kutipan pengajaran sepanjang tahun 2020

 3 Jamadil Akhir 1442

Waktu dhuha yang tenang

Tahun 2020 baharu sahaja sekitar 16 hari meninggalkan kita. Jika perbandingan yang hendak dibuat, tanah kubur tahun 2020 masih merah lagi. Pokok yang biasa di tanam di kepala kubur juga masih belum mahu menunjukkan tanda untuk hidup...

Banyak pengajaran sebenarnya yang boleh kita kutip di sepanjang melalui lorong² tahun 2020 yang meskipun boleh dianggap terlalu singkat jika mengambil kira tempoh² dikurung hidup² di dalam rumah sendiri.

Antara yang boleh kita kongsikan ialah sebagaimana berikut :-

Amalan bekerja dari rumah (BDR) atau Work From Home (WFH) digunakan dengan begitu meluas dalam sektor awam. Jika sebelum tahun 2020, penggunaan istilah tersebut adalah terlalu asing dan janggal di kalangan warga kerja sektor awam, kini ianya telah menjadi normal baharu yang mula dikenali, dihayati bahkan kadang kala amat digemari oleh penjawat awam. Tanpa sebarang bias, ianya adalah merupakan satu anugerah besar Ilahi kepada penjawat awam dimana mereka boleh melakukan tugas dari rumah dengan syarat, rumah mempunyai kelengkapan komputer, pencetak dan talian internet yang baik. Dengan penggunaan medium elektronik dan e-governemt, ianya merancakkan lagi pertumbuhan amalan tersebut. Adalah diketahui umum bahawa WFH adalah amalan biasa bagi kebanyakan sektor swasta. Dengan WFH, pihak majikan akan boleh menjimatkan kos seperti kos elektrik, internet, masa dan sebagainya. Manakan tidak, staf mereka tidak langsung menggunakan bahan milik majikan, tetapi terpaksa menggunakan milik dan menanggung kos persendirian, seperti kos elektrik, air, internet dan sebagainya;

Mesyuarat secara atas talian juga mula menjadi budaya masyarakat khususnya penjawat awam. Sebelum tahun 2020, ada kemungkinan penjawat awam langsung tidak tahu atau enggan tahu atau enggan menggunakan talian internet sebagai medium mesyuarat, namun disebabkan PKP, mahu atau tidak mahu, mesyuarat tetap perlu dilaksanakan untuk membincangkan perkara² perlu maka alternatif terbaik ialah dengan melaksanakan mesyuarat secara atas talian. Terdapat banyak platform percuma yang boleh digunakan sebagai medium mesyuarat dan antara yang masyhur ialah google, zoom meeting dan sebagainya;



Menjalani puasa Ramadhan tanpa perlu menziarahi pasar atau bazaar Ramadhan dan tanpa perlu ke masjid untuk solat tarawih. Kalau sebelum tahun 2020, puasa ramadhan menjadi kurang sempurna katanya bile tidak melilau di kawasan lorong² sempit bazaar, maka pada tahun 2020 tiada lagi bazaar yang wujud. Umat melayu menjadi selamat dek godaan dan rayuan juadah berbuka yang luar biasa, juga tawaran kelengkapan eid yang berlebihan. Juga umat Islam menginsafi dan faham serta maklum bahawa solat tarawih boleh sahaja dilaksanakan di rumah masing² sama ada secara berjamaah atau bersendirian. Dan ini lebih menghampiri amalan Rasulullah ﷺ serta abu bakar khalifah pertama;



Berhari raya tanpa ziarah menziarahi dan tanpa menghadiri masjid atau surau. Perkara ini mungkin yang paling luar biasa pernah berlaku di alam melayu-islam nusantara. Majoriti umat melayu islam akan memulakan sambutan eid fitr dengan menghadiri masjid, meskipun sepanjang tahun tidak pernah sujud dalam solat fardhu mahupun sunat, tetapi di pagi edi hati menjadi sayu dan insaf (tetapi sayangnya hanya pada sebelah pagi sahaja). Maka tahun 2020 menyaksikan sejumlah imam interim yang mengetuai solat sunat eid di rumah. Di sesetengah rumah, ada bacaan khutbah yang dibuat mengiringi solat eid;


Menghadiri kelas secara atas talian sama ada pelajar sekolah rendah, menengah dan universiti. Rungutan pelajar khususnya dari universiti acap kedengaran dengan norma baharu yang wujud. Belajar secara atas talian bukanlah sesuatu yang janggal, khusunya untuk pelajar PJJ USM, misalnya yang mana 70 ke 80% pembelajaran dibuat secara atas talian. Alasan paling popular yang dikemukakan ialah masalah talian internet yang tidak stabil, atau kekurangan prasarana tersebut oleh kerana keluarga tidak mampu menyediakannya;


Ganjaran morotarium selama enam bulan penuh - sesuatu yang tidak pernah diimpikan oleh sesiapa pun dimana hutang tidak dipungut oleh pihak bank selama enam bulan penuh. Maka gaji yang diterima adalah secara penuh tanpa sebarang tolakan. Ianya nikmat terbesar kepada semua pekerja di negara ini, khususnya yang kehilangan pendapatan tetap;



Antara yang terpenting ialah pihak yang memenangi sesuatu PR tidak semestinya akan kekal menjadi kerajaan untuk sepanjang tempoh. Itulah yang dibuktikan dalam kejadian Feb 2020 dimana sokongan terhadap kerajaan PH rebah apabila beberapa kerusi pendukung beralih arah menjadi sokongan terhadap parti agama dan juga nasionalis tua. Itulah dunia politik demokrasi. Jika gugatan sebuah kerajaan monarki atau yang sewaktu dengannya ialah rampasan kuasa tentera atau kudeta seperti di benua siam, maka gugatan demokrasi negara semenanjung emas pula ialah rampasan kuasa melalui alihan sokongan ahli parlimen. Tiada istilah rampasan kuasa tentera di semenanjung emas kerana kuasa tertinggi ATM telah dipegang oleh YDA. Itulah uniknya negara ini. 




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol