Aktor politik yang merosakkan politik

 8 Muharram 1443

Gempar lah sekelian alam pabila pemerintah ke lapan dinasti melayuwiyah melepaskan pakaian kuasanya  pada 7 Muharram 1443 secara rasmi. Maka gembira sang penentang tidak terhingga adanya. Sedih sang penyokong dan para lubalang negara. Beberapa negeri kedengaran juga bunyi-bunyian seolah ada gempa bumi tetapi berskala rendah. Hanya terasa menggigil tanah sahaja katanya. Negeri di hujung benua selatan seawal kokokan jantan telah mengakui taat dan setia kepada ketua negerinya meski berlainan akan kefahaman perjuangannya yang asalnya adalah satu jua...menghidupkan bangsa yang senantiasa hendak tidur adanya. Mungkin khuatir ia akan murka...

Maka sebenarnya politik ini dikotori kesuciannya oleh tangan para aktor yang haloba. Katakan jika pemegang keris telanjang hanya diam dan tidak membuat bantahan, nescaya kukuh jua kerajaan melayuwiyyah kelapan ini adanya tanpa terkesan dek gegaran gempa. Biarlah gergasi mahupun garuda menyerang, namun kerana kukuhnya ikatan MUAFAKAT diperteguhi dengan  IKATAN nescaya surut jua bencana dan marabahaya yang mendatang.



Namun seperti biasa, yang diratib salahkan oleh pemegang panji timur hoax adalah parti yang dikuasai bangsa bermata sepet. Ianya seperti punch bag berkesan. Tidak boleh juga nak salahkan mereka kerana sejak kecil seawal tahun 80an lagu² berkaitan kebencian terhadap parti yang memegang cita hendak menuju bulan itu sudah dimainkan dan didoktrinkan. Mungkin seawal usia dua tahun...hinggalah mencapai usia 50 tahun....tiada lagu lain yang dibenamkan dalam pemikiran maka mudah sahaja untuk mencari salah segala makar...si roket tua itulah...

Katakan dalam sebuah parlimen , ditandingi oleh Harapan Semalam (HS) dan Berbaris Lagi (BL). Maka tentu berkecamuk perang segala poster, perang saraf dan perang ceramah. Penyokong berbalah dan berhujjah dalam medsos begitu panjang. Ada sehingga memaki hamun. Namun kadangkala calon boleh minum secangkir kopi bersama sambil ketawa dan bersuwa foto. 



Maka apabila keputusan diumum di malam lebaran, yang diisytihar menang gembira bukan kepalang. Yang kalah, menahan malu dan amarah (?) tidak terungkap. Maka selama lima tahun seperti kebiasaan, 'permusuhan' dua kelompok akan berterusan. Pantang ada batu asah berapi berlaga, nescaya terpercik jua akan kilatannya. Jika dibiar boleh membumi hanguskan kota. Kita boleh lihat sebagai contoh apa yang berlaku di P152 dimana roket yang menguasai kerusi telah dihamun dan dihalang dari mengedarkan buah tamar kepada para pengunjung sebuah pasar Ramadhan. Apalah salahnya jika kebiasaannya yang sia² itu diubah. Sang dacing berjalan seiring dengan sang roket bersama menghulurkan buah tamar buat semua pengunjung. Bukankah lebih harmoni? Apakah dengan membantu sang roket akan menyebabkan tali dacing terputus dan senget? Bahkan ianya dilihat semakin molek di mata pengundi...tetapi tidak di mata sang pengkhianat munafiq yang berpenyakit hati nuraninya....

Maka sekiranya aktor politik dapat bekerjasama rentas parti tanpa mengira ideologi untuk setiap DUN dan Parlimen, maka tentunya rakyat lebih terbela. Katakan di DUN yang dimenangi sang dacing, maka keesokan harinya adalah molek jika wakil yang menang itu terus memanggil wakil yang kecewa kerana belum menang untuk bersama membincangkan program atau perancangan yang mampu menguntungkan pengundi. Ketepikan soal idoelogi. Tapi sayang, hakikat kejadian jarang berlaku. Ada sahaja halangan untuk bersatu demi kebaikan rakyat. Ada yang takut dimurkai oleh sang presiden atau ketua perhubungan negeri yang memungkinkan untuk dijatuhkan sama ada segera atau menjelang pemilihan akan datang. Itulah sikap aktor politik.

Kebanyakan mereka bekerja adalah untuk memuaskan perut dan nafsu sendiri. Kununnya demi prinsip parti dan sebagainya. Tujuan utama penubuhan parti kadangkala dikesampingkan dek kerana dharurat tuntutan keserakahan kuasa dapat diidamkan. Salah seorang pensyarah penulis pernah menyatakan

"Tujuan utama sesebuah kerajaan adalah untuk memastikan kuasa mereka berterusan untuk penggal akan datang"

Maka  apa perlunya sang penyokong taasub terhadap pimpinan. Kerana mereka hanya menjadi alat untuk mencapai objektif mereka, iaitu kuasa da terus berkuasa. Kenapa mereka mahukan kuasa, agar boleh mencapai objektif parti secara dasarnya. Tetapi hakikatnya sebenarnya itu hanya pekara sampingan. Perkara pokok objektif utama adalah agar menjadi mewah dalam kuasa  yang memabukkan.

Kuasa itu ibarat arak yang memabukkan sang pemegangnya. Semakin mabuk, maka semakin seronok. Tetapi bagi seorang mukmin kuasa itu ibarat bebanan gunung di atas kepalanya. Tidak ketahuan bila ianya akan jatuh menimpanya. Lihatlah kepada kata² Umar Al Khattab, "Aku khuatir jika Allah bertanya kepadaku tentang kambing yang mati di Basrah..." Pernahkan pimpinan yang kita sayangi bergumam tentang kematian manusia yang semakin ramai kini?

Kepada Allah diserah segala urusan

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol