Sorotan kembara silam : Kembara Pertama di Kem Nasuha
24 Rajab 1442
Pihak pengurusan organisasi memutuskan untuk meneruskan program sebagaimana Sungkai tetapi mengikut acuan dan fasi sendiri dari kalangan staf. Berikutan itu, satu jawatankuasa dibentuk dan pemilihan fasi dibuat untuk memikul tugas yang berat tersebut.
Dalam siri TOT yang pertama dilaksanakan di lokasi bebrbukit tersebut, penulis adalah merupakan salah seorang peserta. Tidak ketahuan pula sebagai pelengkap, atau pelakon tambahan atau sekadar bahan ujikaji setaraf tikus putih makmal.
Sorotan kembara yang dilakukan adalah pada sebelah siang sehari sebelum hari terakhir program yang memakan masa 4 hari tiga malam untuk diselesaikan, sama seperti Sungkai yang menjadi rahim atau tabung uji. Proses pembesaran embrio program dilakukan di sini, taman herba di daerah parlimen PM ke lapan dalam senarai PM negara...
Perjalanan kembara bermula se awal jam 8 pagi dengan sesi taklimat ringkas. Taklimat panjang telahpun dilaksanakan pada sebelah malam tadi. Semua peserta diminta membawa pakaian untuk bermalam di tapak kembara. Huh...lagi thril
Perjalanan kembara terpaksa menempuh 4 CP juga seperti di Sungkai. CP 1 adalah berbentuk pengenalan dimana berlaku proses taaruf dan juga salam perkenalan dengan sedikit aktiviti. Di CP kedua ialah pengukuhan kumpulan dengan permainan seperti blind fold, dimana peserta diminta untuk menutup mata kecuali ketua kumpulan. Kesemua ahli kumpulan boleh berinteraksi kecuali ketua dimana hanya bahasa isyarat berupakan ketukan sehaja yang dibenarkan. Fasi akan meminta kumpulan yang dipinjam mata itu bergerak ke suatu lokasi berhampiran dengan hanya menggunakan telinga sahaja dalam memahami arahan ketua. Fasi akan bertugas untuk membuat provokasi dengan meniru bahasa isyarat ketukan ketua untuk mengelirukan ahli kumpulan hingga mereka terpisah dari kumpulan.
Di CP ketiga adalah terdapat beberapa aktiviti yang agak lasak seperti merentas tasik menggunakan tali atau merentas selut. Peserta adakalanya dipaksa bergelumang dengan selut yang berwarna putih itu.
Di CP keempat, tempat terakhir untuk bermalam. Kami masing² diberikan kemah. Berkebetulan, tatkala penghujung petang, hujan turun dengan lebat dan membawa hingga ke malam. Pakaian dan tapak perkemahan basah kuyup. Tiada aktiviti yang dapat dilaksanakan.Akhirnya, kami diminta pulang semula ke tapak penginapan. Mujurlah.
Ini adalah memandangkan lokasi tersebut kekurangan sumber air, dengan tandas yang terhad. Dah macam wukuf di arafah pula rasanya. Jika terpaksa bermalam, tentu banyak masalah lain yang diramal timbul. Lebih² lagi peserta wanita yang banyak ragam yang perlu ditelan dengan kemudahan yang minima.
Jika mengikut perancangan awal program refleksi kembara akan diadakan di tapak perkemahan, namun dibatalkan dek kerana cuaca buruk. Lagipun, kembara tamat terlalu lewat sehingga menjelang senja. Ini kerana ada di kalangan peserta yang 'keras' dan 'tegar' cuba melawan kehendak fasi. Sebenarnya, dalam prog seumpama ini, peserta dan fasi perlu bergerak dalam rentak yang sama. Memang ada kalanya fasi terlalu keras, mungkin disebabkan ego ataupun kerana terlalu lurus hingga tiada budi bicara. Namun jika peserta juga turut ego dan cuba melawan, maka program akan menjadi terlebih sudu dari kuah hingga menjadikan rakan lain sebagai mangsa keadaan.
Maka kami pun diarah bungkus kemah yang telah sedia didirikan, berangkat pulang semula ke penginapan pada malam itu juga bagi mengelakkan cuaca menjadi lebih buruk. Namun di banglo penginapan, program refelksi tetap dilaksanakan sekitar jam 9.30 malam. Jangan harap boleh bersenang dan berehat sekejap semasa program.
Ulasan