Kisah Anak Tentera : Mari Mengaji
15 Rabiul Awwal tahun ke 1443 dari hijrah ar Rasul
Sebagaimana anak² lain yang Muslim, maka agenda mengaji al quran adalah merupakan salah satu agenda wajib. Dek kerana negeri di bawah bayu tidak menyediakan kelas pengajian agama secara formal sebagaimana darul ta'zim, maka kelas² pengajian al quran adalah penting bagi memastikan generasi akan datang dapat membaca al quran dengan fasih.
Maka penulis telah dihantar untuk mengikuti kelas pengajian al quran di masjid jame tentera. Terdapat kelas pengajian dengan meja ala kelas persekolahan. Namun hanya sekejap sahaja. Mungkin tidak sampai sebulan dek kerana keadaan yang agak kucar kacir dengan kenakalan anak² tentera yang tidak terkawal. Ibu bapa penulis telah menghantar pula penulis berguru al quran dengan seorang guru mengaji di blok yang sama. Hampir setiap malam seusai waktu maghrib, penulis dan beberapa orang anak tentera yang lain akan bersama mempelajari al quran dari guru yang tersebut. Sistem pengajian secara talaqqi ini tidak lama juga diikuti oleh penulis.
Namun akhirnya, ibu bapa penulis dapat menemui seorang guru yang benar² telah membimbing penulis ke jalan sebenar. Guru tersebut yang dipanggil ustaz dahari, orang dari utara semenanjung, duduk di blok 29, yang terletak hanya dibelakang blok 30. Dalam pengajian ini, penulis bukan sahaja di ajar untuk membaca al quran, tetapi diadakan juga kelas fardhu ain dengan menggunakan kitab fardhu ain karangan al ustaz ismail kamus.
Biasanya kelas akan bermula dengan acara solat maghrib secara berjamaah di rumah beliau dan diakhiri dengan kuliah sebelum kami bersama menunaikan solat fardhu isya secara berjamaah. Anak murid beliau juga agak ramai ketika itu.
Moga Allah merahmati guru² al quran penulis...
Ulasan