walimah tengkujuh
18 Jamadil Awwal 1441
Hujan masih belum teduh meskipun tidak terlalu lebat. Ada majlis walimah yang menanti untuk dipenuhi panggilannya. Ianya tidak dibuat di rumah sebagaimana tradisi orang Melayu. Tetapi diadakan di sebuah dewan yang agak sederhana di tengah pekan kembar Gotham City. Tetapi dewan itu bukanlah seperti piawai dewan sekolah menengah, apalagi dewan sekolah kebangsaan. Ianya dihiasi dengan penghawa dingin yang menjadikannya kelihatan seperti begitu gah untuk kehadiran para datuk dan datin.
Tatkala tiba sekitar jam 12.20 tengahari, suasana dingin menyambut tetamu. Sebagaimana biasa di majlis walimah moden, tiada penyambut tetamu yang terpacak setia di muka pintu masuk. Apatah lagi mempelai telahpun tiba kurang lima minit awal daripada penulis dan juga isteri serta anak sulung.
Masuk dari pintu terus menuju ke lokasi hidangan utama secara buffet. Sebelum itu, perlu melalui check point covid dengan sesi pengambilan suhu dan juga membaca bar kod my sejahtera.
Hidangan yang disediakan adalah nasi putih dan juga nasi beryani dengan lauk yang sama untuk kedua-dua jenis makanan ruji tersebut. Meja hidangan buffet turut dihidangkan dengan pelbagai kuih melayu seperti sagu merah, kuih bakar, kaswi dan sebagainya. Namun yang menarik diantara yang tersebut adalah sesuatu yang menyerupai cookies...penulis terlupa akan gelarnya...
Juga dihidangkan ialah bubur pulut hitam (piawai majlis walimah melayu mutakhir ini jika tidak hidangan bubur kacang hijau atau bubur cha cha) dan juga ais krim calong. Tidak ketinggalan ialah sajian laksa johor yang mungkin sebagai alternatif bagi mereka yang sudah jemu makan nasi baryani di musim walimah ini.
Walau bagaimanapun, tiada sudu mahupun garfu yang disediakan. Ianya agak unik jua kerana jarang sekali majlis walimah yang berprestij tidak menyediakan sudu dan garfu untuk tetamu yang gagal untuk makan menggunakan tangan seperti penulis...
Sebagaimana biasa, majlis akan dihingari dengan pelbagai lagu yang tidak dapat didengari akan liriknya. Agak malang kerana sound system seperti tidak normal. Maka hanya bunyi muzik yang mengisi kekosongan ruang dewan.
Penulis dan isteri serta anak sulung keluar dari dewan tatkala azan zuhur selesai kedengaran dari corong HP milik penulis. Hadiah yang diberikan kepada para tetamu juga agak mewah, iaitu biskut mahal dibungkus dengan kotak beserta buah pear. Tiada lagi telur-teluran seperti lazimnya majlis walimah melayu...
Ulasan