Hujan 1 Januari 2021

17 jamadil Awwal tahun ke 1442 dari tarikh kiraan hijra ar Rasul, hari Jumaat yang barkah.

Adalah merupakan hari pertama tahun 2021. Bumi sudah dibasahi rintikan hujan malam tatkala subuh menguak kegelapan langit yang masih seronok menutup alam. Tatkala mentari syuruk mula menjengah di hujung langit timur, langit masih diselaputi mendung kelabu gelap, seolah tidak merestui kedatangan pagi 1 Januari 2021.

Sehingga jam 10 pagi, hujan masih turun melebat di halaman rumah. Ianya sekejap melebat dan kadangkala merenyai membasahi bumi yang kelihatan begitu dahaga menghirupnya masuk ke dalam perut tanah. Tatkala menelusuri sungai mengkibol membelah hujan yang melebat, paras air yang berwarna seiras teh tarik itu sudah mencapai tahap yang boleh dikatakan sebagai amaran. Hampir mencapai tebing tapi masih belum menyapa. 


Menjelang Jumaat, hujan masih tidak menunjukkan tanda akan reda. Penulis agak terlewat bersiap dan tatkala tiba di perkarangan jame, kereta telah melimpahi ruang parkir yang sememangnya dibina bukan untuk menampung kenderaan besar untuk jamaah. Masuk ke perut masjid dengan pematuhan SOP musim pandemik, memakai topeng dan membawa kain sejadah atau kain serban, atau kain rida mengikut kefahaman masing², bagi melepasi check point dan memenuhi syarat, jika tidak hanya dibenarkan solat di kakilima sahaja.

Khutbah berkisar tentang masa, itu yang dapat ditangkap oleh penulis. Selebihnya, penulis hanyut dalam ilusi bersama kedinginan penghawa dingin. Sekitar beberapa minit sebelum azan pertama, saf masih belum dapat menampung keseluruhan muatan yang dibenarkan untuk pengelolaan solat Jumaat mengikut musim PKP. Terkenang akan nasib sahabat² di daerah sebelah yang telah dihadkan untuk kehadiran solat Jumaat, ada yang terpaksa saban minggu masuk ke daeha penulis hanya semata² untuk menyelesaikan solat Jumaat. 

Maka kadang² terfikir juga akan ketetapan PKPB yang mana tiada sebarang cegahan untuk duduk beramai² di kedai makan, atau cegahan untuk merentas daerah mahupun negeri. Namun, masjid dan surau pula dihalang untuk diimarahkan dan dikawal ketat agar tidak berlaku pertemuan dalam skala besar. Hanya 12 orang untuk solat Jumaat dan 4 atau 3 orang sahaja untuk solat waktu? Tetapi dalam masa yang sama duduk berjam-jam di kedai mamak, tanpa jarak pada meja yang sama hingga melimpah kerusi dan pelanggan tidak mengapa? Balik kampung dari kawasan merah memeluk erat ayah dan ibu yang dirindui, menghadiri kenduri kendara dan jamuan sanak keluarga, bersalaman bahkan berpelukan dan berlaga pipi, kemudian akhirnya pulang ke rumah dan meninggalkan sedikit virus untuk perkongsian dan kenangan abadi buat yang tinggal untuk sama dideritai? Apa erti PKPB ye?

Kembali kepada kisah hujan yang melebat, seusai solat, hujan mula menunjukkan tanda pengurangan dan langit mula sedikit cerah.

Namun cerah langit tidak lama. Sebelum menjelang asr, ia kembali gelap. Kabut kelabu mula memugar di langit dan menyelimuti gunung yang merupakan mercu tanda pekan kecil kembar Gotham City itu. Titik rembesan mula membasahi bumi dan semakin kuat.




Dan hujan itu berterusan di sepanjang malam. Sehingga menjelang subuh 2 Januari. Hujan seakan terlupa untuk berhenti. Padang surau sudah ditenggelami air pada waktu subuh. Menjelang zuhur, laporan salah seorang jamaah menunjukkan paras air semakin meneggelami kaki lima surau..

Laporan banjir mula bergentayangan di saluran wassap. Banjir telah bermula. Bagi kawasan rendah berhampiran sungai, kerisauan mula melanda. Penulis pernah mengalami keadaan dan situasi sama semasa menghuni rumah di kawasan tepian sungai. 

Jika menurut ramalan, hujan akan berterusan selama tiga atau empat hari. Hari ini baharu hari kedua. Tatkala tulisan ini ditulis, hujan sudah berhenti bermula jam 10 pagi tadi.

Kepada Allah diserah segala urusan






Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol