Sorotan Kembara Silam : Sungkai Dalam Lipatan Pengalaman Usang

 24 Rajab 1442

Sekitar tahun 2004, penulis dan beberapa rakan seorganisasi telah terpilih untuk menyertai kursus nilai teras organisasi di lokasi yang melebihi dua marhalah dari ibu pejabat. Sungkai dalam negeri perak, terletak di dalamnya kem yang dikelilingi kebun getah. Tanah persendirian milik syarikat tersebut. Di bahagian belakang kem terbentang sebatang sungai yang mengalir lesu dengan warna keruh seperti teh tarik di kedai mamak.




Oleh kerana penulisan ini hanya memfokuskan tentang slot kembara, maka penulis tidak berhajat untuk memperpanjangkan bab lain yang berkaitan memandangkan ianya pernah ditulis sebelum ini (https://abuzair.blogspot.com/search?q=sungkai).

Kembara sungkai juga dilaksanakan pada waktu malam. Seusai makan malam dan selepas menerima penerangan panjang daripada pihak urusetia, kami memulakan perjalanan merentas hutan pokok getah seawal jam 9.30 malam. Kami bergerak dalam kumpulan seramai lapan orang kalau tidak silap. Masing² bergaya dengan lampu suluh meredah malam. Namun persoalan timbul juga di dalam kotak tengkorak kepala, mengapa kami diberikan sebatang lilin dan sekotak mancis sebelum berlepas sebentar tadi?

"Ada lampu suluh...apa yang nak diherankan,"

Bisik satu suara separa angkuh.

 "Ingatkan thrill bebeno...ada ke kembara malam bawak lampu suluh..."

Selepas beberapa tapak meninggalkan tapak penginapan, kami menemui CP yang pertama. Ternyata urusetia bertugas di CP tersebut adalah dari kalangan staf organisasi sendiri. namun, tatkala  bertugas selaku penunggu CP, biasanya akan menjadi orang lain yang tidak dikenali. Sebaik tiba, kami diarahkan untuk menyanyikan lagu tema program.  Untuk makluman, lagu tersebut telah dihafal sebaik selepas sesi kedua kami tiba di kem tersebut. Ini kerana ketakutan terhadap kegarangan Pak Din, kem komander yang diwujudkan untuk itu.

"Ok semua...lampu suluh sila halakan ke tanah ..."

Arahan diterima. Kami halakan lampu kami cahaya mengarah ke bumi. 

"Ok...sila letakkan lampu masing²"

Nah...inilah arahan yang dinanti-nantikan oleh semua. Kami meletakkan lampu yang masih bernyala itu menelungkup ke bumi. Suasana gelap seketika. Cahaya bulan seperti tersipu² malu di celah rimbunan awan dan pepohon getah tua. Angin sepoi bahasa sejuk boleh menyebabkan tubuh sedikit bergetar dek kesejukan yang mula menyelinap masuk ke dalam pakaian.

"Baik...keluarkan lilin yang diberikan..."

Terjawab sudah persoalan penganugerahan sebatang lilin dan sekotak mancis tatkala berada di lokasi pelepasan beberapa minit lepas. 

"Ketua kumpulan, sila nyalakan lilin"

Dan apabila telah ternyala lilin yang apinya melintuk² ditiup angin malam...arahan seterusnya ...

"Ok...selamat meneruskan perjalanan ke CP seterusnya"

Malam semakin larut kini. Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 10.15 malam. Perjalanan semakin mencabar dek kerana terpaksa menahan dan menjadi api lilin dari padam untuk meneruskan perjalanan. Ini bermakna masa semakin panjang. 

Kira² hampir 45 minit, baharulah kami tiba di CP kedua. Ada tugasan yang menanti di CP ini. Cumanya, mancis kami telah dirampas dan hanya ditinggalkan dua batang sahaja dan api kami juga telah dipadamkan.

Perjalanan ke CP 3 semakin mencabar. Ketua kumpulan mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan tanpa cahaya lilin. Hanya berpandu kepada cahaya bulan yang malu sahaja di celah rimbunan pokok getah tua. Trek semakin payah apabila terpaksa masuk ke dalam parit atau kubu. Mujurlah bukan musim tengkujuh. kalau tidak, berenang juga dalam parit atau kubu tersebut. 

Di CP4, kami juga menerima tugasan tetapi lebih mudah. Namun, cabaran sebenar ialah apabila kami terpaksa pulang ke kem dengan berjalan secara individu tanpa berkumpulan. Kami dilepaskan seorang demi seorang dalam gelap, tanpa sebarang cahaya yang dibawa. Setiap kami dilepaskan sekitar seminit atau 30 saat selepas peserta sebelumnya dilepaskan.

Ini adalah yang paling mencabar sebenar. Mencabar kepada peserta yang terpaksa membawa diri sendiri dalam kegelapan menuju destinasi. Tanpa lampu atau sebarang cahaya. hanya berdasar gerak hati dan penanda yang diletakkan di kiri kanan jalan. Penanda tersebut juga agak berjarak. Ianya juga mencabar pihak fasi dan urusetia kerana mereka juga terpaksa berjaga di sepanjang laluan untuk memastikan peserta selamat tiba ke destinasi dan juga agar peserta tidak tersesat. Namun fasi dan urusetia juga berperanan untuk menakut² peserta dan memprovok keberanian mereka. Jam sudah beransur melebihi angka 12 tengah malam. Kadang² bunyi salakan anjing yang sayup kedengaran dan sekali-sekala disampuk oleh suara burung jampuk. Ah...

Bagi penulis, ini pengalaman pertama berjalan seorang diri di tengah malam. Hanya zikirullah dan ayat suci al quran yang menjadi peneman sepanjang jalan, disamping yakin bahawa dikir kanan jalan sebenarnya ada fasi yang menanti atau mungkin hanya untuk menyedapkan hati sahaja.

Program berakhir dengan ketibaan peserta terakhir sekitar jam 5 pagi. Bagi kumpulan yang dilepaskan lebih awal, sudah barang tentu mereka juga tiba lebih awal, namun dilarang untuk bergerak masuk ke bilik. Kena menunggu bersama² yang lain di tapak penutup. Maka ada sahaja yang mengambil kesempatan melelapkan mata.

Seusai subuh, kami diberi keringanan untuk berehat sebentar sebelum perlu menghadiri program refleksi sekitar jam 9.30 pagi di dewan. 



 

 

 


Ulasan

Farid Izzuddin berkata…
assalam tuan, saya baru mengikuti blog tuan yang berkisarkan pengalaman sebagai penghulu di Batu Pahat

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol