Tandas masjid bau rokok?
26 Jamadil Awwal 1442
Tulisan yang dibuat untuk kali kedua dalam tarikh yang sama. Tak pernah berlaku sebelum ini. Antara azam penulis di sepanjang tahun 2021 ialah untuk tidak tidur sebelum menulis. Banyak lagi sebenarnya azam yang terbuku di dada, antaranya ialah untuk membaca sehari satu jam. Tetapi ianya agak terhalang sehingga telah mencapai hari ke 10 dalam bulan januari 2021, hanya sejam lebih sahaja masa yang digunakan untuk membaca. Sebenarnya sedang giat untuk menghayati kitab tafsir al azhar karya agung HAMKA. Moga² Allah memberikan kekuatan.
Berbalik kepada tajuk...sebenarnya sudah beberapa hari hendak ditulis tetapi terlupa. Mungkin pembaca yang ada terbaca ayat² penulis ini boleh membantu bagaimana hendak mewujudkan topik² dalam penulisan harian dan ianya tidak terlupa untuk di tulis di penghujung hari!!
Memang ada perisian blogger dalam bentuk HP yang boleh diinstalasi pada google play. Penulis pernah menggunakannya. Tetapi terdapat beberapa fungsi yang gagal untuk digunapakai berbanding penggunaan pada PC atau note book. Kadang² idea untuk menulis banyak untuk satu² hari tetapi pada penghujung hari akan berlaku salah satu sama ada kelupaan atau kemalasan mengundang...
Beberapa hari tatkala mengunjungi masjid jame yang agak ketat mengamalkan SOP pencegahan Covid-19, penulis terhidu akan bau rokok dari daerah tandas. Untuk pengetahuan, tandas tersebut buat masa kini terpaksa dikongsi bersama dengan jamaah muslimat yang hanya ditutup dengan sekeping papan sebagai sempadan.
Maka timbul persoalan di kepala penulis, dimanakah perasaan pengguna tandas masjid itu tatkala tanpa silu menghisap rokok tatkala melepas hajat? Atau rokok itu dari kalangan remaja yang menutup kelakuan dari ibu bapa?
Masalah bau rokok itu sangat kuat dan penulis percaya jemaah muslimat yang berada di sebalik papan lapis tandas juga akan dapat menghidu aroma tembakau bersulam najis tersebut...
Keadaan ini adalah amat mendukacitakan. Masjid perlu berperanan dalam hal ini dengan meletakkan papan tanda berkaitan fatwa pengharaman rokok di sudut² masjid, juga di pintu masuk tandas atau dinding tandas. Penulis teringat di sebuah kedai makan di daerha penggaram yang menggantung fatwa pengharaman merokok tanpa rasa segan silu. Apatah lagi institusi masjid juga sepatutnya lebih terkehadapan dalam perkara ini.
Janganlah pula dek kerana ada staf yang memang menjadi pencinta tembakau, maka pengurusan masjid memjamkan sebelah mata sahaja terhadap pencemaran bau yang berlaku..
Sebagaimana yang pernah penulis bangkitkan sebelum ini, sebelum tragedi februari 2020, kerajaan sebelumnya telah memulakan langkah penguatkuasaan larangan merokok di sekitar premis terbuka seperti restoran, gerai dan sebagainya, namun wujud bantahan agak keras, dengan ditambah sumbu oleh pembangkang tatkala itu. Maka selepas rampasan kuasa februari, kisah rokok menjadi sirna, bahkan kisah covid juga tidak mampu di kawal.
Ada negeri yang cuba mengawal kakitangan daripada terlibat dengan rokok dimana tatkala temuduga dijalankan, sang perokok akan bakal gagal untuk meneruskan kerjaya. Tetapi mungkin itu hanya gegak gempita di media massa sahaja. Hakikat sebenar, sang perokok masih dikasihi dan dibela di mana² sedangkan mangsa asap rokok, mangsa sekunder yang memang membenci rokok, tetapi terpaksa menyedut asapnya di mana².
Dan yang terlebih malang, apabila lokasi ibadah juga dicemari oleh sang perokok tegar yang mengalami masalah mental yang berat pada pandangan penulis.
hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
مَنْ أَكَلَ مِنْ هَذِهِ الشَّجَرَةِ ـ يَعْنِي الثُّومَ ـ فَلاَ يَقْرَبَنَّ مَسْجِدَنَا
Maksudnya : Sesiapa yang makan dari pohon ini - iaitu bawang putih - maka janganlah dia mendekati masjid kami.
Riwayat Al-Bukhari (853)
Ulama melihat bahawa apa sahaja yang mendatangkan bau kurang enak yang mengganggu jemaah maka ianya adalah dilarang untuk dibawa ke masjid. Maka apakah bau rokok dapat mengatasi bau bawang putih, sedangkan baunya boleh dihidu sejauh beberapa meter sahaja?
Masjid dan penguasa agama perlu menilai perkara ini dengan sebaik-baiknya ...lebih malang jika imam sendiri terdiri daripada perokok tegar. Bukan sekali dua penulis menemui imam yang unik seumpama ini.
Ulasan