Sketsa Pembelajaran Atas Talian
13 Jamadil Akhir 1432..Selasa yang cerah
Secara umumnya, sebelum tahun 2020...tiada pelajar sekolah menengah atau rendah, bahkan di menara gading sekalipun yang dapat membayangkan bahawa mereka akan terpaksa melalui satu keadaan dimana pembelajaran secara maya menjadi suatu realiti dalam kehidupan. Mungkin anak² di era tahun 90an pernah berangan² untuk membawa komputer riba ke sekolah ataupun pergi ke sekolah dengan hanya berlenggang tanpa perlu membawa beg yang diisi dengan buku seberat batu. Tiba di sekolah, hanya perlu duduk dengan segala peralatan PC lengkap di meja.
Namun segalanya telah menjadi realiti di tahun 2020. Tahun dimana masyarakat mengimpikan kehadiran kereta terbang, namun kejutan pembelajaran secara maya telah memeranjatkan dunia pendidikan konvensional. Hatta kuliah² agama juga telah mula dibiasakan menggunakan secara maya, meski suatu ketika dahulu pengikut dan ulama tersebut membantah kaedah yang dikatakan tidak memenuhi konsep bertalaqqi secara kitab ke kitab, lutut bertemu lutut, murid bertatap muka dengan guru.
Walau bagaimanapun, para pelajar PJJ, khususnya yang mengikuti pembelajaran di USM Pulau Pinang sememangnya telah dibiasakan dengan kaedah pembelajaran maya. Kelas yang diadakan secara atas talian tersebut biasanya akan berlaku di hujung minggu dimana pensyarah akan membuat kuliah. Pelajar adalah diperlukan untuk hadir kuliah secara maya di lokasi pembelajaran yang telah ditetapkan. Namun kepada pelajar yang tidak dapat hadir, mereka akan mendapat rakaman video sidang pembelajaran di laman sesawang. Oleh itu, pelajar boleh mengulangkaji dengan mengulang-ulang kembali rakaman video tersebut. Biasanya, jika berjaya khatam tiga kali video yang sama, pelajar dah boleh untuk score B+ paling kurang. Jika dapat A, memang level pintar!!
Penulis melihat juga kaedah maya yang dibuat kini dirumah oleh guru². Anak² penulis yang dua orang sudah ke sekolah menengah, hampir setiap hadir akan menghadiri sidang google meet. Guru akan memberikan penerangan dan pengajaran dan kemudian pelajar diminta membuat tugasan. Ianya sesuatu yang baik dan unik. Cuma malangnya, sidang video tersebut tidak dirakam. Adalah sesuatu yang sangat baik jika pihak KPM dapat menyediakan satu platform atau laman sesawang dengan mengambil contoh laman sesawang pelajar pjj USM , dimana setiap pelajar boleh upload sidang video guru mengikut subjek. Bukanlah sesuatu yang menjengkelkan untuk kpm mengambil usm sebagai contoh dan tauladan untuk P&P.
Tidak dinafikan, pihak KPM telah mula mengisi slot P&P di media arus perdana, namun pembelajaran secara bertalaqqi maya tidak harus dikesampingkan sama sekali. Ianya merupakan satu bentuk proses penggabungan sistem pembelajaran antara tradisional dan moden.
Apabila sang guru dapat membuat satu rakaman video pembelajaran berkaitan satu topik dan dirakam, maka pelajar akan berpeluang untuk mengualang dengar dan lihat video tersebut berkali² sehingga faham. Proses ini akan melibatkan kemahiran mendengar, melihat, mengingat dan seterusnya memahami dengan lebih komprehensif berbanding sistem membaca dan mengingat semata².
Proses ini juga sebenarnya boleh dilaksanakan di peringkat sekolah rendah meskipun agar sukar. Namun telah wujud guru² yang menggunakan siaran you tube yang sememagnya telah tersedia untuk proses P&P ini.
Maka tidaklah juga ketinggalan untuk pelajar mode sepenuh masa di menara gading. Kini media maya sering dibanjiri rungutan sang pelajar menara gading berkaitan kelas secara atas talian yang dikatakan sukar untuk difahami. Bahkan bagi penulis, secara maya lebih mudah dan memberikan banyak kebaikan kepada pelajar. Masakan tidak, pelajar tidak perlu lagi menghabiskan masa menuju dan berkejar ke kelas. Cukup hanya berbekalkan gajet atau lap top atau PC, dengan kemudahan capaian internet yang baik, maka proses P&P boleh terus dimulakan meskipun pensyarah sedang berada di lautan dalam sekalipun.
Mungkin kesilapan sistem kita ialah gagal untuk menyediakan sesi pembelajaran secara atas talian lebih awal. Sebagai contoh, jika sistem seumpama ini sudah diperkenalkan seawal tahap 2 sekolah kebangsaan, seperti setiap subjek perlu diikuti satu topik khusus dengan pembelajaran atas talian, maka masyarakat akan lebih mudah untuk menerima perubahan. Namun dek kerana kita hanya mampu mengagaskan sesuatu wawasan tetapi gagal untuk berusaha sekeras mungkin mencapai wawasan yang dimaksudkan, maka kita akhirnya menjadi rugi seperti sekarang. Penulis percaya, ramai lagi pelajar yang gagal mengikuti kelas atas talian dek kerana kekangan seperti capaian internet, gajet yang perlu dikongsi dengan lapan adik beradik lain termasuk ibu bapa dan sebagainya.
Maka benarlah firman Allah dalam sebagaimana yang dicatatkan dalam surah al asr yang membawa maksud, demi masa, manusia itu dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, serta saling nasihat menasihati dengan kebenaran dan saling nasih menasihati dengan kesabaran.
Maka begitulah kehidupan kita jua. Apabila kita sering lalai untuk mencapai gagasan akhirat yang haq itu, maka akhirnya apabila tiba di kampung akhirat kelak, kita akan menyesal atas kealpaan kita di dunia, bahkan menurut sebuah hadith disebutkan, penduduk syurga juga menyesal atas kelalaian mereka mengingati Allah...
Kepada Allah diserahkan segala urusan
Ulasan