftaran. Dengan bayaran yuran serendah RM1200++ setahun, ianya dibanggakan sebagai sebuah UA yang terulung dan terkehadapan dalam penawaran program PJJ di kalangan UA lain di negara ini.

Kami berdua tiba di stesen bas pekan tersebut beberapa minit sebelum azan Subuh berkumandang. Seusai solat berjamaah di surau stesen bas, bagi berjalan menuju ke tepi jalan untuk mendapatkan bas menuju ke UA tersebut. Al maklumlah, pada saat dan ketika itu, tiada istilah grab atau ubber yang kedengaran. Yang wujud hanya bas henti² atau teksi. Nak naik teksi mungkin membolehkan kita sampai dengan sangat selesa, namun tambangnya dikhuatiri boleh menaikan darah...

Suasana masih gelap tatkala kami berdua tercongok dengan beg besar seolah hendak menunaikan umrah di tepi jalan menunggu bas. Hampir 15 minit berlalu, baharulah bas yang dihajati muncul dan berhenti di tepi jalan. 

Bas di pekan tersebut agak canggih dan merupakan transit pengangkutan yang begitu cekap menjalankan perkhidmatannya. Kami tiba di lokasi yang dihajati sekitar 20 minit perjalanan atau mungkin lebih cepat lagi. 

Sebaik masuk melalui pintu pagar, kami mengambil keputusan untuk berehat dan menikmati bekalan nasi arab yang dibekalkan oleh isteri penulis berhampiran pondok di masjid jame.

Seusai sarapan pagi, kami mula bergerak untuk mendaftar diri sebagai pelajar baharu. Program MHS memberikan peluang kepada para pelajar untuk mengenali rakan yang sama kursus bagi memudahkan kita membuat kerja-kerja kursus yang memerlukan atau mensyaratkan secara berkumpulan. Ya...meski kita pelajar PJJ, namun tugasan berkumpulan masih tetap wujud. Pada fikiran awal penulis, semasa sebelum mendaftar selaku pelajar, penulis membuat telahan bahawa semua tugasan adalah berbentuk individu. Mana mungkin tugasan dapat dibuat secara berkumpulan memandangkan kami semua berselerakan di serata ceruk semenanjung emas. Namun itulah keunikan PJJ di UA ini. Perkara yang pada awalnya difirkan amat sukar, dipermudahkan Allah jua.

Meskipun untuk tugasan berkumpulan bagi kursus universiti yang memerlukan kami berkumpulan dengan rakan yang berlainan kursus sekalipun, alhamdulilla kami mampu menyelesaikannya. Hatta untuk tugasan yang memerlukan kami membuat rakaman pembentangan video sekalipun, yang sepatutnya perlu berkumpul di lokasi dan masa yang sama, kami berjaya melakukannya tanpa perlu duduk di lokasi yang sama. Ini adalah kerana kecanggihan media yang ada serta wujud rakan kumpulan yang mampu menguasainya. Dengan mengirimkan rakaman video pembentangan sendiri kepada seorang rakan setugasan, beliau mampu menyatukan segala rakaman menjadi satu seolah berada di lokasi yang sama. Alhamdulillah, markah yang diterima juga memberikanb semangat kepada kami.

Tugasan berbentuk individu juga agak mencabar untuk disiapkan. Namun ianya boleh dianggap agakmudah kerana bergantung kepada diri sendiri untuk disiapkan. Tugasan berbentuk kumpulan sehingga kai berada di tahun empat tidak pernah sekalipun dibuat pada masa dan waktu yang sama seperti beberapa kumpulan lain. Semasa menghadiri minggu intensif misalnya, banyak kumpulan yang duduk berbincang mengenai hal tugasan. Untuk kumpulan kami, perbincangan hanya melalui wassap dan pembahagian tugasan dibuat sama rata dan sama rasa. Seseorang akan dilantik sebagai penyelaras yang akan mengumpul semua hasil tulisan dan membuat editan. Seterusnya bertanggungjawab menghantar tugasan tersebut, sama ada melalui talian atau penghantaran pos fizikal. 

Dalam membuat tugasan individu, ada juga timbul masalah diantara ahli kumpulan. Pernah sekali wujud ahli yang tidak memberikan sebarang respon hingga kami menjadi amat kecewa. Namun akhirnya, dia menghubungi kami di saat akhir. Rupanya beliau ini bertugas di pendalaman yang tidak mampu dihubungi oleh sebarang talian telefon!!

Juga berlaku dimana ada di antara ahli yang mengundur diri kerana tidak mahu lagi meneruskan pengajian. Ini juga pernah berlaku dalam kumpulan penulis. Namun, nama beliau tetap dikekalkan dalam senarai kumpulan kerana kesuntukan masa untuk mendapatkan ahli yang terkini dalam masa tarikh due semakin hampir...

Wujud rakan² seperjuangan ada yang mengambil jalan pintas dengan mengupah sendiket tertentu untuk menyiapkan tugasan. Namun pada kebiasaannya, tugasan yang dibuat oleh penulis upahan senang untuk dikenalpasti oleh pensyarah. Tajuk yang ditulis biasanya lari daripada kehendak perbincangan dan ada kalanya penulis upahan hanya copy and paste dari mana² artikel ataupun dibuat melalui terjemahan daripada bahasa lain. Tindakan ini amat berisiko kerana jika ianya dapat dikenalpati oleh pensyarah, ada kemungkinan akan menghasilkan markah gagal untuk tugasan tersebut yang bernilai 20% daripada keseluruhan markah. 

Tahun satu tidaklah memberikan tekanan yang besar kepada pelajar. Namun paper yang perlu dihadapi agak banyak juga. Meski terdapat kertas final yang mengandungi soalan berbentuk objektif, janganlah diharapkan ianya memudahkan kami para pelajar bahkan menjadi lebih sukar untuk dijawab. 

Biasanya selepas menjalani MHS, kami pulang dan masih dalam keadaan blur. Tugasan yang mula muncul di setiap subjek dalam portal meski agak meresahkan, namun akan dibuat tatkala tarikh tamat semakin hampir. Namun, mahu atau tidak mahu, suka atau tidak, kami tiada pilihan. Khususnya jika yang dibuat secara berkumpulan. Meski kita rajin dan bersemangat untuk menyiapkan awal, namun jika tiada persetujuan pembahagian, ianya akan membuatkan kita lemah semangat.... 

Walau bagaimanapun, pembahagian masa adalah amat penting selaku pelajar matang. Antara kehendak tugasan, kehendak keluarga dan juga kehendak majikan. Mujurlah penulis bertugas di salah sebuah institusi pengajian makan bahan² rujukan mudah dan senang untuk didapati di sini. Tatkala dalam tempoh pengajian inilah, muka yang sama rajin keluar dan masuk ke khutub khanah untuk mencari bahan² rujukan tugasan. 

O...nanti ada masa akan disambung lagi, Insya Allah...

Wallahu a'lam




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol