Keanehan WFH
6 Rajab 1442 ..
Ramadhan akan kembali 54 hari dari sekarang dengan izin Allah. Moga² kita semua termasuk dalam kalangan mereka yang direzkikan untuk menemui Ramadhan tahun ini...
Adalah sesuatu yang menyeronokan jika sambutan Ramadhan kali ini sekali lagi tanpa bazaar Ramadhan. Cukuplah dengan pembukaan masjid dan surau seluasnya untuk menghidupkan serta memakmurkan Ramadhan. Ada yang melihat Ramadhan adalah bulan makan² hingga ia kecewa apabila menemui Ramadhan ... aktiviti memburu makanan lezat untuk berbuka terpaksa dikekang. Ada yang melihat Ramadhan sebagai bulan berniaga hingga ia merasa kecewa pabila tiada lagi aktiviti perniagaan bersemuka yang boleh dilaksanakan. Yang bergembira adalah mereka yang menyambut kehadiran Ramadhan dengan iman dan taqwa. Yang menyambutnya dengan perhiasan bacaan al quran dan sebagainya.
Wajah WFH yang cantik dan harum itu kadangkala dicemari oleh tangan² busuk dan cemar yang tidak tahu menghargai dan mensyukurinya. Maka tanpa rasa malu (kalaupun tidak kepada Tuhan tetapi kepada warga) mereka ini sanggup mempamerkan aktiviti sampingan mereka sebagai aktiviti kerja yang mengangkat nama WFH itu semata². WFH itu adalah medium untuk melaksanakan kerja di rumah masing². Maka dengan adanya sambungan internet yang cekap, kerja² di pejabat boleh sahaja diselesaikan di rumah tanpa sebarang masalah. Hanya suasana kerja yang berbeza.
Namun ada segelintir yang tidak ketahuan apa nawaitunya, mempamerkan aktiviti menyemai lalang misalnya, atau aktiviti mengembala tanpa segan silu, hingga menimbulkan spekulasi umum, apakah orang ini sebenarnya bercuti atau sudah berpencen?
Namun anehnya apabila ditegur, maka gegak gempita diangkat slogan, "dengki", "tak boleh tengok melayu maju" dan pelbagai lagi. Namun hakikat sebenar selaku pekerja yang diberi kemudahan WFH, seharusnya mengangkat kerja hakiki itu sebagai yang utama. Tempelkan wajah atau suasana pekerjaan di sekitar rumah, di meja kerja di rumah ataupun di ranjang misalnya bersama kerja yang sepatutnya di siapkan di pejabat. Atau paling mudah, tidak perlu dipamerkan aktiviti seharian sepanjang WFH, sama ada kerja hakiki atau kerja sampingan seperti menyabit, membalak dan membina terusan. Maka ianya akan lebih selamat dari terkena fitnah. Terselamat dari terkena tohmah. Terselamat dari terkena tindakan tata tertib.
Sebenarnya akibat nila setitik inilah yang akhirnya menyebabkan rosak berbelanga-belanga susu yang suci dan lazat untuk hidangan. Curiga sang majikan mula menghantui mereka terhadap pekerja. Masyarakat sekeliling juga mengata. kalaupun tidak dalam medsos, mereka bercakap di kedai kopi, di kedai dobi dan sebagainya. Nah, maka seluruh penjawat akan dipandang serong. Kunun masa PKP makan gaji buta, sedang orang lain membanting empat kerat menyara keluarga dek kerana pemberhentian kerja, dari tukang sabit hinggalah kepada pemandu pesawat, namun yang ada kerja, bahkan tidak dikurangkan gaji walau setengah sen pun, bahkan diberi lagi kenikmatan WFH, merungut dan sanggup mempamerkan kerja lain yang tiada kaitan dalam waktu bekerja hakiki yang sepatutnya.
Semoga kita semua diberkahi di sepanjang Rajab ini. Semoga kita semua direzkikan untuk menemui Syaaban dan seterusnya Ramadhan,bulan al quran...
Kepada Allah diserah segala urusan
Ulasan