Catatan amalan penduduk Bat Town (Kembar Gotham City) : Edisi Nisfu Syaaban dan Tahlil Mega

 24 Syaaban 1442

Gema Ramadhan semakin hampir. Aromanya telah mula dapat dihirup akan wewangiannya. Dia sudah berada di ambang sempadan untuk masuk kedaerah kehidupan kita. Cuma kita yang tentu dapat menemuinya meskipun sudah kedengaran derapan kakinya di halaman rumah kita. Boleh jadi Izrail a.s mendahului Ramadhan pada tahun ini bagi menutup diari kehidupan kita.

Antara amalan biasa yang dilakukan oleh penduduk Bat Town ialah meraikan malam ke 15 daripada tarikh kiraan bulan Syaaban. Majoriti percaya bahawa malam ini doa dimakbulkan sebagaimana riwayat yang dinyatakan mengenai perkataan Al Imam Syafie antara malam yang dipercayai dikabulkan akan doa ialah pada malam ke 15 Syaaban.

Maka penduduk kota ini akan berkumpul di masjid, surau, musalla bahkan jika tidak berkesempatan, di rumah masing² seusai solat Maghrib untuk membaca surah yassin sebanyak tiga kali. Kali pertama dibaca untuk hajat tertentu, begitulah juga yang kedua dan juga yang ketiga. Amalan ini dilakukan sejak turun temurun diwarisi daripada ulama silam tanpa gagal setiap tahun, dakwa mereka. Bahkan masjid raya mereka juga telah membuat pengumuman khas akan majlis yang bakal dilaksanakan semasa solat Jumaat tempoh hari.

Kegagalan untuk surau atau masjid melaksanakannya boleh dianggap sebagai satu bentuk kecacatan terhadap kredebiliti para AJK dan memungkin mereka untuk dipulau atau ditamat atau sekurang² nya tidak disambung jawatan yang dinikmati. Paling kurang pun, diadakan majlis tazkirah membacakan hadith² berkaitan kelebihan malam nisfu syaaban tanpa sebarang ulasan berkaitan status hadith. 

Menjelang Ramadhan, masjid, surau dan musalla di kota ini juga akan berlumba-lumbaan mengadakan majlis tahlil yang dinamakan sebagai tahlil mega, dimana tahlil secara besar-besaran diadakan dengan mengumpulkan segala nama yang telah meninggal di kalangan penduduk dalam borang tertentu, untuk dibacakan oleh sang imam atau sesiapa yang bakal mengetuai majlis tahlil dan disedekahkan pahala bacaan yassin dan tahlilan kepada penama. Biasanya waris penama yang akan mengisi borang perlu juga memberikan sedikit wang untuk menampung majlis jamuan selepas tahlil mega untuk menyemarakkan lagi program dengan aneka makanan sebagai simbol penutup (atau pembuka?) pesta makan-makanan di sepanjang Ramadhan Al Mubarak.

Acara ini juga diwarisi secara turun temurun daripada ulama terdahulu (tanpa menyebut akan sanadnya) sebagaimana yang didakwa apabila ada pihak yang cuba membuat onar bagi mencari kebenaran. Bahkan masjid raya juga turut mengumumkan program tersebut semasa majlis solat Jumaat agar makmum bersama dan tidak melupakannya apalagi cuba untuk menidakkan amalan tanpa asas itu.


فَإِنْ ءَامَنُوا۟ بِمِثْلِ مَآ ءَامَنتُم بِهِۦ فَقَدِ ٱهْتَدَوا۟ ۖ وَّإِن تَوَلَّوْا۟ فَإِنَّمَا هُمْ فِى شِقَاقٍۢ ۖ فَسَيَكْفِيكَهُمُ ٱللَّهُ ۚ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ

Maka kalau mereka beriman sebagaimana kamu beriman (dengan Kitab-kitab Allah dan Rasul-rasulnya), maka sesungguhnya mereka telah beroleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (serta tidak mahu beriman dengan sebenar-benar iman) maka sesungguhnya mereka akan tinggal berkekalan dalam perbalahan dan permusuhan (dengan kamu); oleh itu (janganlah engkau khuatir wahai Muhammad) kerana Allah akan memeliharamu (dan umatmu) dari kejahatan mereka; dan Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Al Baqarah : 2)


Kepada Allah diserahkan segala urusan

  

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol