sarapan pagi : belakang coro

 14 Jamadil Awwal tahun ke 1442 hijrah ar rasul

Sarapan pagi di lokasi belakang coro...Lokasi belakang coro memang telah dikenali oleh penduduk asal pekan kembar Gotham City ini. Bahkan penduduk yang berada di luar daerah juga sudah gagal untuk mengetahui lokasi yang dikatakan sebagai belakang coro itu..

Asal mula perkataan lokasi belakang coro adalah disebabkan ianya terletak di bahagian belakang sebuah bangunan panggung wayang lama di tengah kota metropolitan kembar Gotham-City. Panggung wayang tersebut dikenali sebagai panggung wayang coronation.

Maka pada waktu zaman kegemilangannya, belakang coro menempatkan deretan kedai² milik tiga bangsa yang disusun mengikut deretan. Kedai² melayu menempatkan kedai jahit, kedai gunting rambut, kedai jualan pelbagai keperluan (tapi bukan kedai runcit). Kedai tionghua juga menempatkan kedai jualan barang keperluan seperti perabut juga terdapat kedai makan milik mereka. Terdapat juga gerai menjual makanan untuk sarapan pagi yang disediakan panas-panas. Namun, yang paling dikenali pada waktu tersebut ialah kedai mamak yang menjual murtabak yang agak tebal dan sedap. Kedai murtabak tersebut senantiasa menjadi kunjungan pelbagai kaum, khususnya dalam bulan Ramadhan sebagai satu juadah berbuka puasa.

Sewaktu zaman kegemilangan kawasan tersebut sekitar tahun 80 an hingga 90an, terdapat sebuah surau di tepi sungai mengkibol yang mengalir lesu di tengah² bandar tersebut. Surau tersebut boleh dikatakan agak makmur dimana azan akan dapat didengari berkumandang pada setiap waktu (kecuali waktu subuh). Ditambah lagi dengan kewujudan sebuah kedai menjahit pakaian milik seorang jamaah al arqam pada waktu tersebut, maka surau tersebut boleh dianggap hidup.

Pada awalnya, terdapat kawasan lapang yang terletak dihadapan deretan kedai² melayu tersebut yang dipisahkan oleh sebatang jalan sehala. Kawasan tersebut menempatkan jualan makanan yang dibuka pada waktu malam. Ianya agak meriah dan mendapat sambutan hangat dari kalangan warga pekan tersebut. Ditambah lagi pada waktu tersebut, ianya turut menempatkan stesen bas ekspress.

Walau bagaimanapun, kesemua gerai² tersebut telah ditamatkan pada sekitar akhir 90an jika tidak salah ingatan penulis dan kawasan lapang telah digantikan dengan bangunan kedai beberapa tingkat oleh pihak pemaju. Gerai² makan yang bertempat di kawasan lapang tersebut telah dipindahkan ke satu bangunan yang dibina oleh pihak majlis tempatan sedia ada di bandar tersebut.

Sebelum ini terdapat sebuah gerai makan menjual nasi goreng panas yang boleh dikategorikan sebagai yang paling lazat. Namun, tinjauan yang dibuat selepas beberapa tahun tidak ke kedai tersebut mendapati kedai tersebut sudah tiada lagi di kawasan tersebut. Ada kemungkinan ianya ditutup tatkala kunjungan dibuat.

Begitu juga dengan gerai murtabak. Gagal dikesan oleh penulis. Kebanyakan gerai menjual barangan yang menjadi lokasi beberapa kedai bumiputera juga turut lenyap. Yang tinggal hanya gerai makan milik kaum tionghua sahaja. 

Oh ya...surau di tepi sungai juga sudah tiada lagi di saat ini. Ianya telah digantikan dengan sebuah surau baharu yang juga terletak di tepian sungai yang dipisahkan oleh dua jalanraya daripada lokasi surau lama.

Jajaran belakang coro ini juga kadangkala boleh dikaitkan dengan rangkaian kedai makan di kelab melayu yang terletak di bawah pohon besar. Sebelum ini, gerai di bawah pohon besar menyediakan tawaran juadah makan petang membawa ke malam, dengan hidangan istimewa ialah capati. Mungkin inilah satu-satunya capati yang dibuat oleh Melayu dan unik lagi ialah ianya dibuat oleh seorang wanita. Dengan harga sekeping RM1, ianya ditawarkan dengan lauk kari kambing ataupun kari ayam. Disamping itu, turut ditawarkan nasi putih dengan aneka lauk pauk yang tidaklah terlalu banyak kuantitinya serta pilihannya. Namun kari kambing dan kari ayam telah menjadi lauk yang membuka selera pengunjung.






Beberapa ketika sekitar tujuh atau lapan tahun lepas, gerai tersebut dikunjungi oleh monyet yang entah daripada mana timbulnya. Hal itu menjadi seakan satu hiburan pula di kalangan pengunjung dan ada kalanya boleh menimbulkan sedikit trauma. Namun mereka berjaya menghalau gerombolan monyet tersebut dengan membeli patung harimau besar dan diletakkan di suatu sudut. Bunyinya mungkin agak aneh tetapi itulah hakikatnya. Monyet tersebut agak segan dan silu untuk bertandang ke lokasi gerai tersebut.



Sejak sebelum PKP, gerai tersebut telah tidak dibuka lagi. Dikhabarkan suami sang penebar capati telah meninggal dunia. Maka beliau telah mengalah untuk meneruskan perniagaan. Penulis juga sudah lama tidak berkunjung ke lokasi tersebut, khususnya apabila PKP menjelma.

Beberapa bulan lepas, tergerak untuk meninjau ke lokasi tersebut untuk sarapan pagi. Maka telah wujud penggerai baharu yang meletakkan citarasa pantai timur sebagai sarapan pagi. Maka beraneka juadah seperti nasi dagang, nasi kerabu, ayam bakar dan pelbagai lagi termasuk sarapan citarasa johor dipersembahkan untuk pelanggan yang hadir. Masakan panas juga turut disediakan.








Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol