Kisah Anak Tentera : Aktiviti & Permainan di Dalam Kem Tentera

 13 Rabiul Akhir tahun ke 1443 daripada hijrah Ar Rasul 

Anak tentera yang 'terkurung' dalam kem tentera sebenarnya mempunyai banyak aktiviti permainan yang boleh dibuat bersama rakan² secara berjamaah. Agak jarang sekali anak tentera menghabiskan aktiviti secara 'persendirian' di dalam rumah. Mungkin juga faktor generasi yang belum pernah terjumpa dengan internet menjadi penyumbang utama. Tidak dinafikan jika pada hari ini, penulis berpandangan adalah lebih selamat untuk anak² berada di dalam rumah beraktiviti sendiri meskipun hanya di hadapan gajet kerana keadaan luar rumah yang tidak menentu dengan kes penderaan, pencabulan, penculikan dan pelbagai lagi...berneza dengan keadaan dan situasi sekitar tahun 80 an...

Antara aktiviti permainan kami di dalam kem ialah bermain roundus. Apakah itu permainan roundus? Boleh jadi pembaca boleh melihat sendiri pada tulisan ini https://www.jurnalponsel.com/permainan-rounders/

Permainan ini agak mengasyikkan dan selalunya bermula sekitar jam 4 atau 5 petang dan berakhir sebelum azan maghrib, atau apabila peserta tercedera terkena kayu pemukul (jarang berlaku), atau berlaku pergaduhan antara pemain kerana tidak berpuas hati, atau bola yang dipukul terkena tingkap kaca rumah di aras satu dan ini kes yang agak berat. Biasanya apabila ada tingkap yang pecah, maka permainan akan ditangguhkan ke suatu masa yang agak lama hingga beberapa minggu...

Permainan yang lain untuk mengisi kelompangan masa, khususnya hujung minggu ialah bermain teng-teng (istilah Bangsa Johor) atau lompat dalam kotak, sama ada kotak lapan ataupun kotak berbentuk kapalterbang. Oleh kerana sudah sedia tersusun batu² segi empat sama di hadapan blok kediaman, maka tiada masalah untuk membuat permainan. Namun, permainan ini agak kurang popular di kalangan majoriti.


Kadangkala, kami akan bermain polis sentri jika ada terjumpa rakan² lain yang ingin bermain. Ada masanya, kami bermain permainan galah panjang tetapi biasanya permainan ini akan didominasi oleh golongan yang lebih berusia, seperti yang berumur 12 tahun ke atas.

Permainan lain ialah ceper iaitu beberapa tudung penutup botol yang dilambung dan ditembak. Tatacara permainan boleh di rujuk di sini 

Permainan lain yang agak unik ialah bermain perang² tetapi tidak secara fizikal. Beberapa patung askar akan disusun di dua lokasi dan dengan menggunakan bola tenis, serangan akan dibuang untuk menjatuhkan patung² askar yang telah di susun. Patung yang paling banyak jatuh dikira kalah. Permainan ini agak membosankan namun boleh mengisi kelompongan masa kami.

Aktiviti menarik sementara menunggu trak tentera datang menjemput dari sekolah ialah menangkap anak udang di parit² sekitar sekolah. Parit pada ketika itu ada juga yang berwarna jernih dan anehnya wujud anak² udang di dalamnya...

Namun yang paling menarik acara tahunan ialah adanya pesta di hadapan blok tempat tinggal kami, iaitu di kawasan padang kawad yang kerap dihinggapi oleh helikopter. Ianya seolah temasya besar di mana kelengkapan dan kenderaan tentera akan dipamerkan dan kami akan kerap muncul melihat dan melawat lokasi. Antara lokasi paling menarik di situ ialah tempat untuk bermain game menggunakan mesin dimana perlu memasukkan duit syiling dan segala permainan boleh dikendalikan seperti simulasi kereta, kapalterbang, permainan tembak² dan sebagainya. Dengan bermodalkan syiling paling mahal 50  sen, permainan boleh dimulakan. 

Permainan game elektronik pada waktu tersebut yang popular adalah nintendo. Penulis masih ingat ayah penulis membelikan game tersebut iaitu snoopy tenis sebagai hadiah kerana berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan penggal.


Apabila atuk penulis melawat keluarga penulis di Sabah, penulis juga berjaya memujuk orang tua tersebut membelikan game terkini yang berskrin warna dan bersaiz lebih besar daripada game nintendo. Penulis juga berjaya dibelikan dengan keretapi elektrik. Ianya dikawal dengan rel keretapi berbentuk no 8. Sayang sekali ianya telah 'terbuang' di rumah pusaka arwah ayah dan ibu penulis.



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol