tengkujuh telah berlalu

 21 Jamadil Awwal 1442

Tengkujuh yang membadai beberapa kawasan dalam negeri gapura selatan kelihatan telah mereda.  Ini adalah khususnya di daerah tengah yang merupakan kembar kepada pekan Gotham City yang dihuni oleh batman dan rakan² nya.

Beberapa kawasan yang hampir di pinggir banjir telah menarik nafas lega. Allah memberikan amaran kepada hamba²Nya agar senantiasa mengingatiNya dan menolak segala maksiat. Bagi daerah atau lokasi yang tenggelam dek tenteraNya, itu adalah merupakan ujian kepada para hambaNya. Jika dilihat kepada petikan kata ulama jadian politik, itu adalah bala ke atas kejahatan penduduk, khususnya jika menimpa lokasi yang dipimpin oleh parti sosialis dan sekutunya. Namun jika tertimpa ke negeri yang mendakwa pemerintahan Tuhan, ia dianggap sebagai ujian. 

Hujan itu adalah merupakan salah satu dari rahmatNya. Acapkali Allah memberitakan tentang hujan dan faedahnya di dalam firmanNya.

أَوَلَمْ يَرَوْا۟ أَنَّا نَسُوقُ ٱلْمَآءَ إِلَى ٱلْأَرْضِ ٱلْجُرُزِ فَنُخْرِجُ بِهِۦ زَرْعًۭا تَأْكُلُ مِنْهُ أَنْعَـٰمُهُمْ وَأَنفُسُهُمْ ۖ أَفَلَا يُبْصِرُونَ

Dan tidakkah mereka (yang tidak mahu taat dan bersyukur) itu melihat bahawasanya Kami mengarahkan turunnya hujan ke bumi yang kering kontang, lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman-tanaman, yang daripadanya dimakan oleh binatang-binatang ternak mereka dan mereka sendiri? Maka mengapa mereka tidak mahu memerhati (semuanya itu supaya taat dan bersyukur)?

Bagi penulis, hanya kesyukuran yang dipanjatkan atas nikmatNya. Sebelum ini, semasa bermukim di rumah lama milik arwah orang tua, setiap kali hujan melebat dan melampaui hari, maka kebimbangan akan melanda. Khususnya selepas peristiwa banjir pertama tahun 2006. Penulis masih ingat, tatkala sedang duduk di meja makan, sekelip mata air telah masuk ke dalam rumah menggenangi kaki hingga ke mata kaki. Kelam kabut hendak berpindah, air semakin naik. Di luar, keadaan gelap malam selepas isya dengan hujan melebat. Kedudukan kereta juga telah berada dalam air yang bertakung. Mahu tidak mahu terpaksa berpindah. Malam itu kami menumpang di rumah bapa saudara isteri di puncak desir angin. 

Seawal tujuh pagi, kami telah turun semula untuk meninjau kawasan rumah. Jalan masuk ke lorong menuju rumah sudah digenangi air. Semakin jauh meraduk air, paras air semakin tinggi. Ternyata rumah kami di bahagian dapur tenggelam separuh. Mujurlah di bahagian atas selamat...Itu banjir pertama penulis hadapi sejak tinggal disitu ketika berusia 12 tahun..

Sepanjang ingatan penulis, sebelum ini pernah berlaku hujan tanpa henti selama satu minggu. Namun, tiada kejadian banjir besar. Hanya lantai bilik air dipenuhi air setinggi bawah mata kaki. Namun selepas projek memasang kalbat di sepanjang longkang hadapan sepanjang lorong kawasan perumahan kampung dilaksanakan, maka banjir mula menampakkan wajahnya.

Bankir seterusnya berlaku pada tahun 2008 kalau tidak silap ingatan penulis. Tatkala itu, penulis dan keluarga bergerak ke KL. Memang disepanjang perjalanan hujan turun dengan lebat. Tidak disangka pula boleh membuahkan malapetaka. Maka apabila dimaklumi kawasan penulis banjir, kelam kabut menelefon adik yang kebetulan tidak pergi untuk mengangkat naik ke atas barang elektrik seperti peti sejuk dan mesin basuh baju. Beberapa malam kami bermalam di rumah bapa mertua penulis.

Banjir kali ketiga, tidak ingat tahun bila, penulis menumpang di rumah sahabat lama berhampiran masjid jame untuk beberapa hari. Malangnya, selepas air surut dan rumah dibasuh, muncul gelombang kedua menyebabkan kami terpaksa menumpang di rumah kakak sepupu (kini almarhum).

Banyak juga barang yang rosak seperti perabot, tikar getah, karpet dan sebagainya. Kerajaan sedia ada ada memberi sumbangan berbentuk wang dan juga peralatan.

Apabila hujan melebat, hati tidak pernah hilang pergantungan berdoa kepada yang menurunkan hujan kerana dia berkuasa juga menamatkan hujan, juga berkuasa menentukan banjir di kawasan yang dipilihNya atau juga tidak . Oleh itu hanya doa sahaja yang dipanjatkan.

Penguasa negeri dan negara juga perlu berusaha apa yang patut, seperti melebarkan serta mendalamkan sungai di tengah bandar, mengorek parit dan membersihkannya dengan kerap. Projek menjaga hutan juga janganlah diabaikan. Contohilah kepimpinan baginda yang melarang pemotongan pokok yang berbuah, 

مَنْ قَطَعَ سِدْرَةً صَوَّبَ اللَّهُ رَأْسَهُ فِي النَّارِ

“Sesiapa yang memotong pokok bidara maka Allah akan rendahkan kepalanya di dalam neraka” (riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).
Al-Imam Abu Daud dalam kitab sunannya apabila ditanya mengenai maksud hadis ini menyatakan:

هَذَا الْحَدِيثُ مُخْتَصَرٌ يَعْنِي مَنْ قَطَعَ سِدْرَةً فِي فَلاَةٍ يَسْتَظِلُّ بِهَا ابْنُ السَّبِيلِ وَالْبَهَائِمُ عَبَثًا وَظُلْمًا بِغَيْرِ حَقٍّ يَكُونُ لَهُ فِيهَا صَوَّبَ اللَّهُ رَأْسَهُ فِي النَّارِ

“Hadis ini diriwayatkan secara ringkas. Maksudnya sesiapa yang memotong pokok bidara di tanah lapang tanpa sebarang sebab dan sia-sia, sedangkan ia menjadi tempat berteduh orang bermusafir dan haiwan, maka Allah rendahkan kepalanya dalam neraka”. (Abu Daud, Sunan Abi Daud 4/361, Beirut: Dar al-Fikr).

Jika pokok yang menjadi tempat berteduh adalah dilarang untuk dipotong, bagaimana pula dengan tindakan menggondolkan pokok hutan dan balak yang dapat menjadi benteng kepada banjir lumpur dan sebagainya yang boleh memusnahkan kehidupan dan membawa kecelakaan?




Hanya kepada Allah diserahkan segala urusan



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol