berangkat ke kota madinah
Tatkala berehat di bilik, salah seorang jemaah yang juga warga bilik muncul dengan gendongan plastik di tangan. Beliau sememangnya jarang kembali tanpa sesuatu di tangannya.
"Ustaz tak beli sesuatu ke?"
"Ingat nak cari jubah wanita...." balas penulis.
"Ada satu kedai murah ustaz...kat bawah..."
"Oh...ye ke..." agak teruja dengan kata sakti MURAH
"Jom saya tunjukkan..."
Tanpa berlengah kami terus menuruni eskalator dan akhirnya terjengul di hadapan kedai arab yaman. Pemiliknya mampu berbahasa melayu lajhah arab dengan agak baik...
Maka dapatlah dipilih beberapa jubah untuk isteri dan anak. Mungkin dah cukup ok sebagai oleh² ....
Sekitar jam 11, penulis turun untuk tawaf wida. Mentari terik agak perit membakar wajah. Jumlah jamaah yang melaksanakan tawaf kelihatan agak ramai. Sekitar jam 12.00, penulis telah berada kembali di bilik hotel...
Menjelang zuhur, penulis hanya solat di musalla atau masjid di hotel sahaja. Ini sebagai mematuhi pantang larang jamaah yang sudah menyelesaikan tawaf wida. Seusai jama, penulis menuju ke dewan makan ...
Sekitar jam 1.30 petang, jamaah telah berkumpul di lobi hotel. Ruang tersebut dipenuhi dengan jamaah umrah daripada Indonesia majoritinya. Hingga tiada ruang yang kosong. Jamaah kami tiada tempat berkumpul yang sempurna. Mencari jamaah dan menunggu mereka adalah merupakan antara detik² yang agak menyeksakan...
Kami kemudian turun ke dataran bas. Bagasi kami telah diuruskan lebih awal oleh pihak hotel. Apa yang penting, menghulurkan tips kepada pihak yang menguruskan bagasi, iaitu pohak hotel. Tips yang dikenakan ialah sebanyak SAR100. Kenapa tak termasuk bersekali dengan bayaran sewa hotel? Sukar untuk dijawab.
"Junjungan Besar lebih 1400 tahun lepas mengambil masa berhari² menuju ke bumi Madinah untuk hijrah, dengan hanya menaiki unta qaswa, tanpa teduhan, apalagi penghawa dingin disepanjang perjalanan yang panjang. Tiada R&R untuk menikmati kedinginan air di dalam tin dan bergas. Tetapi kita umatnya kini bergerak di sepanjang laluan yang sama, dengan hanya bersandar lesu di dalam perut bas berhawa dingin, namun masih merungut kepenantan dan kemalasan?"
Kami berhenti di suatu perhentian yang jika di Malaysia disebut dan dikenali sebagai R&R. Perhentian mereka tidak seindah di negara kita. Kawasan masih tanah berdebu tanpa simen, tar apalagi kasaran atau mosaic luaran. Terdapat deretan kedai dan juga surau. Jamaah yang masih belum solat Asr diberikan kebenaran untuk menyelesaikan kewajipan mereka. Jamaah yang telah menjamak solat, bersuka-sukaan membeli belah di kedai yang menyediakan makanan dan juga minuman. Tidak banyak pilihan yang boleh dibuat di lokasi tersebut. Namun minuman dan makanan boleh dianggap lebih murah.
Selepas 45 minit, masih ada jamaah yang berada di hadapan kedai kebab dan baryani untuk menantikan tempahan mereka disiapkan. Hampir selepas satu jam, baharulah bas kami mampu bergerak menuju ke destinasi semula.
Tatkala hampir waktu maghrib, mutawwif telah memberitahu sang pemandu untuk berhenti solat. Namun, pemandu seperti enggan dan hendak segera tiba ke kota suci. Dengan beralasan untuk mentakhir solat, sedangkan mutawif mempunyai agenda untuk melengah² kan permainan bagi memenehu tuntutan mutawif senior yang mahu jamaah tiba seusai solat isya.
Walau bagaimanapun, selepas bintang hampir timbul, tiba² pemandu membelokkan kenderaan ke satu kawasan yang mempunyai surau. Maka kami pun turun untuk solat dengan masa diberi 1 jam.
Sebagai catatan, surau atau musalla di R&R antara Makkah dan Madinah sememangnya amat berbeza dengan apa yang ada di tanah air. Sebagai perbandingan umum, tandas sahaja sudah amat berbeza dengan apa yang ada di sini. walau bagaimanapun, keadaan surau adalah berhawa dingin dan boleh dikatakan agak selesa manakala imam yang dilantik adalah ada untuk memastikan surau atau musalla tersebut diimarahkan untuk setiap waktu.
Meski kami adalah merupakan jamaah umrah, namun kami tidak sepakat untuk solat berjamaah bersama². Masing² jamaah masih mendirikan solat sama ada secara individu atau membuat jamaah sendiri tanpa menunggu kesemua jamaah telah siap sedia.
Selepas kira² hampir satu jam, kami pun meneruskan perjalanan menuju ke kota cahaya. Jamaah adalah digalakkan untuk membaca doa secara sendiri apabila masuk ke dalam sempadan haram.
Dan kami tiba di hadapan hotel tatkala solat isyak sedang didirikan di dalam masjid an nabawi yang letaknya sekitar 1 atau 2 km daripada bangunan hotel. Malam Jumaat yang penuh keberkatan.
Selepas menyelesaikan urusan bagasi dan check-in, jamaah diarahkan untuk beristirehat dan akan bergerak menuju ke masjid pada keesokan harinya, pada waktu Subuh. Jalan menuju ke masjid juga telah ditunjukkan. Kami menikmati jamuan malam di suatu kawasan ruang legar yang terletak di aras dua jika tidak silap. Ruang makan tidak semewah tatkala berada di Makkah. Hanya seperti makan kenduri secara buffet sahaja gayanya.
Selepas menyelesaikan urusan jamaah, penulis seolah dipanggil² ke masjid Nabawi. Tidak layak untuk istirehat rasanya jika tidak terlebih dahulu menemui Junjungan Besar pada malam tersebut. Maka dengan memasang niat berziarah serta mendapatkan jalan menuju ke masjid untuk memudahkan jamaah, penulis melangkah menuju ke istana putih Ahmad dengan penuh debaran di dada.
Melangkah ke masjid Nabawi yang telah ditinggalkan pada ziarah tahun 2012 Mei lepas seolah terasa seperti pulang dari musafir yang jauh di kampung halaman. Seolah ingin dicatat dan diabadikan segala langkah dan pemandangan yang dialami sepanjang langkah.
Memasuki pintu pagar masjid sahaja sudah cukup mendebarkan. Lantai marmar berwarna putih itu kelihatan dikerumuni timbunan serangga yang berwarna kehitaman. Oh ya. Terdapat serangan serangga di sekitar Makkah dan Madinah sebagaimana yang dilaporkan. Sememangnya wujud serangga tersebut yang bersaiz seperti belalang namun berwarna kehitaman.
Memasuki Babus salaam semakin menyebabkan debaran semakin menyesakkan nafas. Wahai Rasulullah...aku datang sekali lagi sejak sekian lama untuk menziarahimu. Maka terimalah ziarahku pada kali ini...
Kepada Allah diserahkan segala urusan
Ulasan