Kisah Anak Tentera : Main Perang Perang
12 Rabiul Awwal 1443 dari hijrah Ar Rasul
Antara permainan biasa yang menjadi igauan anak² tentera yang duduk di dalam kem ialah bermain perang-perang. Meskipun banyak terdapat permainan lain seperti polis sentri, galah panjang, sorok² dan sebagainya, namun permainan perang adalah agak eksklusif dan istimewa. Ini adalah kerana persediaan perang perlu dibuat dengan teliti. Jumlah penyertaan juga melibatkan kuantiti yang agak ramai. Alatan senjata yang digunapakai ialah papan yang mungkin boleh direkabentuk sebagai senapang, getah gelang dan juga peluru. Tiga perkara ini sudah cukup untuk menyertai peperangan.
Mungkin senapang kayu atau papan tidak begitu penting dari segi rupa penampilan. Namun getah dan pemilihan peluru dilihat sangat penting. Oh ya, terlupa lagi satu alat ialah penyepit baju kayu. Jumlah getah gelung yang banyak akan lebih menguatkan senapang untuk memberikan impak yang labih kuat dan jauh. Sepit baju kayu perlu diikat juga pada laras senapang dengan kukuh. Ianya boleh sahaja diikat dengan tali untuk tampak lebih kemas dan kukuh, atau diikat sahaja dengan getah gelung. Kegunaan sepit baju ini ialah sama dengan alat pemicu pada senapang sebenar. Ianya bertindak untuk memegang hujung peluru sebelum dibidik ke arah musuh.
Kemudian, sejumlah getah perlu diikat di bahagian hujung laras senapang untuk 'memegang' beberapa getah lain yang bertindak menarik dan meluncurkan peluru tersebut ke arah musuh. Seperti yang disebutkan tadi, kelajuan peluru adalah bergantung kepada jumlah getah yang diikat untuk menarik dan meluncurkan peluru tersebut.
Persediaan² ini perlu dibuat sebelum 'peperangan' berlangsung. Peluru yang terdiri daripada buah pokok ru perlu mencukupi untuk berperang. Kebiasaan yang paling banyak mengumpul peluru boleh menjadi wira.
Peperangan yang berlaku ada kalanya dek kerana kekurangan pemain, hanya dikalangan beberapa kerat rakan yang satu blok ataupun beberapa blok. Namun paling seronok apabila beberapa anak² ini berperang antara blok dengan gabungan pasukan tentera dari beberapa blok. Ianya seperti medan perang saudara antara Amerika Utara dan Selatan. Masing² duduk berhadap-hadapan dan saling tembak menembak.
Biasanya pertempuran besar seperti itu hanya akan berakhir apabila berlaku kecederaan parah sebenar, ataupun pergaduhan. Dan ianya akan menyebabkan 'gencatan senjata' dek kerana campur tangan orang tua...
Ulasan