Sorotan kembara silam : kacamata fasi liar kajian di Taman Herba
7 Syaaban 1442
Ramadhan sang kekasih sudah semakin menghampiri pintu kediaman kita. Marhaban Ya Ramadhan ... Moga Allah rezkikan kita bertemu kembali di tahun ini. Tahun yang digembar gemburkan oleh majoriti bani melayu, khususnya di kawasan Hindia Timur sebagai tahun pembaiahan Al Mahdi Al Muntazar. Tahun ini juga digembar-gemburkan sebagai tahun dimana The False Messiah , atau nama lain bagi Al Massih Ad Dajjal akan menyembelih lembu berwarna merah sekitar September yang dikatakan telah lahir pada 2018. Atau sekiranya gagal pada September ini, akan disembelih pada Sept 2027. Teringat akan gemburan kisah suara mengguntur pada malam ke 15 Ramadhan 1441 yang diviralkan dengan sebegitu rupa pada sebelumnya. Juga oleh bani melayu, cuma tidak dapat dikenalpasti dari kabilah anti baksin atau kabilah penunggang ...
Penulis terlibat sebagai fasi untuk program pembangunan sahsiah staf di organisasi bermula sekitar tahun 2005. Hampur setiap bulan menyertai program tersebut. Jika tidak secara sepenuhnya yang memakan masa empat hari tiga malam, akan dipanggil untuk menyertai program kembara. Kembara pada awal kelahiran program ini yang merupakan antara elemen terpenting dalam menentukan kejayaan keseluruhan program, hanya dilaksanakan pada waktu siang. Ini bermakna, sepanjang siang, bermula dari jam seawal 7.30 pagi sehingga menjejak ke senja merah di ufuk barat, akan dihabiskan bagi melayan karektor peserta juga provokasi sang fasi.
Pengaturan perjalanan program secara asas telah dibuat di kantor operasi. Namun secara khusus, ianya disusun atur oleh seorang arkitek kecil molek berusia berasal dari serambi Makkah. Lelaki ini agak ajaib kerana dikatakan mampu berjalan di atas air. Mungkin almarhum Ramlee Bin Puteh yang dikatakan sebagai wali seni, lelaki ini boleh juga donobatkan sebagai wali hutan kembara!!
Kembara akan dimulakan untuk fasi dengan melaksanakan tinjauan rintis. Ianya akan dilaksanakan oleh pengarah program bersama wali di hutan. Selepas pengarah berpuas hati dengan trek, maka tugasan di CP disusun atur oleh wali di hutan.
Malam sebelum kejadian, selepas program berakhir sekitar jam 11, para fasi belum diizin tidur. Mereka ada mesyuarat harian yang perlu dilunaskan bersama pengarah untuk menghantar laporan, membincangkan mood peserta serta penerimaan mereka di sepanjang program pada hari tersebut dan seterusnya membuat perancangan untuk hari selepasnya, sama ada mengendalikan modul yang telah dirancang, atau menggunakan modul alternatif. Pertemuan kadang kala mengambil masa melebihi satu jam jika wujud isu² yang perlu diselesaikan untuk kesinambungan program esok. Selebihnya, fasi akan ke kedai berhampiran untuk sesi ngeteh yang boleh membawa jam jejak ke pukul 2 pagi!!
Seusai solat subuh pada hari kejadian, wali di hutan akan memberikan taklimat kembara kepada peserta sebagai mengisi slot kuliah subuh. Jam 7 pagi, jamuan diedarkan kepada peserta dan setengah jam kemudian, perserta telah berkumpul untuk mendengar taklimat dari wali di hutan dan juga kem komandan.
Kem komandan pada awal gerakan ini ialah seorang berpangkat kapten dari pasukan wataniah dan seorang ahli akademik yang berantai.
Kembara dimulakan dengan pelepasan mengikut kumpulan dengan sela masa sekitar 10 ke 15 minit. Ini bertujuan untuk mengelakkan kesesakan tatkala berada di CP. Seboleh-bolehnya, fasi di CP, walau seliar dan seganas mana pun, perlu menyelesaikan tugasan sekitar bawah 10 minit. Jika terlebih minit, maka akan berlaku pertindihan kumpulan dan ini dijangka akan melewatkan masa tamat di CP akhir nanti.
CP pertama adalah untuk sesi suai kenal dengan ahli kumpulan. Memang ahli kumpulan dah kenal lama. Tapi adakah mereka serasi dan sehati? Kenalkah mereka secara dekat dan akrab? Di CP inilah akan dicungkil setakat mana perkenalan mereka di dalam kumpulan di sepanjang program yang telah masuk hari ke tiga. Pelbagai ragam dan aksi ahli kumpulan boleh dilihat di sini. Kebanyakan mereka adalah kenal rakan sepasukan. Cumanya belum dapat menyelami dengan lebih mendalam. Bila ditanya, alasan tak sempat nak berkenalan sebab jadual terlalu pack. Untuk menyebut nama pasangan rakan sekumpulan juga mereka tidak peka. Apalagi jika yang ditanya tentang organisasi. Pengalaman penulis, wujud ahli organisasi yang tidak mengenal nama pengurusan tinggi organisasi. Bagaimana mereka mahu menjayakan misi dan visi sedangkan susuk tubuh pimpinan mereka gagal untuk kenal?
Beralih ke CP kedua di sini peserta akan diuji berkaitan kepimpinan. Pelbagai corak modul permainan yang dilaksanakan. Antaranya yang paling popular ialah blind fold. Ianya dapat benar² menguji pemimpin dalam kumpulan. Fasi yang agak nakal akan cuba membuat provokasi agar ditukar ketua kumpulan sekiranya mereka gagal dalam ujian di sini, yang biasanya akan gagal. Ada kumpulan yang tegar, ada kumpulan yang mengikut sahaja.
CP 3 adalah untuk menguji daya tahan ahli. Di sini setiap keputusan diminta dibuat secara kolektif. Untuk itu disediakan bilik mesyuarat yang istimewa. Di dalam kolam air. Maka masuklah kesemua ahli kumpulan berjumlah lapan ke sepuluh orang berendam di dalam air sambil berbincang. Kadang kala, CP ini akan menjadi CP fake atau digelar CP hantu. Sebenarnya hanya ada 3 CP sebenar. CP hantu andalah untuk menguji kepekaan peserta dalam mengenal lokasi sebenar dan dengan siapa peserta berurusan. Biasanya ada tugasa yang perlu disiapkan di CP sebelumnya dan perlu dihantar ke CP seterusnya. Namun majoriti peserta yang kepenatan atau mungkin bosan dengan karenah fasi di tengah panas hanya menyerahkan sahaja barang amanah di CP berhantu tersebut. Namun akhirnya, apabila tiba di CP penghabisan, baharu mereka tersedar bahawa CP sebelumnya adalah CP fake. Maka di situ, yang merupakan CP penamat yang diawasi oleh dua kem komandan berantai akan mendenda peserta dengan disuruh berguling dalam selut berwarna putih. Aksi ini digelar sebagai KFC, kerana pada akhirnya seluruh tubuh disaluti selut putih hingga ditepek ke wajah!!
Ada peserta yang cuba menjustifikasi tindakan mereka dengan berlari kembali ke CP hantu untuk mengambil semula barang yang tersalah serah. Tetapi ianya tidak semudah itu. Barang yang telah diserahkan bukan mudah untuk diambil semula. Maka kadangkala wujud konflik antara fasi dan peserta hingga memaksa campur tangan ketua fasi untuk diselesaikan. Ketua fasi ketika itu, seorang ustaz yang merupakan mahaguru penulis, seorang yang sangat berdiplomasi. Ada sahaja cadangan penyelesaian beliau yang dapat meredakan keadaan.
Ada keadaan dimana peserta begitu bersemangat hingga aktiviti di CP tergendala dan sesak. Hal ini akan menyebabkan masa kembara menjadi semakin panjang. Kami pernah ditugaskan di CP ketiga sehingga menjejak azan Maghrib baharu selesai tugasan. Begitu mencabar.
Dan aktiviti kembara sebenarnya belum berakhir di tapak penamat. Seusai solat Isya, refleksi mengambil bahagian. Semua kumpulan akan memberikan input dan menceritakan pengalaman serta kesimpulan yang dapat dikutip di sepanjang kembara siang yang panas dan hangat.
Kepada Allah diserah segala urusan
Ulasan