Sorotan Program Motivasi Zaman Lampau : Kembara Burung Hantu Tanpa Hantu

 21 Rajab 1442

Jumaat pertama di mana masjid dibuka seluas 1/3 daripada keluasan masjid untuk dihadiri bagi solat Jumaat dan juga solat berjamaah. Maka ruang masjid sudah mula dimanfaatkan kembali oleh jamaah yang selama ini 'terhalang' untuk menghadiri aktiviti solat berjamaah, sama ada solat lima waktu ataupun solat Jumaat khususnya. Segala Puji Bagi Allah yang telah meluaskan hati pihak berkuasa untuk membenarkan kembali rumah-rumahNya dimakmurkan. Cuma jamaah sedang berdebar² menantikan Ramadhan kali ini. Apakah akan kembali ceria seperti sebelumnya atau sama sahaja dengan qiam di rumah di sepanjang malam² Ramadhan, juga terpaksa juga iftaar di kalangan ahli keluarga terdekat sahaja dengan memasak juadah tersendiri tanpa boleh menghadiri bazaar Ramadhan yang menjadi igauan ?

Tatkala memandu pulang ke kediaman dari bandar batu yang dipahat itu, penulis terkenang satu tajuk untuk dicoretkan, iaitu program kembara. Sememangnya penulis bukanlah yang layak untuk menyoroti topik seumpama ini. Cuma sekadar untuk berkongsi pengalaman di sepanjang keterlibatan sebagai fasi untuk beberapa siri program.

Antara program terawal yang disertai oleh penulis ialah program kembara burung hantu semasa kursus luar untuk melengkapkan program induksi pada 2003. Untuk penjawat awam, kursus induksi adalah merupakan kursus yang WAJIB dilalui untuk pengesahan jawatan. Mulai 2013, kursus induksi telah digantikan dengan Program Transformasi Minda atau PTM.

Bagi organisasi penulis, disamping kursus induksi yang perlu dilalui untuk tempoh beberapa minggu, terdapat nilai tambah di dalam kursus dimana peserta perlu menghadiri aktiviti seolah perkemahan di luar daripada organisasi selama tiga hari. Program penulis telah diadakan di sekakap Mersing.

Semua peserta diletakkan untuk bermalam di dalam khemah dengan 3 hingga 4 orang untuk tidur dalam satu khemah. Untuk program kembara malam merangkap burung hantu, kami dibawa berjalan dalam satu barisan panjang. Sebelum memulakan perjalanan iaitu sekitar selepas solat isya, satu taklimat ringkas diberikan oleh fasi. Kemudian kami dilepaskan mengikut kumpulan dengan diiringi suara laungan azan yang mendayu. Agak menyeramkan kerana pergerakan kami masuk menuju ke hutan di tepi pantai. Bukannya masuk ke kawasan kampung atau pasar malam ataupun kota metropolitan!!

Semasa taklimat sebagaimana fasi yang berperanan untuk provok dan menimbulkan perasaan gundah gulana sang peserta, diceritakan bahawa pada program² sebelum itu kerap berlaku dimana apa bila program tamat, peserta dikira akan berlebihan daripada jumlah sebenar. Maka terpaksalah proses mengira semula itu dilakukan berualng kali sehingga dapat nombor peserta yang sebenar. Dan yang menjadi persoalan, siapakah peserta yang terlebih itu tadi?

Sebelum masuk ke dalam kegelapan hutan, kami telah dimaklumkan bahawa nanti setiap kami akan ditarik oleh fasi bertugas untuk tetap di suatu lokasi. Dan setiap peserta akan ditinggalkan dalam gelap seorang diri untuk beberapa ketika sehinggalah fasi datang dan memimpin kita untuk pulang. Setiap kami telah diberikan dengan pasword tertentu untuk menguji fasi sebenar yang bakal mengambil kami pulang. Tersilap fasi yang datang, mungkin anda akan terus tinggal di alam gelap untuk tempoh yang lebih lama....

Maka kami pun memulakan perjalan dalam kegelapan malam. Setiap kami perlu mengingati siapa yang berada di hadapan dan juga di belakang kami. Setiap kami hanya berbisik² sewaktu berjalan. Itupun kalau perlu. Dan selepas beberapa minit, maka beberapa orang dari kami mula ditarik oleh sang fasi. Ada juga kedengaran suara menjerit kerana ditarik mungkin. Dan kemudian, tibalah giliran penulis untuk ditarik dan disuruh duduk di suatu kawasan dalam kesamaran malam.

Maka penulis dan duduk sambil membaca beberapa ayat dari al quran. Berulang. Jemu membaca, disulami dengan zikir. Di telinga hanya kedengaran sayup² bunyi hempasan ombak di pantai. Juga bunyi deraian kayu² yang jatuh ke lantai hutan berpasir. Kami tahu bahawa kedudukan jarak antara kami tidaklah terlalu jauh. Tetapi untuk berbual itu seperti tidak kena pada keadaan dan masa. Pertama, kerana kita tidak dapat meneka dengan tepat jarak kedudukan kita dan juga rakan meskipun kita yakin mereka sangat hampir dengan kita. Kedua, takut terberbual dengan bukan peserta sebenar. Ni lagilah payah...

Duduk dalam keadaan samar-samar di tengah hutan yang tebal menyebabkan kita akan menjadi yakin dan menyerah hanya kepadaNya semata². Maka kita akan mula menginsafi diri. Ketakutan yang timbul akibat kegelapan yang sebenarnya berpunca dari diri sendiri perlu dikawal dan dilawan setidak²nya.

Selepas satu jam, maka fasi akan datang menjemput setiap peserta dan seterusnya dikumpulkan di tapak penamat. Selepas selesai proses pengiraan peserta tanpa gagal, kami dibenarkan untuk kembali ke tempat tidur. Jam sudahpun menunjukkan sekitar jam 4 pagi. Esok subuh dah nak kena bangun lagi...

Hanya kepada Allah diserahkan segala urusan.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol