Warung Kerang : Sudah jadik Warung Kupang

 22 Syaaban 1442 (Ahad)

Hari pertama bekerja di pejabat untuk minggu ini. Agak banyak juga surat yang perlu dikeluarkan. Al maklumlah pejabat tanpa jurutulis, maka jadilah penulis selaku jurutulis, penyelia dan juga kadang² pegawai(?)

Dek kerana kelaparan yang mula merobek usus besar, bersegera penulis berlari menuruni anak tangga pejabat menuju ke kenderaan yang telah diparkir di lokasi teduhan sementara. Dalam kereta masih berfikir, kemana hendak meredakan didihan asid di dalam liang usus ini? Adakah di dalam kawasan pejabat sahaja atau di luar?

Biasanya penulis akan mengajak rakan lain sebagai peneman bicara di jalanan, di meja makan dan juga ketika pulang dari menjamu selera. Tapi kali ini penulis fikir, lebih baik sendirian, kerana mungkin orang lain ada tugasan penting yang perlu disiapkan. Apabila penulis mempelawa, khuatir akan timbul perasaan serba salah untuk memenuhi permintaan atau meneruskan tugasan. Jadi untuk jalan selamat, pergi sendirian...




Maka penulis terkenang akan sebuah warung yang terletak di tepian parit besar di simpang empat. Pada awal nawaitunya ialah untuk ke warung biasa yang menyajikan juadah panas. Namun terbatal apabila melalui warung simpang empat.

Warung tersebut suatu waktu dahulu dikenali sebagai warung kerang. Jika kita mempakir kenderaan, kita akan dapat menyaksikan fosil kerangan di atas jalan disekeliling warung tersebut. Penulis pernah bergurau dengan rakan seperminuman, mungkin selepas 100 tahun, apabila ditemui fosil kerang-kerangan di kawasan ini, pasti mereka akan bersetuju dahulunya adalah kawasan laut. Walhal, hanya tapak warung yang menjual makanan panas...

Warung tersebut diperkenalkan oleh rakan penulis sekitar tahun 2009. Jika makan disini, biasanya akan ambil masa yang panjang kerana makcik penyedia makanan akan menumbuk sambal dengan lesung secara real-time, bukan telah tersedia ataupun diambil dari kedai lain. Maka ianya akan menghasilkan rasa lazat yang tinggi maqamnya...

Namun kini, tiada lagi juadah yang bersulam kerang yang dijual. Alasannya, ialah sukar untuk mendapatkan stok. Juadah kini telah berganti dengan sulaman kupang. Adakah kupang lebih mudah ditemui? Hanya Allah sahaja yang maha mengetahui...

Terpana menanti masakan dengan berkebetulan pelanggan yang suram tidak mengambil masa lama seperti sebelumnya, meski tukang masak tetap seorang makcik jua tanpa tambahan. Boleh jadi kerana kurangnya pelanggan pada masa ketibaan penulis. Atau mungkin sistem masakan sudah dibuat satu kajian emperikal bagi menghasilkan tindakan memasak yang lebih profesional?

Makan berseorangan mengenang masa silam...masa saat keemasan warung tersebut yang senantiasa dilimpahi rakan². Masa akan berlalu panjang, sambil berbual kosong. Namun dek kerana sudah banyak warung haharu yang muncul bak cendawan selepas hujan, ditambah dengan perubahan drastik ala revolusi terhadap perencah tarikan utama iaitu kerang, maka kegemilangan warung tersebut juga mula pudar ditelan zaman, meski tidak terus berkubur, namun boleh dianggap tetap evergreen di kalangan para peminat fanatik tegar..

Perencah kerang yang dimasukkan pula sebelum ini bukan sebarangan. Bukan kerang tanpa kulit yang liat untuk dikuyah seperti yang terbiasa dijual di pasaran bagi kegunaan penguasaha makanan penganut idealisme kapitalis yang tamakkan keuntungan. Kerang yang diguna pakai adalah asli.Mungkin itu antara daya tarikannya. Dia penguasaha warung tersebut seperti tidak tergamak menggunakan kerang tanpa kulit itu sebagai perencah baharu yang menguntungkan, bahkan sanggup menukar kepada saudara kerang yang paling rapat iaitu kupang, agar pelanggan tidak lari dan menukar selera. 

Syabas kepada pengusaha....

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol