Mengharapkan Sesuatu dari Muktamar Kali ke 66
2 Safar 1441
Agak berat untuk menulis tentang gemulah parti yang pernah menjadi idola dan titik kecenderungan penulis secara beberapa dekad lampau. Ya, sejak penulis dikurniakan Ilahi nikmat iman dan islam, maka tiadalah penulis nampak akan jamaah yang mampu menjunjung cita² islami di negara ini, melainkan parti agama.
Penulis pernah terjebak menyintai Al Arqam suatu ketika dahulu dengan mengikuti gerakan tersebut sebagai pemerhati tetap yang condong menyokong mereka. Dengan kebanyakan datuk saudara bahkan moyang penulis sendiri terjebak secara aktif dengan jamaah tersebut, penulis juga hampir menyertainya jika tidak wujud bantahan daripada ahli keluarga terdekat. Namun, perjuangan mereka, ahli jamaah mereka, bacaan nasyid dan beberapa doa mereka senantiasa meniti di lidah penulis (bukan aurad Muhammadiyah) khususnya di sepanjang keberadaan di salah sebuah SBP sekitar tahun 1991-1991.
Penulis tidak pernah menyertai parti agama secara formal. Hanya pernah menyertai usrah peringkat pengajian tinggi. Itupun kerap ponteng dan berbalah dengan amir. Adakalanya tidak bersetuju dengan pandangan ustaz usrah yang terlalu kritikal terhadap pimpinan negara yang pada pandangan penulis ada fikrah.
Pertembungan gerakan islam di peringkat kampus pra-gerakan reformasi 1998 ialah antara ABIM yang non-partisan tetapi condong kepada pemerintah yang hampir dikuasai oleh mursyidul am mereka ketika itu, dengan pihak parti agama. Penulis masih ingat gagasan Mohammad Sabu (abang Mat) ketika itu yang begitu beriya² menolak kepimpinan saudara Anwar kerana dikatakan membawa Islam versi Amerika dan dipercayai oleh kami semua tanpa ragu!!
Parti Islam adalah satu wadah politik untuk mencapai kuasa politik negara bertujuan untuk menegakkan Islam sebagai teras dalam pentadbiran, sosial dan sebagainya. Atas cita² besar itu, adalah sesuatu yang aneh jika mereka yang mahu Islam sebagai kuasa tertinggi mutlak untuk tertegak kalimah Toyyibah di negara ini, bahkan di peringkat dunia menolak untuk menyokong gagasan parti Islam ini.
Namun realiti sebenar, dunia bergerak kehadapan dengan cabaran baharu, khususnya terhadap perkembangan Islam. Gerakan² Islam sejak awal tahun 70an, menemui pasang surut namun masih segar dan tegar meneruskan idealisme perjuangan. Kemuncak kejayaan gerakan Islam sejagat yang dilihat kawan dan lawan pada akhir kurun ke 20 ialah tertegaknya sebuah republik Islam di sebahagian wilayah khurasan, yang dikenali sebagai Iran oleh seorang tokoh ulama bermazhab syiah yang sehingga ke hari ini masih kental dipermainkan sentimen mazhab di kalangan mereka bagi melemahkan batang tubuh revolusi islam tersebut.
Pemimpin gerakan Islam tanahair yang silih berganti, kebanyakkannya condong kepada parti agama ini yang akhirnya dilihat sangat dominan di kalangan gerakan Islam tanahair serta istiqamah dalam perjuangan mereka. Parti ini melahirkan nama² besar seperti Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat dan juga Ustaz Fadzil Noor yang mewarnai sumbangan terhadap Islam di negara ini secara khususnya. Tidak ketinggalan juga Saudara Anwar Ibrahim yang pernah menakhodai ABIM yang non partisan untuk perjuangan Islam, namun akhirnya memilih parti keramat Melayu demi merealisasikan projek atau gagasan Islam beliau?
Parti agama telah melalui satu detik tarbiyyah yang panjang dengan mengharungi pelbagai mehnah dan tribulasi. Mungkin yang boleh dicatatkanb di sini ialah penyertaan parti ini dalam gabungan baharu pemerintah selepas peristiwa berdarah 1969 yang menyaksikan sebagaimana yang ditulis oleh pemerhati politik tanahair, sebagai 'memberi nyawa' kepada gabungan pemerintah untuk terus berkuasa. Parti agama dibawah pimpinan Asri Muda pada waktu dan ketika tersebut masih belum membawa wadah agama yang pekat. Namun, apabila parti tersebut ditendang daripada gabungan dan merintih atas hilangnya kuasa di Kelantan, aliran yang lebih teras mula menguasai parti dan ekoran kejayaan revolusi islam Iran pada 1979, gagasan kepimpinan ulama mula mewarnai parti agama tersebut. Meski pada awalnya, parti ini seolah sayap kepada gerakan ikhwan di Mesir pada waktu dan ketika itu, namun masyarakat majmuk di negara ini masih agak segan dan malu² dengan kewujudannya, apatahlagi masyarakat pada waktu yang tersebut masih belum begitu terbuka untuk menjadi agama sebagai wadah tertinggi negara. Ditambah dengan beberapa kekangan dari kalangan jamaah Islam sendiri seperti ketidakmesraan Syekhul Arqam ketika itu dengan parti agama yang mana beliau sendiri bermula daripada jamaah tersebut dan akhirnya meninggalkannya untuk menubuhkan jamaah sendiri dan terkenal dengan perkataannya, menakluk hati lebih baik daripada kerusi.
Parti agama juga telah beberapa kali mengalami pecahan seperti pada tahun 1977 apabila muncul BERJASA dan pada 1983 dan terkini AMANAH pada 2015.
Mungkin kejayaan paling besar parti agama dalam politik negara ialah kejayaan mereka menduduki putrajaya secara bersama dengan kelompok melayu nasionalisme yang ditakfirkan oleh mereka sejak tahun 80 an itu. Kita lupakan sahaja tuduhan tebuk atap dan khianat. Oleh kerana kuasa sudah berada di tangan dan muktamar terkini telah pun berlangsung, kita mengharapkan agar parti agama ini dapat menitikberatkan beberapa perkara ini:-
- Mengekalkan Islam sebagai kuasa tertinggi dan meletakkannya sebagai punca kuasa dalam negara ini;
- menyegarakan atau melaksanakan kerja² teknikal untuk merealisasikan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan dan Terengganu memandangkan kedua² DUN telah meluluskan enakmen tersebut pada 2002 (enakmen hudud terengganu) dan 2015 (Enakmen Syariah Kelantan);
- Memperkemaskan sistem pendidikan negara ke arah lebih Islamik;
- Merealisasikan sistem persekolahan kebangsaan dengan menamatkan sekolah² vernakular;
- Mencari jalan ke arah penutupan atau pengurangan jumlah kilang² arak, kedai² menjual arak dan sebagainya yang berkaitan;
- Mencari jalan kearah penutupan atau pengurangan premis perjudian di dalam negara - bukan hanya menutup dan mengurang kedai nombor ekor, tetapi pusat-pusat perjudian ternama negara;
- Mencari jalan tengah dan penyelesaian dengan parti Islam lain yang menjadi serpihan seperti HAMIM, BERJASA dan AMANAH untuk bekerjasama demi Islam, bukan hanya membuat tuduhan liar berasas agama seperti munafiq hiraki, takfir dan sebagainya yang nyata tidak menguntungkan gerakan Islam. Jika parti ini boleh berbaik semula dengan parti yang ditakfirkan dan berfahaman nasionalis konservatif, maka tidak menjadi masalah sepatutnya untuk parti agama kembali mengajak rakan² serpihan untuk bertaawun demi ummah dan islam...
Ulasan