Bedah Buku - Sejarah Arab Saudi
17 Rajab 1442
Selepas beberapa minggu, baharulah selesai membaca buku Sejarah Arab Saudi Buku Pertama Membongkar Sejarah Islam Di Semenanjung Arab - Hijjaz (Makkah-Madinah) Sejak Zaman Rasulullah sehingga sekarang.
Buku ditulis oleh Dr Abdul rahman Hj Abdullah, pensyarah subjek Sejarah USM dan diterbitkan oleh Hijjaz Record Publishing pada Januari 2021. Mengandungi empat bab dengan ketebalan 268 mukasurat.
Bab pertama membicarakan mengenai sejarah awal bumi Hijjaz sejak zaman pra-islam sehinggalah ke zaman takfiri iaitu pasca kejatuhan abasiyyah dan jatuh bangun kerajaan kecil Islam yang menguasai hijjaz seperti beberapa kerajaan kecil yang berfaham syiah. Ternyata di sepanjang pemerintahan Bani Umayyah (661- 750 M) wujud tiga siri pemberontakan besar kaum syiah, Di sepanjang pemerintahan abbasiyyah (750 - 1258M) pula muncul tujuh pemberontakan oleh alawiyyah yang berpegang kepada fahaman syiah dan pada penghujung zaman tersebut menyaksikan kuasa pentadbiran dipegang oleh golongan syiah dengan kebangkitan kerajaan buwaihiyah (932-1055M). Direkodkan juga terdapat 13 kerajaan syiah di sekitar kerajaan abbasiah antara tahun 788 sehingga 1256 M.
Bab kedua pula membicarakan tradisi pemerintahan monarki arab-hijaz dimana peranan dan pengaruh kaum syiah disebutkan begitu menebal di wilayah hijjaz, khususnya semasa zaman Fatimiyyah dimana seruan azan hayya alal khairil amal dilaungkan di dua masjid haraam, muncul julukan gelaran sayyid bagi keturunan Hussain bin Ali dan gelaran Syarif untuk keturunan Hassan Bin Ali, memasukkan nama khalifah Fatimiyyah dalam khutbah Jumaat, serta mewujudkan perayaan maulid Nabi, maulid fatimah, siti aminah, khadijah bahkan mengadakan sambutan asyura pada Rabu terakhir bulan Safar. Kesan pengaruh paling besar dalam dunia Islam sumbangan kerajaan Fatimiyah ialah tumbuhnya aliran tariqat.
Bab ketiga pula membicarakan perubahan pemerintahan monarki Arab Saudi, iaitu daripada pengaruh Uthmaniyyah kepada Saud - Wahabbiyyah. Penulis buku membawakan fakta bahawa Saudi tidak pernah memberontak terhadap khilafah Uthmaniah, tetapi pihak barat yang begitu beriya-iya menghasut Khalifah dengan memfitnah gerakan ini ingin memisahkan diri daripada khilafah uthmaniah. Bab ini membahagian pemerintahan saudi kepada tiga fasa, iaitu fasa pertama pada 1744-1765, fasa kedua pada 1819-1891 dan fasa ketiga pada 1902 sehingga kini.
Bab terakhir dari buku ini membicarakan mengenai peranan Saudi di hijaaz sebagai negara moden. Apakah sumbangan dan juga kontroversi yang dizahirkan sejak bermulanya pemerintahan keluarga Saud di bumi hijjaz sehingga mampu menyatukan keseluruhan semenanjung arab di bawah kekuasannya. Di antara pemerintah Saudi moden yang dikatakan menyeru kepada jihad terhadap Israel ialah Raja Faisal yang kemudiannya mati dibunuh oleh agen CIA.
Secara umumnya, yang menarik sekali ialah dalam ekpedisi penyatuan saudi pertama, serangan pernah dilakukan sehingga ke wilayah Iraq dan syria, namun gagal. Amir Abd Aziz Bin Muhammad sendiri terbunuh di karbala ditikam oleh seorang Rafidhi tatkala sujud di dalam solat. Andainya serangan saudi berjaya menakluk majoriti negara Arab, adalah besar kemungkinan peta geografi akan berubah sama sekali pada hari ini.
Ulasan