Catatan Amalan Penduduk Pekan Kembar Gotham City Di Hari Jumaat - Siri II

 7 Rajab 1442



1. Antara amalan yang dikhususkan pada malam Jumaat ialah berkumpul beramai-ramai untuk membaca surah Yassin selepas solat Maghrib. Ianya diikuti pula amalan membaca tahlilan sehingga menjelang waktu Isya. Seusai solat Isya, akan wujud jamuan untuk dinikmati bersama jamaah. Pada waktu PKP, jamuan dibungkus dan diedarkan kepada jamaah untuk dibawa pulang.

komen penulis,

Tiada isyarat khusus dari Junjungan ﷺ berkaitan amalan membaca yasin dan tahlilan pada malam Jumaat. Jika yang dipegang adalah bersandarkan kepada hadith  “Barangsiapa membaca (surah) Yasin pada suatu malam, ia berada di pagi hari dalam keadaan telah diampuni. Barangsiapa membaca (surah) ad-Dukhan pada malam Jumat, ia berada di pagi hari dalam keadaan telah diampuni,” adalah hadits palsu. Hadits ini diriwayatkan oleh Ibnul Jauzi rahimahullah dalam al-Maudhu’at. Ibnul Jauzi rahimahullah berkata, “Ad-Daruquthni berkata, ‘Muhammad bin Zakaria (perawi hadits ini) memalsukan hadits’.” (Lihat kitab Ahaditsul Jumu’ah hlm. 131)

Anjuran yang wujud ialah membaca surah al kahfi pada malam dan siang hari Jumaat 

Dari Abu Said Al-Khudri ra, dari Nabi ﷺ bersabda :

“Barangsiapa membaca surah Al-Kahfi pada malam Jumaat, maka dipancarkan cahaya untuknya sejauh antara dirinya dia dan Baitul ‘atiq.”

[Sunan Ad-Darimi 3273. An-Nasaei dan Al-Hakim]

[2] Dalam riwayat lain dari Abu Sa’id Al-Khudri ra :

“Barangsiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka akan dipancarkan cahaya untuknya di antara dua Jumaat.”
[HR Al-Hakim 2/368, al-Baihaqi 3/249. Ibnu Hajar kata ‘ Hadis Hasan’ dalam Takhrij al-Azkar. Beliau kata hadis ini paling kuat tentang surah Al-Kahfi].

[3] Dari Ibnu Umar ra berkata : Rasulullah ﷺ bersabda ;

“Siapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka akan memancar cahaya dari bawah kakinya sampai ke langit, akan menerangkan kelak pada hari kiamat dan diampuni dosanya antara dua Jumaat.”
[Al-Mundzir berkata : hadis ini diriwayatkan oleh Abu Bakar bin Mardawih dalam tafsirnya dengan Isnad yang tidak cacat]. (Dari kitab at-Targhib Wa al-Tarhib 1/298)

2. Amalan pada solat Subuh berjamaah pagi Jumaat ialah membaca surah as sajadah pada rakaat pertama sesudah Al fatihah dan diikuti dengan sujud sajadah. Kemudian membaca surat al insaan pada rakaat kedua selepas bacaan al fatihah. Ada sesetengah surau, imam membaca surah sajadah sehingga ayat sajadah, kemudian sujud, bangkit dari sujud, dibaca satu ayat selepas itu dan kemudian rukuk. Pada rakaat kedua, selepas fatihah, surah sajadah disambung sehingga selesai.

3. Amalan sebelum solat Jumaat, masjid akan mengumandangkan bacaan ayat² al quran dengan terang, jelas dan kuat paling awal satu jam sebelum gelincir matahari. Di sesetengah masjid, akan dikumandangkan bacaan tazkir Jumaat dengan nada mendayu mengikut irama sang pembaca. Jarang sekali pembaca terdiri daripada golongan muda. 

komen penulis,

Tiada isyarat khusus dari perbuatan Junjungan, atau athar sahabat apalagi dari al quran (jika ada mohon dikongsi). Bacaan ayat al quran dengan pembesar suara dan didengari jelas dari dalam bangunan masjid akan mengganggu jamaah yang sedang menunaikan solat sunat, membaca al quran dan berzikir. Dalam hadis Nabi   kata Abu Sa’id al-Khudri:

“Ketika Nabi s.a.w beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi  berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: “Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat” (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).

Bacaan kuat melalui pembesar suara juga bukan sesuatu yang disyariatkan, melainkan laungan azan. Oleh itu, membaca ayat al quran dengan pembesar suara cukup mengelirukan masyarakat non-muslim yang bersangka buruk bahawa itu juga kalimah azan lantas menimbulkan fitnah. Ada yang menjawab, bahawa kita ini negara Islam maka apa yang hendak dihairankan dengan non-muslim? Sesungguhnya tuntutan untuk hidup dalam keharmonian itu juga adalah satu tuntutan Islam.

Ulama besar di zaman ini, Al-Syeikh Muhammad Salih al-Uthaimin r.h mengulas hadis ini dengan katanya:

“Realiti hari ini menyaksikan apa yang disebut oleh hadis ini. Ini yang kita lihat mereka yang melakukan hal ini dengan menunaikan solat menggunakan pembesar suara (luar masjid). Mereka itu jika menyakiti sesiapa yang ada di sekeliling mereka, maka mereka berdosa.. tiada syak lagi meninggal perbuatan ini lebih afdal yang pada hakikatnya tiada faedah pun, sebab insan tidak bersolat dengan mereka yang di luar masjid, sebaliknya dengan mereka yang berada dalam masjid.. dengan itu kita berpesan kepada saudara-saudara kita, khususnya para imam masjid jangan lakukan ini.. boleh jadi sesetengah orang telah solat dan perlu tidur dan berehat, boleh jadi dia sakit lalu terganggu dengan suara ini, boleh jadi juga masjid dekat dengan rumah, pada musim panas pula dan anak-anak kecil terganggu dengan bunyi pembesar suara. Kesimpulannya, masalah ini telah menimpa sesetengah orang sehingga mereka menyakiti jiran-jiran masjid atau rumah mereka dalam perkara yang tiada faedah baginya”. (Ibn Uthaimin, Syarh Riyadh al-Salihin)

Ulama silam juga telah mengingatkan hal ini, bahawa bacaan-bacaan lain di menara-menara masjid adalah dilarang kerana boleh mengganggu orang ramai. Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi (meninggal 597H) pernah berkata:

“Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan. Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar”. ( Ibn Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah). Perkara ini disentuh semasa zaman tanpa pembesar suara. Maka bagaimana pula yang berlaku sekarang?

4. Selepas azan yang pertama dikumandangkan selepas gelincir matahari, para jamaah akan berdiri untuk menunaikan solat sunat qabliyyah Jumaat sebanyak dua rakaat. Wujud juga jamaah yang melaksanakannya sebanyak empat rakaat. Sebaik selesai, bilal akan membaca surah al ahzab ayat 56 sehingga akhir ayah sebagai isyarat untuk imam keluar dari bilik, mengambil tongkat dari tangan muazzin dan seterusnya naik ke mimbar, memberi salam dan duduk. Kemudian azan kedua dilaungkan. Sebaik selesai azan, muazzin akan mengingatkan jamaah agar berhenti dari berkata² tatkala imam berkhutbah dengan membaca makna hadith dari Abu Hurairah.


Kepada Allah dipohon taufiq

    


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol