suara suara dari menara
8 Safar tahun ke 1441 daripada hijrah ar rasul
Terdapat beberapa wassap yang masuk ke dalam paparan gajet tua yang berusia melebihi tiga tahun itu. Apabila dibuka, ternyata isinya adalah sekeping surat yang cuba ditularkan. Antara kandungan isinya ialah membolehkan suara² dari menara diperdengarkan. Yang dimaksudkan oleh penulis suara² ini ialah bukan suara azan. Suara selain azan ialah seperti bacaan al quran beberapa minit sebelum masuknya waktu solat, suara tazkir yang dikumandangkan sebelum solat Jumaat, suara tarhim yang dikumandangkan sebelum masuknya waktu subuh di sesetengah lokasi, khususnya di hujung semenanjung emas.
Namun yang anehnya, mengapa negeri hujung selatan yang amat terkenal mengiklankan pegangan aliran asya'irah wa maturudiah saban minggu itu dengan menggelapkan saudara mereka dari golongan ahli hadith atau athari, bahkan menyerang mereka sejak beberapa minggu ini dengan melabelkan mereka sebagai wahabbi yang harus dijauhi, tidak menyatakan bahawa menara itu boleh juga digunakan untuk azan dua kali pada waktu sebelum subuh sebagaimana yang diamalkan di lain² negara islam, bahkan telah diinstitusikan di pulau mutiara dan negeri kecil darussunnah?
Penulis pernah berada di salah sebuah institusi agama milik negeri hujung selatan itu. Pernah ditimbulkan isu oleh guru² sekolah yang berhampiran dengan sebuah masjid jame daerah tengah, bahawa bacaan al quran dari corong menara beberapa minit sebelum masuknya waktu zuhur, mengganggu sistem P n P di sekolah sekolah tersebut. Adakah bacaan ayat² al quran yang dilantunkan itu salah? Masakan boleh dikatakan satu kesalahan. Tetapi kaedah membaca dan mengalunkannya dengan menerusi corong di menara hingga mengganggu penuntut ilmu dilihat seperti sedikit mencacatkan tradisi keilmuan itu sendiri.
Kita semua akui, baik mereka itu pengikut mana² aliran sekalipun dalam aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah, bahawa mengamalkan agama adalah tidak salah bahkan dituntut. Namun, apabila ianya mendatangkan mudharat dan gangguan, khususnya amalan yang tidak ada dalil khusus daripada Nabi ﷺ ianya perlu dicari jalan untuk dijauhi. Terdapat sebuah hadith yang melarang manusia membaca al quran dengan kuat hingga mengganggu;
Imam Malik r.h telah meriwayatkan bahawa al-Bayadhiyyi r.a telah berkata:
أَنَّ رَسُوْلَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهِ عَلَيْهِْ وَسَلَّمْ خَرَجَ عَلَى النَّاسِ وَهُمْ يُصَلُّو نَ وَقَدْ عَلَتْ أَصْوَا تُهُمْ بِالْقِرَاءَةِ فَقَالَ: أَنَّ الْمُصَلِّي يُنَا جِيْ رَبَّهُ عَزَّ وَجَلَّ فَلْيَنْظُرْ بِمَ يُنَاجِِيْهِ وَلاَ يَجْهَرْ بَعْضُكُمْ عَلَىَ بَعْضٍ بِالْقِرْ آنِ.
"Bahawa Rasulullah s.a.w pada suatu ketika keluar kepada orang ramai. Didapatinya ramai orang bersolat dan ramai pula yang mengeraskan (meninggikan) suara mereka dalam membaca al-Qur’an. (Melihat yang demikian) Maka Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya orang yang sedang bersolat itu sedang munajat atau berkomunikasi dengan Tuhannya ‘Azza wa Jalla, maka seharusnya dia mengetahui apa yang diperkatakannya itu! Dan janganlah pula sebahagian kamu mengeraskan suara melebihi yang lainnya dalam membaca al-Qur'an." - H/R Ahmad dalam Musnad Ahmad (no. 19022).
Dalam riwayat Abu Daud (no. 1332) ada disebutkan:
أعْتَكَفَ رَسُوْلَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهِ عَلَيْهِْ وَسَلَّمْ فِيْ الْمَسْجِدِ فَسَمِعَهُمْ يَجْهَرُوْنَ بِا الْْقِرَاءِة فَكَشَفَ السِّتْرَ وَقَالَ أَلاَّ اِنَّ كُلَّكُمْ مُنَاجٍ رَبَّهُ فَلاَ يُؤْذِيَنَّ بَعْضُكُمْ بَعْضًا وَلاَ يَرْفَعْ بَعْضُكُمْ عَلَىَ بَعْضٍ فِيْ الْْقِرَاءِةِ أَوْ قَالَ فِيْ الصًّلاَةِ.
Rasulullah s.a.w memerhatikan orang-orang yang beriktikaf di masjid dan baginda mendengar mereka menguatkan suara mereka sewaktu membaca al-Qur'an. Baginda menyelak kain langsir dan berkata:
"Setiap daripada kamu sedang berkomunikasi dengan Tuhannya. Janganlah sebahagian daripada kamu mengganggu yang lainnya. Janganlah kamu menguatkan suara kamu melebihi yang lainnya sewaktu membaca al-Qur'an atau ketika kamu sedang solat."
Ibnu 'Abd al-Bar r.h berpendapat bahawa kedua-dua hadis di atas ini adalah hadis yang sahih.
Tidakkah pernah kita terfikir berkaitan jiran² yang mahukan privacy dalam kehidupan harian mereka. Bahkan sebagai seorang muslim yang normal juga, mereka akan rasa terganggu dengan bunyi ceramah atau kuliah contohnya yang mengganggu saban malam, bahkan saban waktu.
Namun apabila ianya disuarakan, maka dengan lantang dituduh anti islam, pembela kafir dan sebagainya..
Sehingga bila Islam itu diselubungi oleh manusia² yang sebenarnya meletakkan agama itu sebagai alat mencapai matlamat duniawi semata². Kemana menghilangnya ulama yang benar² ikhlas dalam menjalankan agama Allah?
Kita akui ada di kalangan kita yang cuba berhujjah, bahawa segala yang disiarkan itu adalah syiar agama. Jika tidak, mungkin tak ada non-muslim yang kenal akan bacaan al quran, ceramah tentang agama dan sebagainya. Namun jika ceramah yang disampaikan terlalu keras, berulangkali menyentuh mengenai isu kafir dan peperangan menentang sang kafir, adakah kita fikir Islam akan lebih cepat tersebar di sesuatu kawasan perumahan tersebut?
والله أعلمُ
Ulasan