Penutup 2020
26 Rabiul Akhir 1442 bersamaan Jumaat
Maka kita telah mula meniti hari² terakhir di tahun masihi 2020. Tahun yang dahulunya dinyanyikan saban waktu di kaca² televisyen akan wawasan yang diimpikan. Juga tahun dimana kapsul masa yang ditanam di bawah mercu tanda Putrajaya akan dibuka. Tapi sehingga tulisan ini ditulis pada jam 12 tengah malam, masih belum ada sebarang petunjuk untuk kapsul tersebut dibuka. Barangkali, jika OT95 (menggunakan perkataan ISO) masih menjawat jawatan PM, ada kemungkinan kapsul tersebut akan dibuka pada selewat²nya pada malam 31 Disember barangkali. Namun, dek kerana keadaan sekarang yang masih bergelut dengan modal Covid 19 dan bilangan pesakit yang berlebihan jumlah berbanding rendah pada saban hari, maka ada kemungkinan kapsul tersebut akan terus tersimpan kemas di perut bumi tanpa dipedulikan. Boleh jadi, suatu hari nanti, mungkin selepas 100 tahun tertanam kemas di dalam perut bumi, akan ada yang terjumpa ianya sebagai satu bentuk bahan bersejarah pula layaknya. Atau mungkin, ianya akamn terbongkar semasa hari bumi memuntahkan segala isinya kelak...
Tahun ini menyaksikan terbatalnya peperiksaan UPSR ini tahun ini, dan ada kemungkinan untuk tahun² selepasnya juga. Cetusan penamatan siri peperiksaan UPSR ini pernah digagaskan oleh PM sekarang yang pada waktu dan ketika itu adalah merupakan Menteri Pendidikan Malaysia pada 2010!!
Tahun 2020 juga menyaksikan penutupan sekolah secara besar²an dan pelajar terpaksa melalui proses pembelajaran secara atas talian. Cabaran besar buat para guru untuk memastikan murid dan pelajar dapat memahami silibus. Sepatutnya pembelajaran atas talian telah dilaksanakan lebih awal. Bukan hanya menunggu berlakunya sesuatu asbab yang memaksa. Mungkin wawasan 2020 telah tercapai melalui pendidikan seumpama ini!!
Tahun 2020 juga menyaksikan peristiwa besar politik negara. Tidak perlulah penulis mengulas lebih lanjut mengenai perkara ini...
Tahun ini juga memulakan corak pekerjaan baharu dengan pengenalan sesi bekerja dari rumah untuk kakitangan awam. Mungkin di sektor swasta, ianya sudah menjadi budaya, namun bagi kakitangan awam, ianya seolah satu culture shock. Maka berhempas pula juga para majikan untuk memperkenalkan sistem segera bagi pemantauan kerja staf yang berada di rumah masing². Dengan hanya berkain pelikat atau berbaju kelawarkah para staf menaip surat, menghadiri sidang video dan mesyuarat secara atas talian?
Jangan terperanjat jika ada staf yang telah berkira² melakukan kerja² luar dengan alasan tiada kemudahan internet di rumah. Maka bergentayangan mereka ini di kebun, di laut cuma tidak mungkin di udara sahaja bagi meraih ruang dan peluang terbuka di hadapan mata. Jika mereka ada ditanam akan keimanan dan mumayiz tentang kefahaman kedosaan dan kepahalaan bekerja dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab, ada kemungkinan akan merubah sifat dan sikap mereka sedikit sebanyak. Tetapi jika sebelum ini organisasi hanya sibuk memikirkan SKT, pencapaian rating dan sebagainya sahaja tanpa peduli iman dan taqwa juga sebarang peringatan berkaitan, maka agak sukar mengawal nafsu pekerja yang meliar...
Menanam taqwa dalam dada staf bukanlah tugas JAKIM, Unit Agama atau yang sewaktu dengannya sahaja. Para pengurus pejabat sepatutnya lebih alim mengenai bidang ketaqwaan dan dapat membezakan dosa dan pahala serta dapat menyemai benih iman dan taqwa di dalam setiap jiwa anak buah di bawah seliaannya. Merekalah cerminan sebenar anak buah seliaannya.
Ya mungkin salah pihak sektor awam juga yang tidak mula mempraktikkannya secara kecil-kecilan di pejabat sebelum pandemik. Ianya dapat menjimatkan kos pejabat dan pekerja, menyebabkan segala kerungsingan harian pekerja dapat diselesaikan sebanyak 80 ke 90%. Manakan tidak, menghantar dan mengambil anak telah boleh diuruskan sendiri tanpa perlu mengupah pihak ketiga. Soal pemantauan anak kecil juga sudah beres dan dapat menjimatkan kos penghantaran anak ke taska. Makanan pagi, tengahari dan petang boleh diurus sendiri di dapur tanpa perlu menyusahkan diri ke kantin dan sebagainya. Secara teorinya, pekerja akan menjadi lebih berdaya juang, kreatif dan bersemangat kerana tidak tertakluk duduk terperap di hadapan PC berjam².
Oh ya...hari raya juga sudah mampu disambut secara amat sederhana. Tiada lagi prog rumah² terbuka dan menelan belanja yang besar. Namun tiada kedengaran kisah tragedi pada tahun ini, seperti kemalangan hendak balik kampung mahupun kehilangan jari dek kerana mercun. Semuanya terkawal. Kuih raya masih laku keras dijual melalui atas talian. Ketupat dan lemang masih boleh dinikmati di rumah sendiri. Allah hendak mengajar manusia agar meninggalkan amalan pembaziran dan kembali kepada kehidupan dan sambutan sederhana sebagaimana amalan para sahabat Nabi
Dan di Universiti Awam juga, tiada lagi kedengaran kemeriahan konvo seperti amalan tahunan. Ini bermakna wang dan segala perbelanjaan tanpa had itu sangat boleh dijimatkan dengan sebaiknya. Amalan berlibur apabila konvo yang diwarisi dari penjajah dengan sekelip mata boleh diubah rupanya. Tiada perlu berpesta pestaan dengan menjemput artis dan sebagainya. Yang selesai pengajian tetap mendapat skrol mereka. Tiada apa yang kurang...
Majlis maulid yang menjadi tradisi yang WAJIB dipertahankan oleh juak² pendukung ASWAJA adunan nusantara pada tahun ini TETAP disambut tetapi dengan SOP yang maha ketat. Namun, masjid dan surau TETAP melaksanakannya. Tidak boleh ditinggalkan...
Ramadhan kita juga kelihatan sangat berharga dengan tiadanya medan pengurangan pahala, iaitu pasar Ramadhan. Mengapa dikatakan pengurangan pahala, kerana hikmah berpuasa ialah untuk merasai derita dan kelaparan golongan miskin. Namun jika kita ke pasar Ramadhan, cara kita berbelanja sama sahaja seperti orang kaya..bahkan lebih lagi hanya untuk memuaskan nafsu mata sahaja. Tiba waktu berbuka, ianya akan menjadi stok bersahur. Then, keesokannya, tatkala bersahur, selera menjadi hilang dan akhirnya menjadi medan pelonggokan sampah. Namun Ramadhan kali ini bersih dari pembaziran. Bersih dari lokasi memukat manusia agar meninggalkan masjid dan surau. Jika saban Ramadhan sebelum ini, disuruh ke masjid dan surau, merasa berat dan enggan tetapi bila diajak ke pasar Ramadhan terus cargas dan bersemangat, pada pada tahun ini, Allah mahu memberikan pengajaran dengan asbab covid-19, pasar ramadhan tiada, masjid dan surau juga terhalang untuk hadir. Tidakkah ini malapetaka yang sangat tragis di abad ini wahai manusia yang mempunyai akal untuk berfikir?
Dan di akhir 2020 ini, meski daftar pesakit meningkat saban hari, PKPB dan PKPD menjadi tajuk utama buletin dan media massa, pengumuman buka sempadan negeri dan boleh makan di restoran tanpa had duduk semeja adalah antara perkara ajaib di muka bumi. Secara tidak langsung, ianya memberikan kredit kepada jamaah yang percaya covid19 ini hanya mainan Yahudi dan Freemason dan illuminati yang dizikir saban hari. Tapi itulah keajaiban dunia. Apabila penduduk zon merah dengan gembira memandu laju di segala lebuhraya, memecut girang kembali ke pangkuan keluarga. Kita masih lagi tidak mahu mengamalkan ajaran islam dalam diri kita. Bukankah Nabi telah menyatakan secara jelas akan aturan bahawa apabila wujud penyakit berjangkit, maka jangan kita rebakkan dengan meninggalkan kawasan berpenyakit ke kawasan tidak berpenyakit.
Sa’d Ibn Abi Waqqash R.A beliau berkata bahawa Rasulullah ﷺ
bersabda :
إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُونِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَدْخُلُوهَا، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا مِنْهَا
Maksudnya : Apabila kamu mendengar bahawa taun menimpa sesuatu tempat maka janganlah kamu masuk ke dalam kawasan tersebut. Dan apabila kamu berada di dalam kawasan yang terdapat padanya taun, janganlah kamu keluar daripadanya.
Riwayat Al-Bukhari (5728)
Jelas sekali maksud hadith ini agar tidak keluar dari kawasan berpenyakit. Bahkan Umar Ibn Khattab sendiri tatkala berada di pinggir kota Syam semasa membuat lawatan, berhenti sebentar dan kemudian pulang semula ke Madinah kerana mendapati kota tersebut sedang mengalami pandemik taun.
Tetapi kita yang kunun faham agama tetap mahu kembali ke kampung yang berada dalam zon hijau sedangkan kita dari kawasan zon merah? Bertaqwalah kepada Allah!!
Adakah fajar 2021 akan menumbuhkan bibit yang lebih baik, ataupun pertambahan sehingga mencapai angka 200 ribu sebagaimana ramalan seorang saintis China berdasar kepada tahap sikap rakyat yang masih tidak mengambil endah?
Jika kuasa sudah ditangan, apalagi yang hendak dijadikan alasan?
Tepuk meja Dewan Rakyat, tanyalah kepada yang memiliki kuasa di tangan..
Hanya kepada Nya diserahkan segala urusan...
Ulasan