Kisah Anak Tentera : Lok Kawi Kem Kota Kinabalu
28 Safar 1443
Penulis mengikut orang tua berpindah ke Sabah ketika berusia lapan tahun, sekitar tahun masihi 1983. Almarhum ayah penulis seorang tentera berpangkat satu calit atau dipanggil Lans Koperal. Beberapa bulan sebelum membawa kami berpindah, beliau telah lebih dahulu di arah bertukar ke Kem Lok Kawi Sabah. Kemudian, beliau membawa kami sekeluarga yang terdiri daripada ibu, penulis dan seorang adik perempuan. Seorang lagi adik lelaki penulis tinggal bersama atuk.
Sehari atau dua hari sebelum berangkat, kami menaiki keretapi dari bandar Ipoh menuju ke Kuala Lumpur. Pada waktu itu, almarhum atuk dan nenek tinggal di bandar Ipoh. Penulis masih ingat akan almarhum ibu penulis yang menangis sewaktu berangkat. Mungkin lokasi perpindahan yang agak jauh yang memungkinkan untuk tidak dapat selalu bertemu dengan kaum keluarga. Di KL, kami tinggal sementara di rumah saudara sebelum menaiki kapal terbang untuk terbang ke Sabah.
Pada waktu itu, lapangan terbang tentera terletak di Kem Sungai Besi. Kami menuju ke Sabah dengan menaiki pesawat tentera C130 Hercules atau dipanggil Charlie (Cali?) di kalangan tentera. Menaiki pesawat tentera ruang penumpang jauh daripada ruang penumpang kelas ekonomi MAS atau Air Asia sekarang. Kami duduk di atas kain tergantung yang direntang panjang berwarna merah dengan berhadap hadapan sesama penumpang. Lutut berlaga lutut. Pramugari tentera tetap ada, tetapi tidak berpakaian seperti seorang pramugari yang kita kenal dalam pesawat komersial. Hidangan makanan juga diberikan dalam kotak empat segi putih untuk pagi dan tengahari.
Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu Sabah (KK) mengambil masa kira-kira dua jam 30 minit. Penghawa dingin sangat sejuk dan apabila kita mendongakkan kepala dalam pesawat akan kelihatan wayar atau saluran yang berselirat.
Pesawat yang dinaiki selamat mendarat di KK. Kami pun dijemput dengan trak tentera menuju ke Kem Lok Kawi ke penempatan di berek tentera. Almarhum ayah telah menyediakan lokasi rumah tentera untuk kami anak-beranak memulakan kehidupan baharu di bumi asing Sabah. Penulis masih ingat rumah kami di blok 30 aras satu bersebelahan dengan tangga. Rumah berek dua bilik itu menghiasi kehidupan kami di sini tanpa diketahui seberapa lama. Kehidupan sebagai tentera telah direkrut dan diasuh untuk patuh pada setiap arahan tanpa bantahan. Dihantar kemana sahaja untuk bertugas, mereka akan akur.
Dihadapan blok 30 terbentang luas saujana memandang padang hijau yang luas dengan hiasan pokok-pokok ru yang disempadani sebuah parit besar yang disambung dengan sebuah jambatan. Selepas padang, terbentang padang kawad tentera dan bangunan tentera. Disebelah kiri blok pula, selepas pagar kem, terbentang pantai Meuntum yang menggamit. Di padang kawad ini, kami biasa melihat helikopter turun dan naik. Ada masanya helikopter tersebut mendarat lama hingga beberapa hari dan menarik kami anak-anak tentera untuk cuba mendekatinya. Namun iu penulis sangat-sangat melarangnya sedangkan ada rakan² lain yang berjaya ke sana hingga dapat masuk dan duduk di dalam helikopter. Oh indahnya...
Beberapa hari kemudian, penulis dihantar oleh ayah untuk mendaftar di sekolah baharu SRK Lok Kawi Kem dalam darjah dua penggal kedua. Sekitar tahun 80 an, terdapat tiga penggal persekolahan yang perlu dilalui oleh setiap pelajar. Penggal pertama darjah dua penulis bersekolah di SRK Long Jaafar Taiping.
Di sekolah baharu, penulis masih ingat, pelajaran pertama di hari pertama ialah Matematik. Masuk seorang guru lelaki yang kelihatan berusia pertengahan 40 an, terus menulis beberapa soalan Matematik di papan tulis dan duduk tanpa bersuara sepatah pun. Murid lain pun menyalin dan cuba menyelesaikan masalah Matematik tersebut. Penulis terpinga² tidak tahu apa yang hendak dijawab. Kira-kira setengah jam sebelum rehat, beberapa murid masuk menghantar susu kotak. Ini sesuatu yang baharu bagi penulis dimana setiap murid menerima sekotak susu percuma. Susu dengan lambang Yayasan Sabah menjadi menu diet harian pelajar di sini. Berbeza dengan suasana di Tanah Semenanjung yang tidak pernah terfikir untuk menerima susu percuma di sekolah. Boleh jadi juga apa yang berlaku selepas itu diambil ideanya dari sekolah-sekolah di Sabah?
Peralatan sekolah seperti alat tulis dan juga buku-buku turut diberi secara percuma oleh pihak Yayasan Sabah pada waktu tersebut.
Harga barangan dan makanan di KK pada waktu itu agak mahal berbanding di Tanah Besar Semenanjung. Bayangkan, nasi lemak sebungkus sudah berharga RM1 berbanding sekitar 30 ke 50 sen di Semenanjung.
Pergi dan balik ke sekolah untuk kebanyakan anak tentera pada waktu itu ialah dengan menaiki trak tentera. Pengalaman yang amat menyeronokkan. Dan tidak hairanlah jika kebanyakan anak tentera bercita² juga untuk menjadi tentera sepertimana ayah mereka juga disebabkan suasana ketenteraan yang cuba diserapkan. Sekitar jam 6 pagi kami telah keluar berkumpul di blok belakang untuk menunggu kedatangan trak yang mengangkut kami ke sekolah. Jam 6 pagi di Sabah sudah secerah jam 7 pagi di semenanjung sebenarnya.
bersambung...
Ulasan